Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Melayu S’pura - bukan masyarakat kampung tetapi kosmopolitan sejak dari awal

Gambaran yang berbeza mengenai siapa itu orang Melayu dan ciri-ciri kemelayuannya telah mencorak pola pemikiran tentang identiti Melayu. Dapatkah gambaran yang lebih luas dan bermakna diwujudkan di tengah-tengah pola pemikiran yang berbelah bahagi ini?    

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

Other Malays - Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World 

Other Malays – Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World oleh Joel S. Kahn (Singapore University Press, 2006)

Semasa perasmian Wisma Geylang Serai tempoh hari kita diingatkan tentang kedudukan penting Geylang Serai dalam kesedaran kolektif masyarakat Melayu Singapura.

Pada satu ketika dahulu Geylang Serai banyak dikaitkan dengan peranannya sebagai pusat masyarakat di mana orang ramai berhimpun untuk pelbagai kegiatan sosial: menjamu selera, membeli belah, mendapatkan keperluan tertentu atau sekadar untuk berinteraksi.

Namun sejak dua tiga dekad lalu ia mula dilihat sebagai pusat budaya dan warisan Melayu Singapura, seiring dengan sebuah lagi pusat warisan di Kampung Gelam.

Kenaikan kedudukan Geylang Serai ini sebagai mengiktiraf peranan penting yang dimainkannya dalam ingatan sosial dan juga dalam pembentukan masyarakat Melayu Singapura selepas kemerdekaan.

Kalau kita menjenguk sejarah Singapura lebih jauh sedikit sehingga pada awal kurun ke-20, kita akan dapati bahawa bukan Geylang Serai tetapi sebuah lagi kawasan berdekatan yang sepatutnya berperanan besar dalam sejarah moden Melayu Singapura.

Ia adalah kawasan petempatan Kampung Melayu Jalan Eunos atau pernah juga dikenali sebagai Kampung Eunos.

Wacana sekitar pembentukan kawasan petempatan ini menjadi antara isu yang dibincangkan Joel S Kahn dalam bukunya Other Malays - Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World .

(Academia.edu) 

Mungkin apa yang relevan daripada kajian beliau adalah perlunya kita menyemak semula beberapa tanggapan terhadap masyarakat awal Melayu Singapura, bahkan juga masyarakat Melayu umumnya dalam ia menjalani proses pemodenan pada zaman penjajahan.

Dalam Other Malays Kahn melihat kaitannya antara projek petempatan seperti Kampung Melayu (yang dibuka pada 1928) dengan kebangkitan semangat nasionalis Melayu dalam tahun-tahun 1920an.

Bagi Kahn, wacana nasionalisme Melayu baik di Singapura dan juga Semenanjung Melayu pada tahun-tahun 1920 hingga 1950an banyak dipengaruhi oleh proses ekonomi dan politik penjajahan British.

Kesannya adalah kemunculan suatu pemikiran nasionalis yang berasaskan gagasan perkauman dengan nilai-nilai tradisional dan jati diri Melayu menjadi wacana utamanya.

WACANA NASIONALISME
Seperti yang diperhatikan oleh sarjana lain seperti William Roff, Kahn juga nampak adanya unsur-unsur yang ‘membimbangkan’ dalam wacana nasionalisme Melayu ketika itu.

Antaranya sikap perkauman terhadap bukan Melayu, anti-pendatang asing, malah juga anti-Melayu kacokan (seperti Melayu keturunan India, Arab dan sebagainya).

Bagi Kahn, ini semua berakibat daripada meluasnya naratif nasionalisme golongan elit Melayu ketika itu yang menerima faedah daripada sistem penjajah tetapi merasakan bahawa masyarakat Melayu umumnya telah terabai akibat pemodenan pesat.

Huraian mereka adalah perlunya dipupuk semangat untuk maju di kalangan masyarakat Melayu disamping perlunya dipertahankan nilai-nilai tradisional dan cara hidup mereka.

Mereka memperjuangkan ini semua menerusi wadah yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Singapura, yang dipimpin oleh Mohamed Eunos Abdullah, ‘Bapa’ kewartawanan Melayu moden dan juga orang Melayu pertama menjadi anggota dewan perundangan Singapura pada tahun 1924.

Mohamed Eunos Abdullah 

Antara projek utama Eunos dan pejuang-pejuang awal nasionalis Melayu ketika itu adalah desakan mereka kepada British supaya diperuntukkan sebuah kawasan khas untuk orang Melayu sahaja di sebelah timur Singapura, gagasan yang membawa kepada terbukanya kawasan petempatan Kampung Melayu tidak jauh dari Geylang Serai.

Kahn melihat gagasan KMS itu terletak pada fahaman mereka bahawa ‘kehidupan tulen’ (authentic life) masyarakat Melayu hanya boleh menjadi kenyataan sepenuhnya menerusi petempatan sedemkian. (“Di mana orang Melayu boleh mendirikan rumah mereka, hidup dengan masyarakatnya sendiri dan dengan cara yang mereka yang sudah biasa dengannya.” – Mohd Eunos, 1926)

Kahn melihat bahawa projek Kampung Melayu sebagai lambang penting usaha-usaha golongan nasionalis Melayu dalam memperjuangkan identiti dan nilai-nilai kemelayuan ketika itu. Usaha tersebut bukan sahaja berbau perkauman kerana cirinya yang eksklusif – misalnya, desakan supaya petempatan itu hanya untuk penduduk Melayu yang mengamalkan ‘budaya’ dan ‘nilai-nilai Melayu’ (seperti bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan ‘gaya hidup’ Melayu); malah bentuk rumah yang hendak dibina juga mestilah mencerminkan nilai-nilai ‘tradisional’ Melayu.

Jelasnya ia berasaskan fahaman budaya yang agak sempit dan berbau perkauman kerana sifatnya ke arah ekslusivisme kaum.

PERSEKITARAN EKSKLUSIF
Menurut Kahn, pemimpin nasionalis Melayu seperti Mohamed Eunos dan KMS percaya bahawa sesuatu seperti ‘kehidupan Melayu tulen’ pernah wujud dan boleh diwujudkan semula dalam persekitaran eksklusif untuk masyarakat Melayu sahaja.

Kampung Melayu mungkin tidak berjaya dalam mencapai cita-cita yang diimpikan oleh Mohamad Eunos dan KMS (ia akhirnya terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada pembangunan pada awal 1980an, dengan para penduduknya dipindahkan ke kawasan-kawasan perumahan yang lain).

Tetapi Kahn memetik seorang lagi anthropologis Judith Djamour sebagai menyatakan bahawa KMS dan projek Kampung Melayunya telah berjaya mempromosikan kesedaran baru di kalangan masyarakat Melayu ketika itu.

Ia telah dapat melahirkan kesedaran yang agak kuat tentang adanya ‘persamaan kaum dan budaya’ di kalangan mereka yang menganggap dirinya sebagai bangsa Melayu.

Turut lahir daripada fahaman nasionalis KMS adalah tanggapan bahawa kehidupan ideal masyarakat Melayu itu semestinya bersifat ‘luar bandar’ atau ‘kekampungan’, lengkap dengan rumah-rumah kampungnya yang di kelilingi dengan tanam-tanaman dan sekitaran luar bandar.

KEHIDUPAN IDEAL
Gambaran kehidupan ideal dan jati diri Melayu sedemikian mungkin dipengaruhi oleh tanggapan dan ideologi penjajah British.

Ini kerana ketika itu sudahpun terpahat dalam pemikiran penjajah bahawa masyarakat Melayu mungkin tidak secocok dengan pemodenan kerana ia semakin terpinggir ke luar bandar apabila semakin derasnya arus perubahan yang melanda.

Walau apapun punca tanggapan yang dipegang oleh KMS dan juga pihak British, ia jelas bertentangan dengan ciri-ciri masyarakat Melayu Singapura yang terdahulu.

Bagi Kahn, bertentangan dengan konsep ‘kemelayuan’ KMS (yakni sebagai masyarakat luar bandar- tradisional yang idealnya harus tinggal dalam petempatannya yang eksklusif), masyarakat Melayu kurun ke-19 dan awal ke-20, mengetengahkan ciri-ciri yang berlainan.

Bukan sahaja orang Melayu ini (dipanggil Kahn sebagai the ‘Other Malays’) adalah orang pendatang (tidak berasal dari semenanjung), tinggi daya geraknya (highly mobile), bijak dari segi berniaga dan berjual beli tanah, pandai dalam urusan pinjaman wang dan juga dalam tanaman kontan (tanaman untuk jualan).

NILAI-NILAI KOSMOPOLITAN
Untuk menjalani kehidupan sedemikian mereka tentunya perlu bersikap rasional, sedia menerima perubahan dan berpegang pada fahaman agama yang luas, inklusif dan terbuka.

Pendek kata mereka mengamal dan menganjurkan nilai-nilai kosmopolitan sesuatu yang telah menjadi amalan lama bagi kota-kota pelabuhan utama rantau ini termasuklah Singapura.

Gambaran orang Melayu sebegini jelas berbeza daripada tanggapan yang diukir oleh golongan nasionalis Melayu yang muncul kemudian seperti Eunos Abdullah, KMS dan juga gerakan-gerakan politik Melayu dalam dekad-dekad seterusnya.

Apakah pola pemikiran masyarakat Melayu tentang soal jati diri dan kemajuan, masih lagi didominasi oleh naratif kemelayuan golongan nasionalis awal ini?

Apa pun jawapannya Kahn berharap bahawa sebuah naratif yang lebih inklusif dan kosmopolitan dapat diwujudkan semula dalam pemikiran orang Melayu – bukan sesuatu yang baharu tetapi pernah wujud untuk sekian lama sebelum ini. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan