Images
  • budi kritik book
    Editor: Mohamed Imran Mohamed Taib & Nurul Fadiah Johari (The Reading Group, The Literary Centre, Ethos Books Singapore, 2018)  

ULASAN: Isu masyarakat dari lensa anak muda; ‘Budi Kritik’ mahu cetuskan perbincangan

Berbeza daripada penerbitan ilmiah lain yang seringkali dianggap sebagai berat dan membosankan, Budi Kritik  dapat “berbual” dengan pembaca menggunakan “suara-suara” penulis yang boleh kita dengari dan hayati sendiri.

Menerusi pembacaan ini para penulis bukan sekadar “memberitahu” masalah atau isu yang ingin disampaikan tetapi mereka mengajak kita saling berbicara bersama.  

Buku yang mengandungi kompilasi 22 esei ini bertujuan mengetengahkan isu-isu yang dihadapi masyarakat.

BERKONGSI PANDANGAN

Diterbitkan oleh kumpulan The Reading Group dengan kerjasama The Literary Centre ia mendapatkan sumbangan daripada para penulis tempatan serta negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia.

Matlamatnya adalah untuk saling berkongsi pandangan mengenai beberapa perkara yang dekat di hati serta isu-isu yang dihadapi masyarakat masing-masing.

Himpunan esei-esei oleh para penyumbang dari pelbagai latar belakang ini  – baik dari golongan sarjana, para aktivis hingalah kepada karyawan dari pelbagai bidang, memberikan perspektif yang baru kepada topik-topik yang dibincangkan.

REFORMASI DALAM MASYARAKAT

Setebal 260 muka surat ia dibahagikan kepada lima tema utama: Kebudayaan, Bahasa dan Sastera; Agama, Tradisi dan Reformasi; Identiti, Bangsa dan Gender; Kerencaman Silang Agama dan Di Dalam Agama; dan Sosiopolitik, Pemikiran dan Pendidikan. 

Walaupun dengan tema-tema yang berbeza, satu perkara yang konsisten dapat dikesan dalam kebanyakan sumbangan, jika tidak kesemuanya, penulisan esei-esei ini adalah mengenai reformasi.

Gagasan reformasi ini dapat dilihat dalam setiap satu esei bagi setiap tema yang khusus – reformasi dalam penggunaan Bahasa Melayu, cara pemikiran masyarakat mengenai sejarah, sikap para ulama, persoalan hubungan gender dan pelbagai lagi. 

Ia mencabar para pembaca untuk merenung dan berfikir mengenai pendekatan, cara pemikiran serta amalan harian yang mungkin perlu difikir-ulang kerana ia boleh mengakibatkan kemunduran atau menjejaskan paras kemajuan masyarakat. 

Esei-esei yang terkandung dalam buku ini juga mengajak para pembaca untuk menghayati maksud reformasi yang diperlukan dalam masyarakat bagi mempertingkatkan tahap kehidupan yang cemerlang selari dengan perubahan dunia.


PERANGSANG MENCARI HURAIAN

Budi Kritik bukan sahaja satu kompilasi esei yang hanya menonjolkan beberapa isu dan masalah yang amat dekat dengan masyarakat Melayu, ia juga menjadi perangsang bagi masyarakat Melayu untuk mencari huraian terhadap isu-isu yang dihadapinya.

Ia menjadi permulaan bagi wacana kritikal di ruang umum dan bukan satu titik noktah bagi segala persoalaan.

Mungkin ramai yang tidak tahu cara memulakan perbincangan mengenai sesuatu isu yang dianggap sensitif.

Atau, ada yang mungkin tidak ingin berdepan dengan isu-isu ini kerana ia dianggap sebagai satu perkara yang ‘berat’. 

PETUNJUK DALAM MEMIKIRKAN ISU

Namun demikian, esei sumbangan memberi petunjuk dan perspektif terhadap cara kita memikirkan persoalan-persoalan yang ‘berat’ atau sensitif di mata umum.

Dengan lain kata, perbahasan seperti ini membuka ruang untuk mereka yang peka akan isu-isu semasa.  

Penggunaan laras bahasa yang jelas, tidak dibelenggu dengan perkataan-perkataan ataupun konsep-konsep yang sukar difahami memudahkan wacana yang rumit pada asalnya, disampaikan dengan mudah dan senang diikuti oleh para pembaca.

Dengan topik-topik yang berat dan jarang dibincangkan seperti kesaksamaan jantina, hak asasi manusia serta isu kaum dan agama, ia mencelikkan para pembaca untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi mengenai isu-isu ini. 

TEPAT PADA MASANYA

Penerbitan Budi Kritik bertujuan untuk menyelami beberapa perkara yang dihadapi masyarakat setempat atau pun luar negara. 

Masa penerbitannya amat tepat sekali dengan begitu banyak perbincangan mengenai perkauman, keagamaan serta kemajuan masyarakat di media sosial secara leluasa. 

Sumbangan esei-esei ini dapat mengisi ruang-ruang perbualan semasa mengenai beberapa perkara yang dihadapi masyarakat. 

Esei-esei seperti perlunya memberikan takrifan yang jelas mengenai kemajuan, contohnya, merupakan satu sumbangan yang penting sedang masyarakat Melayu Islam di Singapura membincangkan mengenai status kehidupan dan kos sara hidup yang kian meningkat. 

Sejajar dengan itu, isu-isu golongan agamawan serta aliran agama yang kian menjadi nadi perbualan masyarakat turut diberikan tumpuan dalam buku ini. 

CONTOH KEPADA KUMPULAN MUDA

Dengan terbitan ini ia diharap akan mendorong ramai lagi anak muda untuk berwacana, mengutarakan idea-idea serta pendapat mereka, dan menyumbang kepada pemikiran masyarakat berkaitan Melayu Islam. 

Ia bolehlah dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam wacana Melayu Islam tempatan kerana terdapat ramai anak muda yang menggembeling tenaga serta melakar ruang intelektual Melayu Singapura. 

Budi Kritik mampu untuk menjadi contoh kepada kumpulan-kumpulan penulis tidak rasmi yang lain untuk berkumpul dalam menjayakan dan menyumbang idea-idea mereka secara berbudi dan dengan pemikiran kritikal demi pembangunan masyarakat. 

 * Budi Kritik telah dilancarkan Jun 2018  dan ia boleh didapati di kedai-kedai buku Kinokuniya, Wardah Books dan www.ethosbooks.com.sg.


Mengenai penulis:

Faris Alfiq ialah seorang pengkaji isu-isu hubungan antara agama di Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam, RSIS.

- BERITAmediacorp

Top