Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Hang Tuah kita kenal, Hang Tuha itu siapa?

Teks klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah memanglah bukan sumber sejarah tulen. Namun, sebagai warisan peninggalan zaman silam bagaimanakah ia dapat dihayati sebaik-baiknya.

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

Hikayat Hang Tuha (Atau Hikayat Hang Tua) oleh Ahmat Adam  (Strategi Information and Research Development Centre, 2018)

Dalam sebuah bukunya yang terdahulu, Antara Sejarah dengan Mitos,  sejarawan Dr Ahmat Adam berhujah bahawa pengetahuan dan pemahaman kita terhadap sejarah silam Melayu agak jauh tersasar daripada kebenaran sejarah.

Ia berlaku kerana adanya beberapa kesilapan ‘teknikal’ seperti salah transliterasi dan kesalahan ilmiah dalam  membuat tafsiran.

Akibat semua kesilapan itu terjadilah kesimpulan-kesimpulan sejarah yang kurang tepat: seperti kesalahan salah tanggapan bahawa tokoh pahlawan Melayu, Hang Tuah, benar-benar wujud dalam sejarah.

Malah juga dalam kesilapan salah menyebut nama tokoh itu sendiri: Hang Tuah.

Dr Ahmat Adam (Gambar Youtube)

Menurut kajian Dr Ahmat, nama pahlawan itu lebih tepat dieja dan disebut dalam tulisan Rumi sebagai Hang Tuha atau Hang Toh.

Kesalahan ini berlaku disebabkan kesilapan transliterasi daripada ejaan Jawi asal iaitu [ta-wau-ha], yang sepatutnya lebih sesuai dieja dalam Rumi sebagai ‘Toh’,  dan boleh disebut sebagai ‘Tuha’ atau pun ‘Tua’  (yakni, seorang pemimpin dan bukannya seorang yang bertuah).

PEMIMPIN TRAMPIL

Menurut beliau Tuha adalah lebih tepat kerana kedua-duanya membawa makna pemimpin yang berketrampilan atau pun sebagai Toh.

Tuha atau Toh kata Dr Ahmat menggambarkan ‘sahsiah seorang yang serba terampil, unggul, miliki peribadi yang hampir sempurna’, ‘sangat bijaksana dan menjadi taruhan raja’.

Malah, lebih daripada itu beliau behujah nama Hang Tuha itu pun  bukanlah nama sebenar hulubalang atau laksamana yang diceritakan, kalaupun beliau wujud.

Ini kerana berdasarkan kajian sejarah sosio-budaya masyarakat Melayu dan Nusantara, penggunaan nama sebenar seseorang pemimpin atau tokoh amat ditegah sebagai satu pantang larang.

Lantaran itu bukan sahaja Hang Tuah atau Hang Tuha bukan nama sebenar, malah penulis Sejarah Melayu itu yakni Tun Seri Lanang juga hanyalah nama samaran sahaja.

Satu kesilapan paling besar adalah kesimpulan ramai sejarawan yang menganggap bahawa watak Hang Tuah itu merupakan tokoh yang benar-benar wujud dalam sejarah.

TOKOH YANG DIREKA

Hang Tuah,  menurut sesetengah pengkaji seperti Dr Ahmat, hanyalah tokoh yang direka berdasarkan kehidupan mungkin seorang dua laksamana yang benar-benar hidup (mungkin ketika zaman Sultan Mansyur Shah antara 1458 hingga 1477).

Berdasarkan naratif dalam Sejarah Melayu, Dr Ahmat melihat, mungkin ada lebih daripada seorang tokoh bergelar laksamana yang telah dijadikan watak sebagai Hang Tuah.  

Kewujudan tokoh-tokoh sedemikian, tegas beliau, tidak nafikan sebagai suatu ‘kebenaran sejarah.’

Namun bukan sahaja watak Hang Tuah merupakan suatu rekaan sahaja. Banyak peristiwa sekitar kehidupannya yang tergambar dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah adalah juga rekaan pengarangnya semata-mata. 

Antaranya adalah peristiwa-peristiwa seperti kunjungan Sultan Melaka ke Majapahit dan segala apa yang berlaku ketika Hang Tuah mengiringnya dalam kunjungan tersebut.

Menurut Dr Ahmat, semua peristiwa dan kejadian yang berlaku di Majapahit itu adalah mitos yang direka.

Bukan semua itu sahaja telah direka semata-mata. Terdapat juga bukti ada unsur-unsur yang diambil merupakan pengaruh  daripada cerita-cerita Panji dari Jawa. 

Misalnya, watak-watak 5 sahabat Hang Tuah diambil daripada Hikayat Pandawa, sementara keris sakti Hang Tuah, Taming Sari, besar kemungkinan merupakan adaptasi daripada keris Raden Inu Kertapati, watak dari satu cerita Panji Jawa Timur.

Menukil sejarawan CE Berg, Dr Ahmat berkata penyebaran cerita-cerita Panji di Nusantara agak meluas sekitar kurun ke-13 menyusuli serangan Jawa ke atas Srivijaya di Sumatera. 

PENGARUH CERITA PANJI

Di sini Dr Ahmat berhujah pengaruh sebenar cerita-cerita Panji ke atas penulisan kreatif Melayu masih diabaikan oleh pengkaji-pengkaji Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Kegagalan untuk meneliti dengan lebih mendalam pengaruh-pengaruh terhadap Sejarah Melayu dan ketidakupayaan untuk membezakan antara fakta sebenar dengan rekaan mitos semata-mata, menyebabkan ramai pengkaji tersilap langkah sehingga mempercayai bahawa watak Hang Tuah dan segala peristiwa yang dilaluinya adalah kebenaran sejarah.

Para pengkaji sejarah kata beliau perlulah mengelakkan diri daripada terjebak dalam mempercayai dongeng dan mitos, dan mestilah bijak dalam membezakan penulisan sejarah dengan karya sastera.

Kalau yang dicari itu adalah kebenaran sejarah, mestilah tahu bagaimana mencari fakta-faktanya untuk dijadikan bukti.

Dan kalau sudahpun jelas bahawa dari segi fakta dan ilmiah, Hang Tuah seperti digambarkan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sebenarnya tidak wujud, jadi tidak perlulah kita membuang masa dan tenaga untuk mencari bukti-bukti lain seperti tempat kelahiran, tanah perkuburan, tapak kaki dan telaga Hang Tuah, umpamanya.

(Perigi Hang Tuah: Gambar Facebook)

Berdasarkan kajian Dr Ahmat seperti yang terkandung dalam Antara Sejarah dan Mitos dan Hikayat Hang Tuha, terdapat cukup bukti ilmiah untuk menunjukkan bahawa teks klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah tidak boleh diangkat sebagai bahan sejarah yang difahami hari ini.

Ini kerana pelbagai kandungannya terlalu banyak bercampur aduk dengan bahan-bahan rekaan atau fiksyen.

TETAP BERNILAI

Namun begitu sebagai peninggalan zaman silam kedua-dua teks itu tetap mempunyai nilai sejarahnya. Sebagai warisan lama ia membolehkan kita menyelami pemikiran, persekitaran, kepercayaan, sistem, dan struktur sosio-budaya, politik dan ekonomi masyarakat ketika itu.

Bagaimanapun untuk memahami itu semua dengan baik tentunya ia memerlukan cukup daya ilmiah serta semangat kritikal yang tinggi.

Jika pendirian sebegini diambil, tentunya kita dapat lihat bahawa kedua-dua teks itu membuka jendela sejarah mengenai masyarakat feudal Melayu Melaka-Johor selepas ‘kegemilangannya’ berakhir dengan kemunculan Eropah di alam Melayu sekitar 1511.

Hikayat Hang Tuah (yang diceduk daripada beberapa bab dalam Sejarah Melayu)  dipercayai telah ditulis, ditambah dan disalin beberapa kali dalam tempoh yang lama.( (Kalangan sejarawan berpendapat Hikayat Hang Tuah mungkin selesai tidak awal daripada 1641 selepas disalin beberapa kali di Aceh).

PERGOLAKAN SERANTAU

Namun latar belakang utamanya adalah pergolakan geopolitik yang besar yang telah melanda dunia Melayu sebelah sini sekitar awal kurun ke-16.

Kalau kita melihat dari perspektif hari ini,  pergolakan itu mungkin sehebat Revolusi Industri 4.0 sekarang ini di mana proses ‘disruption’ nya cukup besar dengan kesan-kesan jangka panjangnya dari segi ekonomi, politik dan juga sosio-budaya. 

Kedatangan Eropah bukan sahaja menimbulkan banyak gangguan terhadap sistem dagangan serantau, malah menimbulkan pelbagai rombakan dan penyusunan semula terhadap aturan, struktur, dan sistem sosio-politik, ekonomi dan budaya serantau.

Kejatuhan kerajaan Melaka yang terpaksa berpindah tempat ke Johor, kemudian disusuli pula dengan kebangkitan Aceh sebagai kuasa serantau dan kemerosotan kerajaan Jawa Majapahit selepas kedatangan Islam - ini semua perlu diambil kira dalam kita menelaah teks –teks klasik peninggalan sejarah.

MENJADI INSPIRASI

Dalam hal Hikayat Hang Tuah (dan juga Sejarah Melayu yang menjadi bahan induk Hikayat Hang Tuah) kemelut dan pergolakan serantau itu sebagai  inspirasi kepada penulisnya untuk merakamkan ingatan beliau terhadap kegemilangan yang pernah dinikmati oleh dunia Melayu Melaka suatu ketika dahulu.

Bagi para pengkaji sejarah seperti Dr Ahmat, penulis tersebut (yang kini ramai akui adalah seorang Bendahara kerajaan Melaka-Johor, yang menggunakan nama gelaran Tun Seri Lanang), mungkin mula menulisnya semasa menjadi tawanan perang Aceh selepas Aceh menakluk Johor pada 1613.

Penulisan itu bolehlah dilihat sebagai ‘ingatan pengarang’ tentang kehidupan sebuah kerajaan nenek moyangnya lebih 100 tahun sebelum itu.

Ia merupakan rakaman  ‘kisah pahit kekalahan’ satu ‘pukulan hebat’ pada ‘hati nurani dan ego bangsa Melayu.’ 

WAWASAN SEJARAH

Melihat pada konteksnya lebih meluas, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah memanglah bukan sekadar tulisan kreatif yang penuh dengan mitos semata-mata.

Dengan penilitian yang rapi kita juga dapat melihat bahawa ia mengandungi banyak bibit dan wawasan sejarah untuk direnungkan masyarakat hari ini.

Bagaimanapun untuk meraih manfaat daripada penelitian sedemikian ia perlulah dikaji dengan kaca mata ilmiah dan pemikiran kritikal.

Usaha mengkaji semula peninggalan sejarah dari perspektif sedemikian sudah pun dimulakan oleh sejarawan seperti Dr Ahmat.

Ia adalah suatu usaha yang cukup membina dan memang kena pada tempatnya.

Sudah sememangnyalah  pemikiran kritikal dan semangat ilmiah yang sejati – dibandingkan dengan kesarjanaan membuta tulin dan dangkal - sangat  diperlukan dalam bidang pengajian Melayu hari ini.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan