Images
  • Muzium Negara
    Muzium Negara Singapura 

ULASAN: Fakta harus ditegakkan supaya sejarah dan dongeng dapat dibezakan

Sekitar buku:


Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu dan Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia, oleh Dr Ahmat Adam ((Strategic Information And Research Development Centre, 2016) 


Apakah ia boleh mencerahkan lagi pemahaman atau mengusutkan lagi pemikiran terhadap sejarah awal masyarakat Melayu masih lagi menjadi tanda tanya.

Inilah persoalan yang mungkin terus menjadi perbahasan di kalangan cendekiawan dan sarjana kajian Melayu berhubung dua tulisan utama sejarawan Dr Ahmat Adam mengenai kajiannya terhadap teks klasik Sejarah Melayu dan salah seorang tokoh utamanya, Hang Tuah.

Buku pertama Antara Sejarah dan Mitos dan sebuah lagi, Hang Tuha – Atau Hikayat Hang Tua, berhujah bahawa disebabkan beberapa kesilapan sejak sekian lama tokoh lagenda itu bukan sahaja telah disalah anggap sebagai benar-benar wujud, malah juga telah diangkat ke persada terlalu tinggi lebih daripada sepatutnya. 

Menurut Dr Ahmat tokoh yang amat disanjung sejak ratusan tahun lamanya itu juga telah salah disebut namanya kerana pelbagai salah tafsiran. 

PELBAGAI KESILAPAN

Mengapa ini berlaku?  Dr Ahmat berpendapat ia adalah kerana pelbagai kesilapan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli sejarah bermula dengan para Orientalis dan kemudian diteruskan pula oleh para sejarawan Melayu sendiri.

Kesilapan yang telah dilakukan itu bukan sahaja dalam menelaah fakta, malah kerana gagal membezakan antara fakta dengan dongeng dan gagal membuat tafsiran yang tepat dan ilmiah.


(Gambar Facebook) 

Dr Ahmat, Profesor Emeritus di Universiti Malaya menjelaskan dengan meluas dalam kedua-dua karangan tersebut yang menurutnya bertujuan bagi “menebus kesilapan” yang telah dilakukan oleh sejarawan seperti beliau.

Kesilapan sejak dua ratus lalu itu telah mengakibatkan para sejarawan merumuskan pelbagai natijah yang tidak tepat mengenai dua teks Melayu klasik: Sulatus Salatin yang dikenali sebagai Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah (yang sebetulnya menurut Dr Ahmat perlu disebut sebagai Hang Tuha).

Selama dua abad itu teks klasik Melayu berkenaan ternyata “salah dibaca dan silap ditransliterasikan ke huruf Rumi oleh para pengkaji Orientalis dan tempatan”.

SILAP DITAFSIRKAN

Kesilapan tersebut kemudian menjadikan teks seperti Hikayat Hang Tuah itu (yang ia sendiri merupakan cambahan daripada beberapa bab dalam Sejarah Melayu), telah “silap ditafsirkan bukan sahaja dari segi penyebutan nama” tetapi juga  “dari segi isi kandungan” yang menceritakan tokoh lagenda Melayu itu. 

Yang menjadi “lebih parah lagi” kesilapan-kesilapan ini bertindih pula dengan salah tafsiran yang gagal membezakan antara fakta dengan mitos sehingga banyak unsur mitos dalam teks tersebut disalahertikan sebagai fakta yang benar.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kesilapan transliterasi adalah penyalinan teks yang salah.


(Sejarah Melayu naskhah Shellabear, terbitan Fajar Bakti, 1975) 

Oleh kerana tiadanya teks asli Sejarah Melayu (kesemuanya kini terdapat lebih 30 versi teks tersebut yang telah disalin daripada versi-versi lama yang lain), jadi amatlah sukar untuk membandingkan salinan-salinan terkemudian dengan teks asal.

Menurut Dr Ahmat kesilapan transliterasi yang bermula dengan Orientalis Barat seperti Van Der Norm, Valentiyn, Leyden, Winstedt, Wilkinson dan sebagainya, kemudian ‘menjangkiti’ pula para sarjana Melayu-Indonesia yang meneruskan apa-apa kesilapan yang diturunkan para Orientalis itu.

EJAAN SALAH, MAKNA BERLAINAN

Daripada kesilapan transliterasi itu ia membawa kepada masalah ejaan yang salah dan kepada makna yang berlainan.

Misalnya, kesilapan kata-kata seperti ‘agra’ yang dieja ‘akar’ sehingga watak yang sepatutnya bergelar ‘Sri Agra’ menjadi ‘Seri Akar Raja’; ‘Sang Supraba’ menjadi ‘Sang Suparba’; ‘Lukewa’ menjadi ‘Lekiu’;

Dan apa yang sepatutnya disebut ‘Hang Tuha’ telah disalah eja kemudian sebagai ‘Hang Tuah’ sehinggalah ke hari ini.

Bilakah kesilapan ini mula disedari?

Berdasarkan kajian beliau terhadap sebuah teks Sejarah Melayu yang baru ‘ditemui’ dalam arkib Akademi Sains Rusia di St Petersburg, (yang kini dipanggil Manuskrip Krusenstern), Dr Ahmat berhujah  bahawa transliterasi yang lebih tepat dapat menemukan kita dengan jelas di mana letaknya kesilapan-kesilapan berkenaan.

Manuskrip Krusenstern, menurut beliau, dipercayai lebih tua atau sama usia dengan manuskrip Raffles MS No 18 yakni salinan terdekat dengan yang asal atau tertua.

MENGISI KELOMPANGAN

Kajiannya terhadap manuskrip itu yang berpandukan pengetahuan filologi dan linguistik (terutama sekali mengenai bahasa Melayu dan bahasa Jawa Kuno (Kawi) dan bahasa Sanskrit, telah membolehkan beliau membuat transliterasi dan tafsiran lebih tepat mengenai beberapa kekata utama yang digunakan.

Penemuan dan kajian terhadap teks Krusenstern itu, menurut Dr Ahmat, rata-rata masih lagi asing bagi kebanyakan ahli kajian Melayu di luar Rusia.

Namun maklumat yang terkandung di dalamnya cukup berguna dalam mengisi beberapa ‘kelompangan’ dalam manuskrip-manuskrip terdahulu.

Nilainya cukup tinggi dalam kajian semula terhadap sejarah Melayu, kerana tegas Dr Ahmat, versi Krusenstern ini telah ‘menyingkap tabir yang selama ini menyembunyikan banyak maklumat tentang Sejarah Melayu’.

REKAAN SEMATA-MATA

Selain kesilapan penyalinan dan transliterasi, terdapat pula faktor salah tafsir sejarah yang gagal membezakan antara mitos dengan fakta sebenar.

Menurut Dr Ahmat kegagalan untuk membuat perbezaan  ini menyebabkan ramai pengkaji tidak dapat membezakan sama ada teks seperti Sejarah Melayu itu suatu bahan sejarah yang tulen atau sekadar cerita rakyat yang dicipta untuk sebab-sebab tertentu.

Sebagai rakaman cerita rakyat banyak perihal tentang kerajaan lama Melaka: asal usulnya, perkembangan sejarah serta tokoh-tokoh utama yang disebut hanyalah rekaan semata-mata tanpa adanya kebenaran atau ketulenan sejarah.

Para pengkaji sejarah kata beliau perlulah mengelakkan diri daripada terjebak dalam mempercayai dongeng dan mitos. Ketepatan dan kebenaran sejarah haruslah dibuktikan oleh fakta-fakta (seperti bahan-bahan arkib, epigraf, arkeologi, wang, logam, monumen dan lain-lain).

Berdasarkan kriteria fakta ini dengan tiadanya bukti-bukti yang mencukupi, kesimpulan sejarawan seperti Dr Ahmat adalah tokoh pahlawan seperti Hang Tuah tidak pernah wujud. Ia hanyalah ‘watak khayalan yang sengaja direka’.

Begitu juga dengan pelbagai penceritaan sekitar kerajaan lama Melaka dan kaitannya dengan Hang Tuah juga tidak pernah berlaku: seperti lawatan Sultan Mansur Syah ke Majapahit dan petualangan (adventures) Hang Tuah di Jawa hanyalah ‘mitos yang direka’.

PERTAHANKAN FAKTA DAN SEJARAH

Oleh kerana kesilapan dan tafsiran yang salah itu telah berakar umbi jauh ke dalam jiwa dan sentimen sebahagian masyarakat Melayu, memanglah sukar bagi segala pembetulan dapat diterima dengan mudah.

Ini lebih-lebih lagi apabila salah seorang tokoh utama lagenda Melayu seperti Hang Tuah sudah pun diangkat terlalu tinggi sebagai ‘fenomena negara’ yang perwatakannya dianggap sebahagian daripada ‘ramuan behena negara bangsa’.

Lantas tidak hairanlah jika ada sebarang kajian semula yang merupakan kritikan dasar dan kesangsian sama sekali tentang keabsahan tokoh sejarah itu, mengundang pelbagai reaksi keras seperti melihatnya sebagai ‘percubaan untuk memperlekehkan jati diri Melayu’.

Namun bagi sejarawan seperti Dr Ahmat kritikan sedemikian tidaklah begitu penting.

Yang lebih penting menurut beliau adalah prinsip utama yang harus dipegang oleh ahli-ahli sejarah iaitu perlunya “mengelakkan diri dalam mempercayai dongeng dan mitos”.

Malah sebagai golongan cendekiawan mereka sepatutnya perlu “lebih bersemangat dalam mempertahankan fakta dan sejarah”.

- BERITAmediacorp/IB

Top