Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Apabila budaya rasuah menyerap ke dalam masyarakat, buruk padahnya

Gejala rasuah apabila dipandang daripada sudutnya yang meluas bukan sahaja soal jenayah tetapi juga soal jenis manusia yang membentuk kepimpinan dan jenis akhlak yang menjadi pegangan mereka.  

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Apabila budaya rasuah menyerap ke dalam masyarakat, buruk padahnya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Gambar: Bernama)

Sekitar buku:

Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi oleh Syed Hussein Alatas (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009)

Corruption and the Destiny of Asia oleh Syed Hussein Alatas (Simon and Schuster Asia, 1999)

  

Ia umpama penyakit serius yang sentiasa di samping kita tetapi jarang dibincangkan secara terbuka kerana khuatir ia hanya membuka 'pekung di dada'.

Begitulah juga dengan masalah rasuah – ia sentiasa berlaku dalam masyarakat, masyarakat tahu tentang keburukannya – namun, ramai yang lebih cenderung untuk membisu.

Antara sebabnya mungkin kerana ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan.

Mereka seperti sudah pasrah bahawa masalah ini tidak ada huraiannya dan mengharapkan ia boleh berlalu dengan begitu sahaja pada satu hari kelak.

Oleh itu adalah tidak menghairankan apabila seorang pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menegaskan bahawa rasuah di kalangan masyarakat Melayu sudah menjadi ‘nilai dan budaya masyarakat’, ia disambut dengan agak sepi. 

RASUAH MASALAH SEMUA KAUM

Namun, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa budaya rasuah ini telah menjadi satu daripada nilai hidup dan budaya masyarakat terutama orang-orang Melayu.

Ia adalah masalah yang boleh membabitkan apa sahaja kaum dan tidak kira apa sekali peringkat masyarakat, baik yang kaya atau pun miskin.

Rasuah memang telah lama menjadi antara keprihatinan utama sarjana ulung seperti Allahyarham Syed Hussein Alatas yang telah memikirkannya sejak berdekad-dekad lalu sebelum pemergiannya pada 2007.

(Gambar Facebook) 

 (Gambar Facebook)

Prof Syed Hussein, mantan Naib Canselor Universiti Malaya dan juga Ketua Jabatan Pengajian Melayu NUS,  sememangnya sarjana bertaraf antarabangsa kerana telah merintis banyak kajian baru termasuklah sosiologi rasuah dan kesan-kesannya ke atas masyarakat membangun.

Buku pertamanya mengenai rasuah:  The Sociology of Corruption diterbitkan seawal tahun 1980, itupun ia adalah lanjutan daripada kertas kerja beliau yang pernah dibentangkan dalam satu kongres pada tahun 1967.

Sebagai sarjana sejati, beliau benar-benar prihatin tentang gejala rasuah dan mahu menelitinya sedalam mungkin supaya masyarakat dapat membanterasnya.

DITEGAH AGAMA, DIKEJI MASYARAKAT

Ramai mungkin sudah pun maklum bahawa rasuah itu adalah salah dari segi undang-undang bahkan juga dari segi agama, namun ia tetap berlaku.

Baik yang memberi dan yang menerima, mereka sanggup melakukannya tanpa mengira baik buruknya kepada masyarakat.

Agak anih jika difikirkan bahawa walaupun amalan rasuah ini ditegah agama dan juga dipandang amat keji oleh masyarakat, masih ada ramai yang sanggup melakukannya atas apa sahaja sebab.

Sebab yang paling utama adalah kerana kepentingan diri sendiri. Dan kerap mereka yang terlibat dalam amalan ini bukan sahaja terlalu mementingkan diri sendiri tetapi mereka juga langsung tidak prihatin atau tidak mempunyai kesedaran sosial sama sekali.

PENYIMPANGAN MORAL

Dari segi ini, rasuah sebenarnya adalah gejala ‘penyimpangan moral’  dengan pelakunya adalah orang yang kurang bermoral atau tidak berakhlak. 

Sebagai gejala  penyimpangan moral , rasuah memanglah diakui sebagai masalah sejagat yang berlaku dalam semua masyarakat, sejak sekian lama lagi.

Juga diperakui bahawa usaha membanterasnya bukanlah mudah.

Ini lebih-lebih lagi walaupun semua akui bahawa rasuah itu tidak baik kepada masyarakat, akan ada sahaja ‘hambatan ideologi’ yang ‘membenarkannya’  diamalkan. (Misalnya, ada yang berhujah pemberian sogokan itu kadangkala mempercepat urusan, seperti pengeluaran lesen, kelulusan projek dan sebagainya, yang memberi manfaat kepada orang awam.)


PUNCA DAN KESAN

Dalam kajiannya Prof Syed Hussein melihat pelbagai punca, jenis-jenis rasuah dan juga kesan-kesannya ke atas masyarakat.

Salah satu kesan utamanya, menurut beliau, adalah meningkatnya sikap pesimistik dan negatif di kalangan masyarakat: seperti sikap pasrah yang dinyatakan tadi bahawa tiada sesuatu yang boleh dilakukan untuk mengubahnya.

Malah,  beliau juga melihat bahawa masyarakat kemudian menjadi semakin pasif dan tidak bermaya apabila berhadapan dengan gejala rasuah yang meluas. 

Misalnya, kalau dilihat di kalangan penjawat-penjawat awam mereka menjalankan tugas dengan sambil lewa dan cukup tidak berkesan untuk mengatasi sesuatu masalah.

Pendek kata, pemerintah dan birokrasi berfungsi dibawah tahap yang sepatutnya menyebabkan semua urusan pemerintah menjadi kurang cekap dan tidak melayani kehendak awam.

KHIANAT PADA AMANAH

Dan bagi orang ramai pula, mereka yang berkehendakkan layanan lebih cepat dan berkesan pula terpaksa terdorong untuk memberi lebih banyak sogokan kepada kakitangan terbabit. 

Akibatnya sogokan dan pemberian suapan pun meningkat dari masa ke semasa, menyebabkan gejala rasuah ini terus bertambah buruk.

Jika tidak dibendung dengan berkesan, ia akan meningkat dari segi skala, melibatkan jumlah wang yang lebih besar serta lebih ramai kakitangan berjawatan tinggi sehinggalah ke peringkat teratas.

Yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa yang terus berhadapan dengan pelbagai kecurangan akibat daripada ketidakcekapan pemerintah dan para pemimpin yang  hanya boleh berfungsi setelah menerima suapan.

Jelaslah, rasuah itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diletakkan oleh rakyat terhadap mereka yang berkuasa.

Mereka yang terbabit dalam rasuah bukan sahaja tidak amanah, tetapi juga jelas seorang penipu yang terlibat dalam pelbagai bentuk penipuan ke atas organisasi mereka dan juga ke atas orang ramai.

Inilah menyebabkan seseorang pelaku rasuah itu terutama mereka dalam kedudukan berkuasa dan berpengaruh, merupakan orang yang telah menyimpang daripada nilai-nilai moral.

Malah menurut Prof Syed Hussein, keruntuhan akhlak itu selalunya berlaku lebih awal sebelum seseorang itu terjebak dalam rasuah.

MELAWAN RASUAH

Tidaklah dinafikan bahawa usaha membanteras rasuah bukanlah suatu yang mudah. Tidak banyak negara yang berjaya menanganinya dengan berkesan, lebih-lebih lagi negara membangun yang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Terdapat beberapa langkah bersifat institusional yang disarankan oleh Prof Syed Hussein untuk membanteras rasuah.

Ia termasuklah pembentukan semacam ombudsman – atau suruhanjaya bebas – yang boleh meningkatkan kesedaran orang ramai tentang gejala rasuah.

Tidak juga kurang pentingnya adalah kewujudan media bebas dan tidak rasuah untuk menjadi pemerhati dan pembongkar terhadap segala kecurangan dan penyelewangan. 

Prof Syed Hussein berpendapat bahawa salah satu rintangan besar dalam melawan rasuah adalah kewujudan media yang bersekongkol dengan pihak-pihak yang terbabit dalam rasuah. 

KEPIMPINAN DAN CITA KECEMERLANGAN

Dalam pemerhatiannya,  beliau melihat faktor paling penting dalam melawan rasuah adalah wujudnya kepimpinan politik dan masyarakat yang tegas pendiriannya menentang rasuah.

Di sinilah beliau melihat kejayaan negara seperti Singapura yang walaupun sama-sama mencapai kemerdekaan dengan banyak negara membangun yang lain, tetapi ia telah jauh meninggalkan mereka dalam usaha melawan rasuah.

Beliau melihat kejayaan Singapura itu terletak pada corak kepimpinannya yang diterajui oleh mendiang Lee Kuan Yew sebagai faktor penentu dalam penghapusan rasuah.

Ketegasan Singapura yang ditunjukkan Lee Kuan Yew dalam melawan rasuah didorong oleh apa yang dipanggil Prof Syed Hussein sebagai ‘cita sempurna warisan sejarah’  (historical ideal) yang mengarah kepada ‘cita kecemerlangan’  (ideal of excellence).

Bagi Lee Kuan Yew, cita kecemerlangan yang dipegangnya adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat maju yang berasaskan pemerintahan yang cekap, bersih dan bebas daripada penyelewangan.

Inilah membentuk cita kecemerlangan Singapura pada awal pembangunannya, yang mengarah kepada pembentukan sebuah masyarakat yang maju, berdasarkan nilai meritokrasi dan kesamarataan yang adil dan saksama.

MASYARAKAT LEMAH KEPIMPINAN

Menurut Prof Syed Hussein, masyarakat yang lemah kepimpinannya dalam berpegang kepada cita kecemerlangan ini biasanya mudah memupuk budaya rasuah.

Ini kerana kepimpinan yang tidak mengambil berat terhadap corak masyarakat yang hendak dibentuk biasanya terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai cita-cita tinggi untuk masyarakatnya atau orang lain.

Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan melihat kedudukan atau jawatan tinggi sebagai peluang untuk memewahkan diri mereka, saudara mara atau sahabat karibnya sahaja.  

Namun, cita kecemerlangan ini sahaja tidak mencukupi. Masyarakat juga perlu memiliki kesedaran yang kuat untuk tidak membenarkan rasuah wujud di kalangan mereka.

Mereka juga perlu dipupuk dengan nilai-nilai seperti sikap malu  jika adanya kecurangan atau kepincangan yang berlaku di kalangan anggota masyarakat sendiri.

ANALISIS PELBAGAI SUDUT

Analisis Prof Syed Hussein cukup meluas merangkumi pelbagai sudut kajian masyarakat dalam memahami gejala rasuah.

Hasilnya,  gambaran yang diperolehi adalah jelas bahawa rasuah berkait rapat dengan corak kepimpinan, corak manusia yang menjadi pemimpin dan corak masyarakat yang  terbentuk kemudian.

Satu natijah yang beliau bentangkan kepada kita semua adalah pentingnya semua anggota masyarakat menggalakkan sedaya mungkin cita kecemerlangan.

Ini boleh mereka lakukan dengan terus membangkitkan isu-isu moral dan intelektual tentang corak masyarakat yang bagaimanakah yang mereka inginkan.

Hanya dengan mempunyai masyarakat yang sedemikian sahaja ini akan membantunya mencorak pucuk pimpinan yang diinginkan – cekap, amanah, berwawasan dan tegas dalam melawan rasuah.  

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan