Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

Peranan masyarakat membendung fahaman ekstrem

Perintah Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas pendakwah setempat Murad Mohd Said serta muridnya Razali Abas baru-baru ini membawa banyak pengajaran bagi kita.

Anggaran Waktu Membaca:
Peranan masyarakat membendung fahaman ekstrem

Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

BERITAmediacorp: Dua rakyat Singapura, seorang pendakwah setempat dan salah seorang muridnya, telah dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini. Ia juga merupakan kali pertama RO dikeluarkan terhadap seorang guru agama. Dalam tulisan berikut, Zamil ISEAS Dr Norshahril Saat mengupas mengapa kes terbaru ini bukan saja boleh menyesatkan, malah turut mencemari kemajuan yang telah dicapai dalam masyarakat kita.

Perintah Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas pendakwah setempat Murad Mohd Said serta muridnya Razali Abas baru-baru ini membawa banyak pengajaran bagi kita.

Antara ajaran-ajaran Murad yang dianggap ekstrem adalah kewajipan seseorang Muslim untuk membunuh seorang yang murtad.

Beliau menyifatkan mereka yang berfahaman Sufi dan Syiah sebagai golongan yang sudah terkeluar daripada landasan Islam.

Ulama-ulama moderat seluruh dunia tidak pernah menganggap golongan yang disebutkan oleh Murad ini sebagai bukan Islam.

(Gambar: Amman Message/Facebook)

Misalnya, dalam Risalah Amman (Amman Message) — satu kenyataan bersama tokoh-tokoh Islam seantero dunia — fahaman Sunni, Syiah dan Ibadi diiktiraf sebagai sebahagian daripada Islam. Risalah ini diterbitkan pada tahun 2005.

Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Dr Yaacob Ibrahim, adalah salah seorang tokoh yang menandatangani risalah tersebut. Tokoh-tokoh lain termasuklah pemimpin-pemimpin Iran, Arab Saudi dan Indonesia.

Malah, golongan yang disebut sebagai terkeluar daripada landasan Islam itu masih lagi dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji di Makkah dan Madinah, justeru di mana asas untuk menyatakan mereka bukan Islam?

JEJAS KEMAJUAN 

Peristiwa sebegini sedikit sebanyak mencemar kemajuan yang telah dicapai dalam masyarakat kita. Leluhur kita dahulu tidak pernah ada masalah dengan sistem sekular yang diamalkan di Singapura.

Malah kita harus berbangga kerana dalam sebuah negara majmuk yang mengamalkan sistem sekular ini, wujud institusi-institusi penting buat masyarakat Islam seperti yang termaktub dalam AMLA.

Ulama-ulama kita terdahulu bukan calang-calang orang: mereka juga terpelajar dari segi agama, walaupun ada di kalangan mereka tidak punya ijazah daripada universiti-universiti Islam terkemuka di Timur Tengah atau di rantau ini.

Namun, mereka menyampaikan dakwah bahawa Islam itu hidup sepanjang zaman dan dapat disesuaikan mengikut konteks sesebuah negara.

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Tokoh agamawan kita telah bersusah payah menangani insiden-insiden sebelum ini, seperti sentimen Islamofobia pasca serangan 9/11, penangkapan anggota Jemaah Islamiah (JI), kes ISIS, dan yang baru-baru ini, kes Imam Nalaa.

Penglibatan Habib Syed Hassan Alatas dalam Pertubuhan Silang Agama (IRO) juga mengukuhkan lagi tali persaudaraan antara pemimpin-pemimpin umat Islam dengan bukan Islam.

(Gambar: Don Wong)

Masyarakat kita harus lebih terdidik untuk membezakan pandangan yang betul dan yang salah. Tidak perlu bertanya Ustaz dalam setiap hal, kerana kadangkala kita harus menggunakan akal fikiran sendiri.

Misalnya, perbezaan yang betul dan yang salah juga harus dilihat pada konteks hukum tersebut dilaksanakan, disesuaikan pada tempat dan masanya.

Pandangan seorang tokoh yang tinggal di Timur Tengah tidak semestinya sesuai diamalkan di Singapura. Demografi penduduk di negara-negara Arab tidak semestinya sama dengan masyarakat majmuk seperti di Singapura.

PERLU BERHATI-HATI

Tambahan lagi, masyarakat juga tidak harus terpedaya dengan karisma para agamawan. Islam tidak terletak pada suara merdu asatizah, atau rupanya, atau fiziknya, tetapi idea yang diperjuangkan.

Jika idea tersebut membawa kepada kebencian dan suka menyesatkan orang lain, kita perlulah berhati-hati.

Masyarakat juga perlu menapis pandangan-pandangan daripada agamawan di negara-negara jiran, terutama pandangan-pandangan yang telah dipengaruhi keadaan politik semasa.

Justeru, adalah penting untuk masyarakat kita belajar daripada ramai guru agama dan bukan sekadar seorang.

BIJAK MENILAI

Mentelah, masyarakat perlu faham ilmu-ilmu moden, kerana ia juga membantu kita dalam menyesuaikan diri dalam masyarakat masa kini, meluaskan pemahaman terhadap masalah-masalah semasa dan pencarian solusinya.

Masyarakat juga perlu bersedia bertanyakan soalan-soalan sensitif kepada guru, dan bersedia untuk menerima pandangan alternatif.

Adalah penting juga untuk belajar di kelas-kelas yang terbuka, seperti di masjid-masjid, dan bukan kelas-kelas yang terpencil dan jauh daripada penglihatan masyarakat. Idea-idea arus umum akan dibincangkan di ruangan awam.

(Gambar: Fadel Senna/AFP)

Kita juga perlu bijak menilai apakah unsur-unsur melampau. Jika seorang guru mengajak masyarakat untuk berperang dan membunuh, itu jelas telah menyimpang.

Adalah juga ekstrem jika ajaran itu membantutkan usaha untuk mendekati masyarakat umum di luar sana. Dalam respons terhadap Perintah Sekatan ke atas Murad dan Razali, Pengarah Kanan Muis, Dr Nazirudin Mohd Nasir menegaskan bahawa Quran mengajarkan kebebasan dalam kepercayaan dan membenarkan seseorang untuk memilih apa yang terbaik.

Sistem sekular yang diamalkan di Singapura menjamin hak-hak setiap agama untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

FAHAMI PERBEZAAN 

Sudah tiba masanya untuk kita memikir ulang cara kita mengamalkan agama Islam. Inilah peluang untuk kita memahami golongan yang mungkin berbeza pandangan dengan kita.

Kita juga perlu peka dengan apa yang kita dengar menerusi media sosial atau apakah yang disebarkan lewat WhatsApp.

(Gambar: John Schnobrich/Unsplash)

Jangan terus menyebarkan maklumat yang berbaur kebencian dan fitnah. Gunakan peluang untuk kita belajar sejarah Islam dan hubungan antara golongan yang berbeza pandangan seperti Sunni, Syiah, Ibadi dan sebagainya, agar kita dapat terus memandang ke hadapan untuk bekerjasama dalam isu-isu yang lebih penting buat umat.

Kadangkala, apa kita sebut soal sejarah Islam, kita hanya fikir tentang zaman Nabi dan para khalifah. Sejarah ini penting, tetapi perjalanan sejarah sepanjang 1400 sering dilupakan.

Masyarakat yang hidup selepas zaman nabi telah melalui evolusi. Lantas, susunan masyarakat di setiap zaman selepas zaman nabi semakin kompleks.

Masyarakat yang dahulunya homogen semakin lama semakin rencam.

Perbezaan politik juga merumitkan lagi keadaan. Dalam mencari huraian bagi isu-isu semasa, termasuk perbezaan-perbezaan yang berlaku silang agama atau sesama umat Islam, cara masyarakat silang agama berinteraksi semasa zaman Ottoman (1299 hingga 1924) boleh dijadikan iktibar.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan