Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tumpuan M³ masih boleh diperluas antaranya dalam perkuat jati diri

Usaha sepadu jalinan M³ boleh meluaskan tumpuannya dari bidang-bidang selain pendidikan dan sosial kepada aspek-aspek budaya serta ekonomi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usaha sepadu jalinan M³  boleh meluaskan tumpuannya dari bidang-bidang selain pendidikan dan sosial kepada aspek-aspek budaya serta ekonomi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MUTAKHIR ini, masyarakat Melayu/Islam Singapura kian terbiasa dengan konsep matematik, M³, iaitu jaringan kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Mesra (Majlis Penyelaras Jawatankuasa Kegiatan Melayu di Balai Rakyat/Kelab Masyarakat).

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed telah menzahirkan hasrat bahawa jaringan tadi akan membolehkan masalah masakini dan cabaran hari muka masyarakat Melayu dapat diatasi dengan lebih terpadu.

Sekaligus ini bermakna ketetiganya dapat dinilai sebagai tiga komponen yang digunakan untuk rekayasa masyarakat (social engineering).

Rekayasa masyarakat merupakan usaha merubah masyarakat bersandarkan matlamat, kumpulan sasaran, analisis kos dan faedah sehinggalah natijah yang hendak dicapai dalam tempoh tertentu.

PENUBUHAN KOMPONEN

Muis ditubuhkan pada 1968 – tiga tahun selepas Singapura merdeka dan empat tahun selepas peristiwa rusuhan kaum berdarah pada perarakan Maulidurasul.

Tahun ini, Muis menyambut ulang tahun emasnya. Dengan imejnya sebagai badan pentadbir ehwal Muslim minoriti yang antara tercekap di dunia, Muis tentulah berbangga akan rekod pencapaian.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berinteraksi bersama seorang jemaah haji Singapura 2018. (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

Mendaki pula ditubuhkan sebagai sebuah yayasan pada 1981 dalam rangka memastikan anak Melayu berjaya meraih ilmu dan kemahiran berguna.

Walaupun pernah mencuba bidang sosio-budaya dan ekonomi, teras utama kegiatan Mendaki ialah mempertingkat kemajuan pendidikan anak Islam.

Mesra pula merupakan prakarsa sesudah mendiang PM Lee Kuan Yew menyatakan kebimbangannya bahawa orang Melayu lebih cenderung ke masjid daripada berinteraksi dengan kaum-kaum lain.

Cik Rahayu di Festival Belia MESRA. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sejak akhir 1980-an, bercambahlah kegiatan menarik orang Melayu ke arus perdana – jawatankuasa kejiranan, balai rakyat sehingga dialog silang agama.

FAKTOR JATI DIRI

Tetapi apakah yang menjadi teras falsafah yang mengikat M³?

Tidak syak, falsafahnya adalah untuk memastikan kemajuan orang Melayu dari segi jati diri dan taraf hidupnya.

Siapakah orang Melayu? Antara lain, takrif atau insan ini dikenali dengan tiga penanda atau identiti diri iaitu orang yang berbahasa dan berbudaya Melayu serta beragama Islam.

Konsep jati diri ini telah teruji dalam pilihan raya Presiden Dipilih (EP) untuk khusus memilih calon Melayu saja pada 2017.

Encik Masagos beramah mesra dengan para tetamu. (Gambar: BERITAMediacorp)

Misalnya, terdapat kejutan dan kecelaruan di media mengenai apa difahami dengan sosok peribadi Melayu kerana ketetiga bakal calon berketurunan India.

Namun hal itu harus tidak perlu ditengkarahkan. Sebabnya, sejarah rumpun Melayu di rantau telah diwarnai dengan konsep jati diri tadi.

Terdapat kesultanan Melayu di rantau ini yang berajakan orang Arab seperti di Perlis, Sumatera dan di Pontianak, Kalimantan dan di Demak, Jawa.

Sewaktu diadakan pemilihan bagi Datuk Bandar Singapura pada 1959, Syed Ali Redha Alsagoff (1928-1998) telah membuat pengakuan: “Saya orang Melayu, berketurunan Arab.” Sayangnya, beliau kalah dua undi.

Seyogia, beliau merupakan antara pengasas dan presiden pertama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud.

EVOLUSI YANG INKLUSIF

Jelas sekali, konsep ‘rumpun’ Melayu itu sendiri merupakan suatu evolusi yang inklusif atau merangkum sifatnya. Tapi apakah yang membuat ciri jati diri Melayu Singapura sebagai unggul?

Menurut almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016) yang pernah memberitahu kepada saya:

“Apabila berada dalam pertemuan serantau, kita yang dari Singapura akan terasa bahawa kita macam saudara-saudara sebumbung besar. Tapi terasa berbeza apabila kita bertukar-tukar pandangan atau membandingkan keadaan masing-masing.

“Keadaan kita ditentukan oleh pengalaman tersendiri daripada hasil persekolahan, pergaulan, Perkhidmatan Negara, kejiranan dan sebagainya. Inilah yang menimbulkan ciri kebangsaan yang membentuk kewarganegaraan atau kerakyatan.”

PENYUBURAN

Jati diri kaum-kaum di Singapura boleh dikatakan ‘terpelihara’ kerana adanya Dasar Dwibahasa di sekolah, dasar berbilang kaum, bahasa dan budaya yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara dan diterapkan pemerintah serta pelbagai kegiatan di peringkat akar umbi seperti persatuan bahasa dan budaya.

Suasana Singapura bukanlah tersendiri. Negara-negara anggota Komanwel British (bekas jajahan British dan turut dianggotai Singapura) juga menampung ciri-ciri serupa.

Namun ada anggota Komanwel seperti Sri Lanka (dulunya Ceylon) berdepan dengan ketegangan kaum sehingga mencetuskan perang yang lama.

Singapura telah memanfaatkan ciri berbilang kaum tadi sebagai teras kekuatan watan untuk menakat dalam pentas rantau ini dan antarabangsa.

Tidak hairanlah, model harmoni Singapura sering dijadikan contoh oleh banyak negara.

CUKUPKAH DENGAN M3?

Tentulah antara ukur tara bantuan M³ ialah menilai para aktivis dan dan kumpulan sasaran berdasarkan jati diri Melayu. Namun, tidak dapat dinafikan dalam suasana inklusif Singapura, para aktivis atau relawan kaum lain juga dialu-alukan untuk memberi sumbangan.

Para sukarelawan MENDAKI kendalikan satu program membaca (Gambar: Yayasan MENDAKI)

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Dalam jangka panjang, M³ akan dinilai keberkesanannya, antara lain, apabila jati diri Melayu Singapura semakin teguh dan taraf hidup dapat terus dipertingkat menerusi pelbagai program kemasyarakatan.

Namun, terdapat gejala-gejala yang memprihatinkan pada jati diri Melayu.

Pertama, tinjauan menunjukkan bahawa pemakaian bahasa Melayu kian terhad di sebalik kegigihan Majlis Bahasa Melayu mengadakan pelbagai acara pemerkasaan seperti Anugerah Persuratan dan Bulan Bahasa.

Di sekolah, masa untuk berbahasa bonda hanya terhad pada waktu mata pelajarannya. Umumnya, anak-anak Melayu lebih cenderung berbahasa Inggeris dan hal ini diakui oleh kalangan guru bahasa Melayu serta dapatan Persatuan Guru Bahasa Melayu Singapura.

BAHASA MELAYU

Di rumah pula, masa berbahasa Melayu sesama anggota keluarga juga terbatas. Kecuali ada datuk nenek atau sikap berdisiplin ibu bapa, barulah bahasa Melayu dituturkan di rumah.

Malah diinsafi juga bahawa bahasa Melayu kurang digunakan dalam surat-menyurat (kini penggunaan emel), minit mesyuarat dan perhubungan umum di dalam dan antara badan Melayu/Islam juga.

Madrasah hujung minggu di masjid juga didapati tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Hanya segelintir penyedia khidmat pendidikan Islam, seperti Andalus-Cordova, yang menyediakan pendidikan dalam bahasa Melayu.

Kedua, dari segi amalan budaya, terpapar penghakisan nilai Melayu dari segi hubungan keluarga, pergaulan sehingga penampilan diri. Fenomena ini memang dijangkakan dalam sebuah negara kosmopolitan seperti Singapura.

AMALAN BUDAYA

Namun di peringkat rantau, misalnya, timbul kritik masyarakat bahawa amalan berbahasa dan berbudaya rumpun Melayu kian terbatas pada tiga perkara iaitu majlis suNAT atau khitan, perkahWINan dan upacara kemaTIan.

Ketetiganya disingkatkan sebagai Natwinti. Selain itu, banyak amalan budaya rumpun Melayu sudah ditinggalkan atau tidak dipedulikan oleh generasi hari ini.

Misalnya, kemahiran membaca dan menulis Jawi kini terbatas pada segelintir orang Melayu. Hal ini cukup ketara ketika saya terlibat dalam Pameran Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara pada 2007.

Padahal, selama 700 tahun, tulisan Jawi merupakan ‘kunci’ ilmu Melayu yang terakam dalam kitab, surat, batu bersurat atau prasasti dan sebagainya. Jawi juga menunjukkan ikatan akrab kebudayaan Melayu dengan tamadun Islam.

Taman Warisan Melayu. (Gambar: Helmy Saat)

Mujurlah sejak Taman Warisan Melayu dibentuk, terdapat usaha menyuntik minat pada warisan masyarakat Boyan, Minang, Jawa dan Bugis yang membentuk rumpun Melayu. KOMPONEN ‘M’ TAMBAHAN

Selain aspek bahasa dan budaya, tentulah kemajuan sesebuah masyarakat diukur pada pencapaian ekonominya. Hakikatnya, baru ada sebuah syarikat anak Melayu, 2nd Chance di bursa saham setempat. Bahkan, belum ada bank atau mercu tanda komersil milik orang Melayu sepenuhnya.

Ramai orang Melayu masih berdepan masalah untuk berjaya dalam perniagaan atau perlumbaan keusahawanan. Dalam pada itu, ramai juga yang tertipu oleh skim cepat kaya atau piramid seperti Farwill.

Malah kian ketara kes oang Melayu yang dibebani hutang, termasuk dengan ceti terlarang atau tailong. Hal ini telah mendesak Angkatan Karyawan Islam membentuk khidmat penasihat kewangan.

JENTARA MELABUR

Oleh itu, satu lagi komponen ‘M’ iaitu semangat dan jentera melabur perlu diwujudkan secara kolektif. Ia pernah dicuba menerusi Kongres Ekonomi Masyarakat Melayu/Islam atau Kemas pada 1985.

Antara lain, ketetapan Kemas ialah membentuk jentera pelaburan Dana Amanah Muslim Singapura atau Danamis. Namun, impian ini tidak tercapai.

Banyak perkara yang boleh mendorong pelaburan secara kolektif seperti niat untuk naik haji atau umrah. Di negara jiran Malaysia, hasrat tadi telah membangunkan Lembaga Urusan Tabung Haji.

Model ini pernah dicuba oleh Persatuan Guru dan Ulama Islam Singapura (Pergas) menerusi Koperatif Hajinya yang terbantut.

DIDAMBAKAN

Kesimpulannya, prakarsa M3 atau mungkin kelak M4 (jika diambil kira komponen ekonomi) memanglah didambakan dalam menjayakan jati diri orang Melayu dan taraf hidupnya.

Orakan langkah masyarakat Melayu menuntut rekayasa yang lebih menyeluruh lagi ampuh.

Dalam suasana persaingan yang mencabar serta pergolakan sosio-politik dan ekonomi jagat yang tidak menentu, kepimpinan dan orang Melayu perlu meneliti cabaran dan memastikan rekayasa bersamanya dapat dijayakan. 

MENGENAI PENULIS:

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan