Images
  • masagos m3
    Encik Masagos dalam satu acara anjuran MENDAKI. (Gambar: MENDAKI Singapore/Facebook)

KOMENTAR: Selain M³ kita juga perlukan M keempat untuk menjana kejayaan

BERITAmediacorp: Untuk memastikan M³ dapat menepati sasaran-sasarannya, satu lagi M perlu tampil dan menyokong serta menyemarakkan lagi usaha ketiga-tiga badan Melayu/Islam yang menjadi tunggak masyarakat kita. Dalam pengamatannya, Penasihat MESRA Dr Ismail Hanif yakin bahawa M yang keempat ini akan membawa lebih banyak kejayaan dan pencapaian, sedang Singapura maju sebagai sebuah negara yang cemerlang dan inklusif. Apakah M keempat yang dimaksudkan ini? Dr Ismail dengan perinciannya.


Penulis, Dr Ismail Hanif.

Menteri Masagos Zulkifli adalah menteri keempat yang dilantik bertanggungjawab bagi hal ehwal masyarakat Islam di Singapura. Sejak beberapa bulan yang lalu, Menteri Masagos telah melaksanakan idea utamanya, yang dikenali sebagai inisiatif M³. Dari membina sesuatu yang baru, inisiatif M³ adalah satu usaha yang bijak dalam memantapkan lagi usaha yang sudah dibangunkan oleh menteri-menteri hal ehwal masyarakat Islam sebelumnya.

Terdapat tiga pertubuhan tunggak masyarakat di Singapura yang menjadi asas kepada masyarakat Islam kita. Yang pertama, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ditubuhkan pada tahun 1968 untuk memberi hala tuju kehidupan beragama. MENDAKI, yang ditubuhkan pada tahun 1982, adalah tunggak kedua masyarakat yang bertujuan untuk memperkasakan masyarakat kita melalui pendidikan dan kemahiran. Ketiga ialah Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) yang ditubuhkan di bawah Persatuan Rakyat (PA) pada tahun 1988 untuk menyokong fungsi masyarakat kita dalam persekitaran pelbagai kaum. Ia mempunyai rangkaian akar umbi yang luas. Di samping itu, terdapat pelbagai Pertubuhan Melayu/Muslim (MMO) yang tidak kurang pentingnya bekerja rapat dengan ketiga-tiga tunggak ini untuk membentuk dan menangani cabaran masyarakat Melayu. Oleh itu, penubuhan pelan bertindak M³ yang melibatkan MUIS, MENDAKI, dan MESRA adalah wajar.


Gambar fail. 

Matlamat M³ adalah untuk memantapkan kekuatan sedia ada, aset komuniti, dan sumber-sumber untuk mengatasi halangan yang berkaitan dengan matlamat akhir perjuangan ini. Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyokong usaha ini dengan mengulas bahawa M³ akan lebih mendalamkan lagi keupayaan untuk menangani cabaran masyarakat Melayu/Islam. Ini termasuk memastikan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah, memperkasakan dan membimbing belia, serta membantu golongan yang ketinggalan diakibatkan penyalahgunaan dadah atau isu-isu sosial yang lain.

MENGGEMBLENG TENAGA

Ketiga-tiga tunggak masyarakat ini mempunyai sukarelawan dan sumber pembiayaan mandiri, serta tumpuan khusus dan objektif tersendiri. Mereka telah berjaya mencapai matlamat masing-masing. Namun, dengan adanya masalah sosial yang semakin rumit, kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk menguruskan aset-aset yang ada secara lebih berhasil. Penggemblengan tenaga antara MUIS, MENDAKI, dan MESRA di bawah naungan M³ dapat disamakan dengan usaha dalam dunia perniagaan, yang menggabungkan kemahiran dan sumber. Contohnya, KelasMateMatika@CC (KMM@CC) adalah inisiatif pertama di bawah pelan bertindak M³. Ia merupakan modul kemahiran asas Matematik selama 6 minggu yang disediakan oleh MENDAKI, serta aktiviti-aktiviti oleh MESRA PA selama 4 minggu untuk mengeratkan ikatan kanak-kanak bersama ibu bapa. KMM@CC dibiayai oleh MENDAKI, MESRA, dan badan-badan bersekutu yang lain. Program ini bertujuan untuk memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak prasekolah dari golongan berpendapatan rendah. Ia juga membolehkan ibu bapa meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak mereka. Keluarga-keluarga ini dikenal pasti oleh MESRA melalui akar umbi sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dari kawasan undi masing-masing.


Gambar fail. 

Tambahan pula, penggemblengan tenaga M³ akan dapat mewujudkan tindakan padu dalam program dan usaha masing-masing. Di sini, kita dapat menerapkan keperluan Hierarki Maslow dalam menyediakan bantuan bersepadu dengan kerjasama M³. Keperluan asas dalam Hierarki Maslow seperti perlindungan dan kemantapan kewangan, perlu dipenuhi sebelum seseorang individu dapat mencapai keperluan yang lebih tinggi, seperti hidup berkeluarga dan kasih sayang. Satu cadangan untuk strategi MUIS bagi mengurangkan lagi kadar penceraian adalah untuk berkerjasama dengan MENDAKI dan MESRA supaya memantapkan terlebih dahulu keperluan asas keluarga yang terjejas. Apabila masalah ini dapat dileraikan, kadar penceraian mungkin akan berkurangan akibat hasil sinergi yang lebih baik.

‘M’ KEEMPAT

Bak kata pepatah - jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya. Kami syorkan sudah tiba masanya untuk ‘M’ keempat masuk gelanggang untuk menentukan hala tuju sendiri agar terus berjaya. ‘M’ keempat, iaitu masyarakat, mesti memanfaatkan peluang dan faedah yang ada dalam inisiatif M³. Untuk melakukan demikian, masyarakat perlu merevolusikan pandangan dunia dan tingkah laku yang diterima terlebih dahulu mengenai cara ia berfungsi, beroperasi, dan membuat keputusan - secara individu dan sebagai sebuah komuniti. Khususnya, kami mencadangkan masyarakat Melayu/Islam untuk mengamalkan minda yang membina, atau yang lebih dikenali sebagai ‘growth mindset’.

Growth mindset’ yang dipelopori oleh Profesor Carol Dweck, merujuk kepada kepercayaan bahawa kecerdasan dan kemahiran boleh berkembang. Dengan menggunakan cara pemikiran ini, masyarakat akan melihat bahawa usaha merupakan komponen penting untuk mencapai kejayaan. Kita boleh melatih minda kita, sama seperti melatih otot-otot badan untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi bukan saja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kemahiran teknikal serta kemahiran lain seperti kecerdasan sosial, rundingan, dan rangkaian. Di samping itu, masyarakat akan mendapati bahawa minda membina akan membawa kepada perubahan tingkah laku, seperti mengatasi cabaran secara positif dan berdaya tahan dalam menghadapi apa saja cabaran.

MEMBINA MINDA DALAM PENERIMA BANTUAN SOSIAL

Minda membina boleh dilaksanakan dalam semua inisiatif M³, seperti KMM@CC. Sukarelawan telah memberikan maklum balas bahawa sukar untuk mendapatkan keluarga yang dikenal pasti untuk menyertai KMM@CC, walaupun terdapat insentif untuk para ibu bapa supaya mendaftarkan diri bagi program ini. Kemungkinan para ibu bapa menghadapi beberapa kekangan logistik dan fizikal seperti waktu kerja yang panjang, bekerja lebih daripada satu pekerjaan dan keletihan. Kemungkinan juga mereka belum dapat menghargai sepenuhnya nilai pendidikan untuk anak-anak mereka, dan memandang kelemahan dalam matematik di prasekolah sebagai masalah yang tidak mungkin dapat diatasi.


Dr Faishal Ibrahim di acara MENDAKI PlayFest pada 30 Sep.

Cabaran di sini adalah untuk menyedarkan para ibu bapa bahawa kanak-kanak mempunyai potensi kecerdasan untuk berkembang kerana ia tidak tetap. Oleh itu, kedua-dua sukarelawan MAEC dan penganjur KMM@CC, kini mempunyai peluang untuk menggunakan ‘growth mindset’. Mereka boleh menekankan kepada para ibu bapa peserta bahawa kelelahan minda dapat diubah dan ditingkatkan untuk mencapai kecerdasan mengira dalam matematik.

Yang penting, para ibu bapa juga mesti mengamalkan ‘growth mindset’ dan melihat KMM@CC sebagai batu loncatan dan pelaburan jangka panjang untuk memperbaiki status sosio-ekonomi keluarga mereka. Oleh itu, insentif oleh penganjur KMM@CC harus dilihat sebagai matlamat sekunder bagi matlamat terakhir ini. Melabur dalam pendidikan awal kanak-kanak, sama ada dengan mendaftar di KMM@CC atau dalam prasekolah, telah menunjukkan kesan-kesan positif dan berfaedah dalam pembelajaran sepanjang hayat. Ini membawa kepada prestasi yang lebih baik dalam tenaga kerja, dan menjadikan masyarakat Islam yang lebih berdaya tahan. Keluarga-keluarga ini juga berpotensi dapat membantu keluarga lain kerana mereka mempunyai pengalaman yang serupa.

MINDA YANG MEMBINA DALAM SUKARELAWAN

Sukarelawan dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam program M³. Pada mulanya, inisiatif M³@Bandar akan dilancarkan di lapan bandar dengan rancangan untuk meluaskannya di seluruh Singapura. Ia bertujuan untuk menggembleng tenaga sukarelawan daripada golongan karyawan supaya membantu memenuhi keperluan dan aspirasi penduduk Melayu/Islam di kawasan itu. Tugas utama mereka adalah untuk memahami dengan lebih mendalam sumber yang ada serta keperluan masyarakat. Mereka kemudian boleh merancang program yang sesuai dan khusus bagi menangani cabaran-cabaran masyarakat.

Dengan memberikan autonomi kepada sukarelawan M³@Bandar, kita akan memupukkan idea ‘growth mindset’ kerana mereka dapat mengasah kemahiran sedia ada atau menimba kemahiran baru.


Gambar fail Encik Zaqy Mohamad dan Cik Rahayu Mahzam dalam forum dasar pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) anjuran MESRA.

Dengan cara ini, M³@Bandar akan dapat memikat dan mengekalkan tenaga sukarelawan kerana mereka dapat merasai pencapaian yang cemerlang dan bermotivasi tinggi.

Di samping itu, perbuatan baik mereka akan membantu mereka memenuhi tahap tinggi keperluan merealisasikan diri dalam Hierarki Maslow. Lebih-lebih lagi, sukarelawan juga boleh menggalak pembinaan minda para penerima bantuan sosial. Melalui program bimbingan inisiatif M³ serta sesi berkongsi mengenai kecemerlangan dalam kerjaya akan menjadi inspirasi kepada masyarakat di kawasan kejiranan mereka.

Penubuhan inisiatif M³ tidak mungkin akan berjaya tanpa usaha baik mantan menteri-menteri dan para pemimpin urusan Islam yang terdahulu. Kita sudah pun berada di landasan yang betul; kini kita memerlukan ‘M’ keempat untuk bekerjasama bagi mengemudi inisiatif M³ ke arah yang lebih cemerlang untuk terus maju ke hadapan.

MENGENAI PENULIS
Dr Ismail Hanif berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dan beliau adalah seorang pensyarah kanan. Beliau sudah berkhidmat sebagai seorang pemimpin akar umbi selama lebih daripada sepuluh tahun dan kini berkhidmat sebagai penasihat MESRA.

Ainie Aziz mempunyai kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). 

- BERITAmediacorp/aq

Top