Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sastera boleh dijadikan pemangkin dalam martabatkan Bahasa Melayu

Dr Norshahril Saat berpendapat salah satu huraian berkesan tentang penguasaan bahasa Melayu adalah dengan meningkatkan mutu pembelajaran sastera di sekolah-sekolah. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sastera boleh dijadikan pemangkin dalam martabatkan Bahasa Melayu

Logo Bulan Bahasa 2018. (Gambar: Megat_fir/Instagram)

BERITAmediacorp: Setiap kali timbul Bulan Bahasa terluah juga pelbagai pandangan tentang bagaimana penguasaan Bahasa Melayu terutama di kalangan para belia semakin merosot. Pengamat dan ahli akademik Dr Norshahril Saat berpendapat salah satu huraian berkesan adalah dengan meningkatkan mutu pembelajaran sastera di sekolah-sekolah. Bagaimanakah sastera dapat membantu usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu, berikut hujah penulis:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERGEMANYA lagu Bahasa Menjunjung Budaya di Wisma Geylang Serai pada 1 September menyerikan lagi pembukaan bulan bahasa. Lagu yang senikatanya ditulis oleh Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, dan muziknya digubah oleh Cikgu Abdolah Lamat memang popular di kalangan masyarakat kita.

Pada tahun ini, lagu tersebut diberikan nafas baru dengan sentuhan budaya. Ia menggabungkan elemen zapin pada iramanya. Syabas saya ucapkan kepada Saudara Megat Firdaus, yang menyuntik kreativiti agar lagu tersebut lebih menarik buat semua golongan dalam masyarakat.

Pejam-celik, sudah tiga dekad berlalu dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu melalui aktiviti-aktiviti dalam bulan bahasa. Sambutan bulan bahasa dimulakan pada tahun 1988, dan ia diterajui pemimpin-pemimpin politik, budayawan, dan cendekiawan bahasa kita.

TERAS JATI DIRI MELAYU

Dasar dwibahasa (bilingualism) yang digagaskan pemerintah adalah asas bagi usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dijalankan, sama seperti kaum-kaum lain juga. Namun lebih daripada itu, penggunaan bahasa Melayu adalah teras utama jati diri orang Melayu.

Perlembagaan di Malaysia menggariskan sifat-sifat orang Melayu seperti berikut: beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu, dan bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun ciri-ciri ini tidak digariskan dengan terperinci dalam perlembagaan Singapura, ia tetap relevan.

Perhatikan senikata lagu Bahasa Menjunjung Budaya yang ditulis Dr Ariff ini:

Cintailah bahasa ibunda, cintailah budaya pusaka, Bahasa yang menjunjung budaya, budaya nilai maruah bangsa!

Senikata ini menunjukkan keterkaitan rapat elemen-elemen bahasa, budaya, nilai dan maruah bagi orang-orang Melayu. Daripada pengamatan saya, masih ada segelintir di kalangan kita yang menilai seseorang pemimpin berdasarkan penguasaan bahasa Melayunya.

Lebih mudah untuk mendekati masyarakat jika seorang pemimpin Melayu itu fasih berbahasa Melayu. Malah, kesemua perdana menteri Singapura, daripada Encik Lee Kurang Yew, Encik Goh Chok Tong, dan Encik Lee Hsien Loong fasih dalam bahasa Melayu.

Ketiga-tiga calon pemimpin generasi keempat yang disebut-disebut sebagai calon yang paling berpotensi menjadi perdana menteri, Encik Chan Chun Sing, Encik Heng Swee Keat, dan Ong Yee Kung, sudah mula aktif menyampaikan ucapan-ucapan mereka dalam bahasa Melayu di acara-acara masyarakat kita.

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Timbul keprihatinan kini bahawa penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam masyarakat kita, terutama sekali golongan belia, semakin berkurangan. Kita sudah terbiasa dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan.

Sebenarnya, penggunaan bahasa Inggeris juga semakin terancam dengan cara kita berkomunikasi lewat media sosial. Sering kita menggunakan istilah-istilah ringkas dalam pesanan-pesanan teks Whatsapp, Instagram dan juga Facebook.

Kadangkala kita mengabaikan ejaan yang tepat dan susunan ayat yang betul. Ada juga yang meluahkan keprihatinan perkataan-perkataan Inggeris yang di Melayukan: seperti reformasi, imperialisme, paradigma, kontekstual dan sebagainya.

Saya berpandangan sebaliknya. Kamus orang Melayu memang sentiasa terbuka untuk menerima kosa-kata baru demi kemajuan. Malah bukan sahaja perkataan-perkataan Inggeris yang diterima, hatta perkataan Sanskrit, Arab, dan Jawa juga diguna pakai.

Bagi saya, penggunaan bahasa Melayu berpotensi untuk kita memahami bukan sahaja jati diri masyarakat kita, malah sejarah kita di rantau Nusantara ini.

CINTA BAHASA MELALUI SASTERA

Demi menyemai cinta bahasa, banyak yang sudah dilakukan selain pendekatan linguistik. Usaha-usaha ini merangkumi aspek seni dan budaya. Sebagai contoh, seseorang boleh menguasai bahasa Melayu melalui penghayatan lagu atau puisi.

Ada pula yang mempertingkatkan keupayaan berbahasa menerusi drama dan filem. Usaha-usaha ini perlu diteruskan.

Namun, saya fikir kita mungkin terlepas pandang dengan keupayaan sastera untuk menyemai cinta kepada bahasa Melayu. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, cinta saya pada bahasa berputik semasa belajar bidang sastera di peringkat GCE ‘A’.

Sebelum ini, di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah, saya bergiat aktif dalam bidang puisi dan syair. Lewat pembelajaran sastera, saya diperkenalkan dengan pemikiran dan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu.

Malah pembacaan sastera kemudian mematangkan saya untuk membaca tentang isu-isu berkaitan politik Melayu di Malaysia dan Singapura, sehinggakan analisa politik dan masyarakat saya merangkumi bahan-bahan sastera.

SASTERA MEMBUKA MATA

Pembelajaran sastera di maktab rendah mewajibkan pelajar untuk mendalami novel Salina karya A Samad Said. Ia sesuatu yang membuka mata saya, terutama sekali tentang kehidupan masyarakat pasca peperangan.

Isu-isu pembangunan masyarakat Melayu yang sedang melarat juga dibangkitkan dengan cara menarik. Sastera bukan sahaja boleh memantapkan penggunaan bahasa Melayu, ia juga boleh mengajar kita tentang nilai-nilai, budaya, dan adat resam orang Melayu.

Sastera juga memberi kesedaran tentang isu-isu nasional dan kesan pada masyarakat bawahan. Ia memberikan suara kepada golongan yang terpinggir. Sebagai contoh, cerpen Emak Ingin Naik Haji tulisan Asma Nadia dari Indonesia mengajar kita perit-jerih dan pengorbanan seorang anak agar emaknya yang sudah berusia dapat menunaikan ibadah haji di Makkah.

Cerpen ini mengajak kita membuat perbandingan antara golongan berada (“the haves”) dan golongan susah (“the have-nots”), yang harus membuat pengorbanan dengan cara tersendiri demi menyahut seruan menunaikan rukun Islam ke lima tersebut.

RENUNGAN ISU-ISU MASYARAKAT

Demi cinta kepada bahasa, kita perlu menyokong tulisan-tulisan sasterawan kita. Penulisan sastera mengandungi elemen sejarah, kerana ia mencermin renungan cendekiawan kita terhadap isu-isu masyarakat sekelilingnya.

Sastera juga satu kritikan sosial yang penting untuk memajukan masyarakat. Kritikan-kritikan melalui sastera mungkin bernada halus dan berhemah, kekadang berbentuk jenaka, namun ia mengandungi pesanan yang tidak kurang tajamnya.

Bacalah karya-karya Dr Muhammad Ariff Ahmad, Suratman Markasan, Mohammed Latiff Mohammed, Yatiman Yusof, dan Hadijah Rahmat, kerana tulisan mereka mengandungi permata berupa pengamatan sosial, termasuk isu-isu tentang kehidupan agama, jurang kelas dalam masyarakat, jenayah, masalah kepimpinan, kemajuan, dan sebagainya.

Justeru, saya syorkan agar kita dapat tingkatkan mutu pembelajaran sastera dalam kurikulum bahasa di sekolah-sekolah kita. Ini bukan hanya dapat menggalak pelajar-pelajar kita agar berjinak-jinak pada teks-teks bahasa Melayu, tetapi sekaligus memahami pandangan pemikir-pemikir kita.

Semoga kita dapat terus memartabatkan bahasa kita, dan memajukan masyarakat kita melalui nilai dan jati dirinya. Saya yakin, sastera boleh menjadi pemangkin pada usaha kita untuk memartabatkan penguasaan bahasa kita.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS- Institut Yusof Ishak. Beliau penyunting bersama Majulah! 50 years of Malay/Muslim community in Singapore bersama Duta Encik Zainul Abidin Rasheed.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan