Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pokai selepas Hari Raya?

Diam tak diam, hari ini (31 Mei) sudah 15 hari kita berpuasa. Bermakna tinggal lagi dua minggu sahaja sebelum menjelangnya Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pokai selepas Hari Raya?

(Gambar: Sakini Mohd Said/ Facebook)

BERITAMediacorp: Diam tak diam, hari ini (31 Mei) sudah 15 hari kita berpuasa. Bermakna tinggal lagi dua minggu sahaja sebelum menjelangnya Hari Raya. Bermakna, sudah semakin rancak masyarakat muslim seperti di Singapura dan Malaysia, membuat persiapan untuk Hari Raya.

Benarkah, kita mudah 'terhasut' dek godaan berbelanja untuk Hari Raya sehingga menjadi boros dan akhirnya pokai selepas Lebaran? Apakah mentaliti berhubung persiapan Hari Raya yang tidak seharusnya dianuti? Wartawan agensi BERNAMA, berkongsi pemerhatiannya tentang isu tersebut di kalangan masyarakat negaranya, Malaysia, dan menghasilkan KOMENTAR ini:

Suasana di Geylang Serai. (Gambar: BERITAMediacorp)

Bahang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hangat dirasai. Masakan tidaknya, sana sini begitu meriah dengan promosi raya yang ditawarkan oleh peniaga sehingga memenuhi setiap sudut kota dan luar bandar negara ini.

Katakanlah apa sahaja, alas meja, kuih raya, baju raya perabot mahupun pelbagai barangan elektronik, semuanya dijual pada harga sangat istimewa ataupun dalam kata lain ‘harga runtuh’ bagi menambat hati pelanggan.

Tidak dinafikan, promosi hebat seperti ini sedikit sebanyak berjaya ‘memukau’ pelanggan untuk berbelanja lebih menjelang musim perayaan. Kalau dilihat pada trend raya sebelum ini, ia bukanlah sesuatu yang asing apabila masih ada segelintir masyarakat boros berbelanja hanya semata-mata ingin meraikan perayaan dengan meriah.

Paling menyedihkan, apabila ada antaranya menjadi ‘pokai’ sementara menunggu gaji bulan seterusnya berikutan gagal mengawal nafsu berbelanja mereka sebelum itu. Justeru, timbul persoalan adakah budaya tidak sihat ini akan terus menerus berlaku pada tahun ini?

Walhal peringatan mengenainya banyak kali ditekankan setiap kali menjelang perayaan sehingga ada mempertikaikan bahawa ia isu lapuk. Adakah ini menunjukkan masyarakat masih kurang kesedaran mengenainya?

HILANG PERTIMBANGAN

“Kesedaran pengguna untuk mengawal perbelanjaan mereka sepanjang musim perayaan didapati kian meningkat hasil daripada pelbagai kempen perancangan kewangan yang diadakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun mana-mana persatuan pengguna.

Bazar Ramadan di Hab Tampines Kita (OTH). (Gambar-gambar: Hab Tampines Kita)

(Gambar fail di sebuah bazar.)

“Mereka kini sudah dapat mengenal pasti dan membezakan antara keperluan dan kehendak selain bajet kewangan raya turut disediakan. Akan tetapi, semuanya jadi tidak tentu arah apabila pengguna sampai ke kedai, pasar raya atau bazar.

“Kami dapati, ada sebahagian masyarakat mula gagal mengawal nafsu berbelanja mereka dan terlupa bajet yang disediakan sebelum ini kerana terpengaruh dengan situasi persekitaran yang berjaya menarik pengguna untuk berbelanja lebih,” kata Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia ( FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman.

Tidak dinafikan, musim perayaan mempunyai ‘aura’ tersendiri yang membuatkan ramai mula lupa akan kepentingan pengawalan perbelanjaan dan mula berbelanja lebih kerana ingin tampil menarik pada pagi Raya.

Ditambah pula suasana kemeriahan itu sendiri dengan lagu atau muzik Raya yang berkumandang serta persekitaran orang ramai berpusu-pusu membeli-belah barangan, sedikit sebanyak turut membangkitkan semangat seseorang itu berbelanja sakan.

Malah, pada masa inilah mereka lupa mengenal pasti yang mana satu kehendak kerana di mata majoriti besar pengguna ketika itu semuanya dilihat sebagai keperluan.

HANYA GIMIK

“Masalah ini menyentuh naluri seorang manusia. Memang naluri kita suka berbelanja lebih apatah lagi jika hendak menyambut raya. Belanja untuk hari raya memang tidak dapat dielakkan cuma menjadi masalah kalau ia dilakukan secara tidak berhemah.

Para pelanggan di luar pusat beli-belah Tangs. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

(Gambar hiasan membeli-belah.)

“Kalau daripada sudut psikologi, memang ada kecenderungan seseorang pengguna berbelanja lebih apabila sesuatu lagu itu dimainkan di mana-mana pusat membeli-belah.

“Ini kerana, ia strategi peniaga untuk membuatkan pengguna berada lama di pasar raya dan sekali gus mendorong pengguna berbelanja sakan,” katanya kepada Bernama.

Mengenai lambakan jualan murah, beliau berkata perihal berkenaan sudah banyak kali diingatkan kepada pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan sedemikian rupa berikutan ada antaranya hanyalah gimik musim perayaan.

Biarpun demikian, masih ramai yang terpengaruh dan tertipu dengan iklan jualan murah walhal harga ditetapkan adalah harga asal dan bukanlah harga istimewa sepertimana didakwa peniaga.

Hasil tinjauan FOMCA sebelum ini mendapati ada sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga pada musim perayaan untuk mengaut keuntungan berganda.

“Entah mengapa majoriti besar masyarakat menjadi tamak berbelanja jika ada tawaran potongan harga sedangkan ia bukanlah murah yang disangka. Misalnya, harga barang itu sebenarnya adalah RM50 tetapi dia letak harga RM100 dan bagi diskaun 50 peratus, jadi ia kembali kepada harga asal.

“Disebabkan itulah FOMCA amat menekankan kepentingan membuat pembandingan harga sebelum membeli barang,” katanya.

RAYAKAN SETAHUN SEKALI

Dalam masa yang sama, FOMCA melahirkan kebimbangan apabila masih ada segelintir besar masyarakat terus cuba menghalalkan niat perbelanjaan mereka dengan berpegang kepada ungkapan ‘raya hanya setahun sekali, jadi apa salahnya berbelanja lebih’.

'The Royal Raya' menjanjikan pengalaman membeli-belah yang selesa dan tanpa tunai dengan himpunan lebih 4,000 produk eksklusif.

(Gambar hiasan: Bazar di Geylang)

Persepsi sedemikian tidak boleh dipandang remeh kerana ia antara punca yang menjurus pengguna untuk beranggapan bahawa kemeriahan Syawal hanya dapat dirasai apabila semuanya perlu ditukar baru.

Tidak salah adanya pakaian baru, perabot baru meraikan perayaan tetapi kalau setiap kali Raya semuanya hendak ditukar baru walhal ia masih lagi dalam keadaan baik itu sebenarnya mengundang masalah.

Keadaan bertambah buruk, apabila ada yang sanggup belanja berhabis-habisan dan berhutang menggunakan kad kredit atau kemudahan bayaran ansuran yang disediakan oleh sesetengah pengusaha kedai elektronik, perabot mahupun pasar raya.

“Kita juga pernah dengar sebelum ini ada yang sanggup berhutang dengan ah long semata-mata untuk beraya. Persoalan sangat penting, perlukah kita berhutang hanya kerana ingin memenuhi tuntutan kehendak dan bukannya keperluan?

“Saya dapati sikap boros sebegini terjadi juga disebabkan sikap suka menunjuk-nunjuk dan pantang melihat orang lain lebih berada daripada kita. Kalau boleh, kita hendak jaga status dan biarlah orang puji.

“Bagi saya, ini bukan tindakan bijak. Buat apalah menyeksa diri hanya semata-mata ingin mendapat pujian orang. Belanjalah mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Adalah sewajarnya budaya tidak sihat ini diperbetulkan kerana ia jelas tersasar daripada matlamat perayaan yang sebenarnya. Meraikan Hari Raya bukanlah berlandaskan kepada konsep serba serbi baru tetapi ia lebih kepada kepentingan mengukuhkan silaturahim bersama keluarga, saudara-mara mahupun rakan.

TIPS

Sepertimana ramai sedia maklum impak selepas Raya di mana majoritinya mengeluh tidak cukup wang belanja sehingga terpaksa ‘ikat perut’ sementara menunggu gaji seterusnya. Justeru diharapkan kali ini tidak berulang lagi.

(Gambar hiasan: Eduardo Soteras/ AFP)

(Gambar hiasan: Eduardo Soteras/ AFP)

Bagi kakitangan kerajaan yang bakal mendapat gaji awal Jun (7 Jun), masih belum terlambat menguruskan perbelanjaan sebaiknya.

Pembayaran gaji sepatutnya diberikan pada 25 haribulan setiap bulan tetapi diawalkan bagi meringan beban keluarga meraikan perayaan. Namun, kegagalan merancang dengan baik boleh menyukarkan kehidupan kerana akaun hanya kembali terisi selepas 47 hari.

Oleh itu, asingkan dahulu tuntutan kepentingan perbelanjaan seperti ansuran rumah, kereta, simpanan dan selebihnya barulah dibelanjakan. Jangan sesekali cuba menangguhkan pembayaran pada bulan berikutnya semata-mata untuk berbelanja sakan pada Hari Raya kerana pelbagai situasi boleh berlaku, kata Mohd Yusof.

“Masalah ikat perut, muflis adalah disebabkan terlalu boros berbelanja. Disebabkan itu, masyarakat kena ubah sikap dan sudah ada satu jumlah wang yang disimpan sejak awal lagi untuk digunakan sebelum, semasa dan selepas perayaan.

“Ini kerana, kita tidak tahu apa yang berlaku pada kemudian hari. Mungkin situasi kecemasan seperti kereta rosak, orang sakit boleh berlaku yang mana ini semua memerlukan duit,” katanya. 

Sumber : Bernama/BERITAMediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan