Images
  • tech sg generic
    (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

KOMENTAR: Perkembangan teknologi ancam pekerjaan dan juga sediakan peluang baru

BERITAmediacorp: Perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) memang membimbangkan kalangan pekerja. Namun terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada perjalanan AI sejauh ini seperti yang ditegaskan oleh Penyelidik Ekonomi dan Anggota Parlimen, Saktiandi Supaat dalam tulisan beliau berikut:


(Gambar: Saktiandi Supaat/Facebook)

Ramai di antara kira mungkin masih ingat lagi bahawa satu ketika dahulu kita pernah dikejutkan dengan perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita, disebabkan perubahan-perubahan keadaan.

Saya akan berikan contoh mudah, yang berlaku di pejabat-pejabat kita. Dahulu seorang penyambut tamu menjadi satu kemestian. Beliaulah ‘wajah’ bagi syarikatnya dan beliau akan menguntum senyuman sambil menyambut para tetamu.

Kemudian muncul pula teknologi seperti kamera litar tertutup dan papan kekunci yang dipasang pada pintu masuk. Meja penyambut tamu terbengkalai. Tekan sahaja nombor sambungan untuk hubungi kakitangan pejabat atau tekan sifar jika memerlukan bantuan.

Kereta api tanpa pemandu adalah satu lagi contoh. Di Lapangan Terbang Changi ia bergerak dari Terminal 1 ke Terminal 2. Ia dikatakan kereta api automatik dan tanpa pemandu yang pertama seumpamanya di Asia pada tahun 1990.

Ia disifatkan sebagai pengangkutan automatik untuk masyarakat.

Kemudian, konsep itu diperkenalkan di estet-estet perumahan pada tahun 1999 menerusi Sistem Rel Ringan (LRT).

TEKNOLOGI BERKEMBANG PESAT 

Hari ini, teknologi berkembang dengan begitu pesat, menyusupi segenap aspek kehidupan kita - baik di pejabat mahupun di rumah. Kita tidak boleh memandang ke belakang lagi. Kita mesti mendakap perubahan ini, gunakan dan manfaatkannya atau kita akan terus ketinggalan.

Kita tidak boleh terus berada di takuk lama kerana kita hidup dalam sebuah negara yang asetnya hanyalah sumber-sumber manusia. Ya, saya dan kita semua.

Era digital sudah bermula dan jika kita lihat dua tahun dari sekarang sehingga 2020, seluruh penduduk dunia dijangka terhubung kepada internet. Akan terdapat sekitar 50 bilion peralatan yang juga terhubung.

Kita sudah melalui pelbagai revolusi ekonomi, dari revolusi perusahaan yang pertama sehingga keempat, iaitu revolusi digital. Kita membaca tentang automasi, robotik, kecerdasan buatan, ‘blockchain’ iaitu sistem yang mencatat urus niaga menerusi mata wang kripto atau bitcoin dan sebagainya.

Menjelang tahun 2030, sepertiga daripada pekerjaan kita akan berubah menjadi automatik. Pada waktu itu, terdapat 806,000 orang di bawah usia 15 tahun dan kira-kira 1.8 juta orang berusia 65 tahun dan ke atas (atau sekitar 28 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk).

Dalam kalangan graduan baru kita, sehingga 53 peratus bekerja sambilan pada tahun 2016. Ini adalah trend di Amerika Syarikat dan ia kian menjadi trend di Singapura juga.

PEKERJAAN JANGKA PENDEK 

Menurut kajian yang dijalankan oleh syarikat Intuit Inc, ia menjangka bahawa menjelang tahun 2020, 40 peratus daripada pekerja Amerika akan bertugas sebagai pekerja kontrak bebas.

Mengapa?


(Gambar fail: TODAY)

Terdapat beberapa sebab bertambahnya pekerjaan-pekerjaan jangka pendek ini. Salah satunya, dalam era digital ini, tenaga kerja semakin boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Lantaran itu, para pekerja bebas boleh memilih antara pekerjaan sambilan dengan projek-projek, sementara majikan pula boleh memilih individu-individu terbaik bagi projek-projek tertentu. Anda mungkin akan terkejut apabila mengetahui bahawa 65 peratus daripada anak-anak kita akan menjalankan tugas yang belum wujud lagi hari ini.

PEKERJAAN BARU 

Gangguan teknologi akan dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik. Maka, akan ada pekerjaan-pekerjaan baru. Pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi lebih penting: para karyawan perlu mempertingkat diri dan mendapatkan pendidikan di samping bekerja sepenuh masa.

Menjelang tahun 2022, tidak kurang daripada 54 peratus daripada seluruh pekerja perlu menimba serta menajamkan kemahiran mereka.

Ini tentu sekali akan memberi kesan kepada sistem pendidikan kita dan pendidikan sepanjang hayat. Namun, kita masih ada peluang.

Malah, kita perlu mempelajari beberapa perkara daripada sejarah 70 tahun kecerdasan buatan. Bidang itu hanya ada satu penemuan, menurut pelabur dan bekas ketua Google China, Kai-Fu Lee: iaitu Deep Learning.

Katanya, tajuk-tajuk berita tentang AI memberikan diagnosis bagi barah, mendahului (manusia) dalam Go dan permainan catur serta melakukan pelbagai perkara menarik, sebabnya adalah semua ini hanya aplikasi-aplikasi yang dikendalikan di samping penemuan tersebut.

RANGKAIAN NEURAL 

Penemuan Deep Learning itu berlaku pada tahun 2012, apabila dua idea serupa digabungkan semasa satu pertandingan AI yang dipanggil cabaran ImageNet.

Seorang profesor di Universiti Princeton, Fei-Fei Li mengambil masa bertahun-tahun mengumpulkan dan menyusun imej-imej dengan pandangan bahawa dengan menunjukkan algoritma lebih banyak data lebih penting berbanding membentuk algoritma pembelajaran yang sempurna.

Di Universiti Toronto. Profesor Geoff Hinton dan dua mahasiswa Ph.D, Alex Krizhevsky dan Ilya Suskever menggunakan data Profesor Li untuk memperkukuh rangkaian saraf mereka.

Ini satu idea sampingan pada ketika itu. Ia mencedok inspirasi daripada bagaimana otak menggunakan pengagihan sel saraf untuk membentuk idea-idea lebih besar.


(Gambar hiasan: Jonathan Nackstrand/AFP)

Pasukan dari Toronto itu menyertai cabaran ImageNet dengan rangkaian saraf mereka dan menjadi pasukan pertama memecah ketepatan 75 peratus dalam pertandingan itu.

Dunia menyaksikan pencapaian mereka. Bermula tahun seterusnya, setiap pasukan yang menang menggunakan pendekatan rangkaian neural ini, yang dipanggil Deep Learning. Google kemudian menggajikan Hinton, Sutsker dam Krizhevsky dan tidak lama selepas itu konsep Deep Learning digunakan di mana-mana.

SIAP MASA DEPAN

Lee berpendapat bahawa penemuan itu akan terus menjadi ciri utama AI pada tahun-tahun akan datang. “Jangan menyangka bahawa ini adalah era Renaissance dengan berzilion-zilion penemuan,” katanya. “Hanya ada satu penemuan dan banyak aplikasi yang memanfaatkan penemuan itu.”

Jika kita mengambil pengajaran ini untuk masyarakat kita dan melihatnya sebagai penemuan utama bagi masyarakat kita - ia kekal penting untuk kita mewujudkan pemikiran Siap Masa Depan.

Ini dilakukan dengan memanfaatkan inisiatif-inisiatif nasional sedia ada seperti inisiatif SkillsFuture dan inisiatif Siap Masa Depan Mendaki, sebagai langkah permulaan supaya masyarakat kita lebih bersedia untuk masa depan dan merangsang lebih banyak peningkatan positif serta usaha-usaha bagi generasi masa depan dan yang sedia ada menerusi keadaan-keadaan luaran yang positif untuk masyarakat. Penerimaan masyarakat perlu dipertingkat dan dikekalkan - ayuh kita bersiap sedia untuk masa depan bagi mewujudkan masa depan yang lebih baik.

Misalnya SkillsFuture untuk para pelajar, di mana latihan amali yang dipertingkat akan dilaksanakan dalam dua pertiga daripada kursus-kursus yang ditawarkan di politeknik dan separuh kursus ITE.


Para penuntut boleh belajar menerusi tugasan bermakna dan pendedahan industri. Lulusan baru ITE dan politeknik akan ditempatkan dengan para majikan dan belajar secara berstruktur menerusi latihan sambil bekerja dan berdasarkan institusi.

PEMBELAJARAN BERMUTU TINGGI 

Pertubuhan-pertubuhan seperti SMCCI dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pula sedang mengorak langkah mengadakan pelbagai program pembelajaran bermutu tinggi bagi para pemilik perniagaan supaya mereka boleh berinteraksi dan meneroka bagaimana teknologi-teknologi baru sedang merubah perniagaan, masyarakat dan kemanusiaan serta untuk mereka membayangkan semula masa depan.

Apa yang kita perlukan adalah pembelajaran yang amat interaktif untuk mempersiap pihak pengurusan kanan serta para pemimpin perniagaan dalam masyarakat untuk membayangkan masa depan.

Di peringkat masyarakat, pertubuhan-pertubuhan seperti MENDAKI sedang berusaha mengadakan inisiatif-inisiatif Siap Masa Depan, biasiswa dan pinjaman pembelajaran. Menerusi inisiatif itu, MENDAKI mahu mendampingi para pelajar Melayu/Islam untuk:

  • Mewujudkan dan mempertingkat kesedaran terhadap perkembangan masa kini dalam membentuk ekonomi masa depan.
  • Menghubungkan para pelajar dengan inisiatif-inisiatif sekolah dan nasional yang relevan yang boleh membantu memaksimumkan potensi mereka.
  • Memperkukuh kecekapan abad ke-21 supaya mereka boleh menjadi relevan dan bersaing bagi kerjaya mereka di masa hadapan.

MENDAKI kini bekerjasama dengan ITE untuk menyokong pembangunan para penuntut mereka menerusi Ruang-Ruang Belia. Setiap ruang itu membolehkan MENDAKI mendampingi sehingga 100 pelajar setiap hari, dengan jumlah keseluruhan sesi melebihi 65,000 sejak tahun 2015. Ruang-Ruang Belia itu bertindak sebagai Hab Siap Masa Depan bagi menyediakan khidmat-khidmat berikut:

  • Kegiatan-kegiatan yang menumpukan kepada kemahiran-kemahiran abad ke-21
  • Program-program pembangunan
  • Sesi mentor
  • Rujukan kepada ECG dan khidmat-khidmat lain yang relevan bagi pelajar

PROGRAM FUTURE FIRST 

Program ini sejajar dan melengkapi kurikulum ECG dan Kemahiran Hidup di ITE.

Kandungannya termasuk:

  • Kemahiran bagi perubahan ekonomi
  • Pembangunan portfolio
  • Pemikiran kritis
  • Celik ICT
  • Pembelajaran sepanjang hayat

Cuba anda ‘Google’ tentang ‘Code in the Community’ (Kod dalam Masyarakat). Ia satu inisiatif untuk mengadakan kelas-kelas pengekodan kepada 3,000 anak muda rakyat Singapura dari keluarga-keluarga kurang bernasib baik. Ia merupakan kursus sains komputer dan pemikiran pengkomputeran yang berbilang tahun dan berbilang peringkat.

Ia menyasarkan untuk mendorong lebih ramai kanak-kanak rakyat Singapura untuk mempelajari tentang potensi teknologi dan merangsang keupayaan semula jadi mereka untuk belajar. Selain itu, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) juga menawarkan biasiswa.


PELUANG MENANTI

Banyak peluang yang menanti untuk direbut oleh masyarakat Melayu/Islam dan untuk kami mempersiapkan diri bagi ekonomi baru dan melengkapi diri bagi masa depan. Kumpulan-kumpulan khidmat sosial yang ada sedang mempertingkat sumber-sumber untuk menyediakan wadah-wadahnya untuk masyarakat.

Ini peluang untuk kita semua melangkah ke hadapan dan mendakapi perubahan dan mengimpikan masa depan lebih cerah.

Kita semua bimbang apakah kesan AI ke atas industri dan landskap pengambilan pekerja pada masa depan namun terdapat pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada perjalanan AI sejauh ini.

Sepertimana banyak perubahan berlaku dalam AI disebabkan penemuan konsep Deep Learning, masyarakat juga perlu melakukan yang sama menerusi inisiatif SkillsFuture dan Siap Masa Depan yang sedia ada sekarang. Ini supaya kita tidak ketinggalan.

Sekalipun demikian, minda kita - baik untuk kesediaan masa depan, menajamkan kemahiran atau sedia dari segi digital - ia sesuatu yang perlu kita mulakan sendiri.

Ayuh cabar sikap malas dalam diri kita dan sebagai permulaan, teliti bagaimana kita boleh belajar perkara-perkara baru, berinovasi dalam pekerjaan kita dan bagaimana kita boleh bekerjasama antara satu sama lain dan rakan-rakan seperti SkillsFuture, MENDAKI dan agensi-agensi lain untuk menjadikan diri kita dan anak-anak kita lebih relevan pada masa akan datang.


MENGENAI PENULIS
Saktiandi Supaat adalah ketua penyelidikan pertukaran asing bagi pasaran dan perbankan global Maybank. Beliau juga adalah Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.  

- BERITAmediacorp/aq

Top