Images
  • books generic
    (Gambar hiasan: Debby Hudson/Unsplash)

KOMENTAR: Nilai pendidikan tidak berbelah bahagi walaupun paradigmanya harus berubah

BERITAmediacorp: Sedang masyarakat semakin maju, sejauh manakah paradigma dan hala tuju pendidikan harus terus berubah? Dalam tulisan berikut, Felow Penyelidik Kanan Dr Maszenan Abdul Majid berpendapat pendidikan yang diibaratkan sebagai cahaya yang menyuluh kehidupan kita bukan saja akan meningkatkan taraf hidup bahkan membasmi ketidaksamarataan dalam masyarakat.


(Gambar: @moesingapore/Instagram)

Sejauh mana paradigma dan hala tuju pendidikan harus terus berubah supaya ia dapat menyediakan nilai tambah yang tinggi.

Pepatah Melayu yang berbunyi "Ilmu Suloh Hidup" mengibaratkan pendidikan sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kehidupan seseorang.

Ajaran Islam juga menggalak kita supaya menuntut ilmu hingga ke akhir hayat, seperti yang dipetik dari hadis “tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad”.

Sekalipun demikian, sedang masyarakat semakin maju, adakah paradigma ini dapat dikekalkan melewati ujian litmus pada era yang berbeza dalam kehidupan seseorang atau ia tidak lagi relevan dek masa yang berubah-ubah.

Semasa zaman penjajahan, peluang pekerjaan amat sedikit dan mereka yang memiliki pekerjaan memerlukan kemahiran asas seperti memandu kereta sebagai pemandu, pembantu rumah pula membasuh dan memasak, tukang kebun yang diupah dengan gaji yang rendah manakala selebihnya masih bekerja sebagai nelayan atau petani.

SEBELUM KEMERDEKAAN 

Bagi beberapa bilangan orang Melayu/Islam, penghulu memutuskan untuk menghantar anak-anak lelaki mereka ke sekolah, sementara anak perempuan masih terus di rumah untuk mempelajari kemahiran hidup bagi mempersiapkan diri sebelum berumahtangga, menjadi ibu dan isteri.

Sekolah-sekolah agama ketika itu turut menyediakan latihan dan program kemahiran bagi mempersiapkan pelajar menjadi kerani dan pentadbir.

Namun ini mewujudkan kesan ‘domino’ sedang para karyawan seperti guru untuk mendidik, jururawat untuk merawat, polis untuk memastikan undang-undang dan ketenteraman terpelihara diperlukan.

Malah keupayaan asas seperti membaca dan menulis diperlukan untuk membolehkan mereka bertugas dalam bidang-bidang tersebut. Lantaran itu, sijil tamat sekolah rendah diperlukan.

Orang-orang Cina tempatan yang mahukan pekerjaan profesional melanjutkan pelajaran menjangkaui peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah. Ada segelintir yang menyambung pengajian ke maktab dan universiti.

Biasanya mereka berjaya mendapatkan biasiswa untuk menuntut di England dan pulang ke Singapura selepas tamat pengajian untuk menjadi peguam, doktor dan pentadbir awam.

TINGKATKAN TARAF HIDUP 

Dari situlah permulaan mencari ilmu pengetahuan dan menajamkan kemahiran demi meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi. Bagi golongan miskin ini merupakan peluang untuk melepaskan diri dari lingkaran kemiskinan dan menyertai aliran utama ekonomi Singapura.

Kemudian, menyedari pentingnya untuk memelihara bahasa dan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India, sekolah Melayu, Cina dan India pula dibangunkan. Ini menyebabkan terbentuknya parti-parti politik yang memperjuangkan hak-hak mereka seperti UMNO, MCA dan MIC.


(Gambar: Arkib Negara)

Dengan perkembangan ini juga, akhbar seperti Utusan dan Min Pao muncul dan penulis terkenal seperti pendeta Za’ba muncul. Ini membantu mengembangkan budaya tersebut dalam kalangan para penerbit filem, penyanyi dan penulis lagu serta akhbar dan wartawan sebagai bakat dan kerjaya.

Pendidikan dilihat dapat mewujudkan peluang pekerjaan, menambah nilai dan kesan berganda, dengan munculnya sektor ekonomi yang baru.

SELEPAS KEMERDEKAAN 

Selepas Singapura merdeka, industri pengilangan memerlukan para pekerja berkemahiran dan terlatih, maka kilang memerlukan pengendali pengeluaran, teknisyen untuk menyenggara mesin pengeluaran, jurutera untuk mencipta enjin, membina bangunan dan kilang-kilang.

Dari kilang ke pengangkutan, ke perkapalan dan syarikat penerbangan, para pekerja berkemahiran baru diperlukan untuk mengendali, menyenggara dan membina prasarana kejuruteraan sedemikian, sangat dicari-cari.

Politeknik pertama di Singapura, iaitu Politeknik Singapura, melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang amat diperlukan, Universiti Singapura pula mula melatih dan melahirkan para jurutera.

Ibu bapa mahu anak-anak mereka diberi pendidikan kerana mereka menyedari ada pekerjaan-pekerjaan baik yang bergaji.

Ramai yang melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Ibu bapa menekankan kepada anak-anak mereka supaya menuntut ilmu.

Oleh kerana saiz keluarga pada zaman itu lazimnya besar, maka anak sulung biasanya berkorban dan memberi laluan kepada adik-beradik lain yang lebih muda untuk ke sekolah dan mendapat pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan.

BATU LONCATAN 

Tekanan yang diletakkan oleh ibu bapa ke atas anak-anak adalah disebabkan objektif mudah - iaitu pendidikan merupakan batu loncatan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.


Ini sekaligus bertindak sebagai pemangkin kesamarataan sosial.

Sedang masyarakat bertambah maju dan kehidupan lebih mewah, pandangan mengenai pendidikan kian terpesong.

Para pelajar semakin cenderung kepada kerjaya yang mendatangkan untung dan pulangan atas pelaburan (ROI), dengan menimbangkan tempoh dan masa yang sudah dihabiskan sepanjang pendidikan dan gaji dalam pasaran kerja.

Menerusi pemerhatian saya, ramai golongan bijak pandai memilih bidang perubatan (termasuk pergigian), undang-undang dan perniagaan sebagai kursus pilihan mereka.

EKONOMI BARU 

Bidang sains dan kejuruteraan tidak lagi menjadi pilihan utama kerana bukan sahaja ia merupakan kursus yang sukar malah pendapatannya tidak seimbang.

Kerjaya seperti guru dan jurutera jarang dipilih kerana kurang dihargai.

Ekonomi baru yang tertumpu kepada kecerdasan buatan, nanosains yang memberi tumpuan kepada pemberian ubat dengan cekap dan kejuruteraan nano bagi pembedahan mikro adalah perkembangan baru yang memerlukan saintis dan jurutera kreatif dan yang berfikir luar kotak untuk memacunya.

Semakin lama kita dapat melihat semakin banyak integrasi silang dan berbilang bidang dalam sains dan kejuruteraan.

Penting untuk kita mempunyai bakat-bakat sedemikian demi mempertingkat enjin ekonomi kita. Ini memerlukan pendedahan awal bagi murid-murid tadika supaya sikap ingin tahu, meneroka dan bekerjasama dapat disemai.

Maka, latihan penerokaan serta kegiatan seperti unjuk dan ujar mesti diadakan sehingga mereka berkeyakinan untuk membentangkan penemuan mereka.

TAHU APA YANG DIPERLUKAN

Pendidikan peringkat menengah harus memberi penekanan kepada penerapan amalan praktikal dalam minda mereka supaya mereka tahu apa yang diperlukan dalam pasaran kerjaya dan sama ada kemahiran mereka relevan serta sepadan dengan teknologi.

Terdapat juga segelintir yang bercita-cita untuk membangun kepimpinan supaya mereka boleh menerajui pasukan kakitangan dengan kemahiran yang pelbagai.


Oleh yang demikian, politeknik dan ITE harus terus memberi tumpuan kepada wadah sedemikian dan sejajarkannya.

Sistem pendidikan kita akan menyokong dan menaik taraf bidang kejuruteraan dan pendidikan teknikal sewajarnya.

Dengan latihan yang lebih baik serta penambahan nilai kepada pendidikan kejuruteraan dan teknikal, maka pakej gaji yang saksama dan setimpal layak diberikan kepada pengurus teknikal, jurutera dan teknisyen yang berkemahiran.

PERLU BERUBAH 

Industri perlu juga berubah supaya tenaga kerja berkemahiran dan terlatih akan wujud.

Perniagaan dan para CEO mesti menghargai dan menerima hakikat bahawa untuk berjaya dalam pasaran, pelaksanaan strategik model perniagaan mesti menyedari bahawa konsep ‘triple bottom line’, yang menilai tahap kejayaan sesuatu perusahaan menerusi tiga kriteria - ekonomi, sekitaran dan sosial, tidak bergantung kepada kos pengeluaran, sebaliknya mutu produk dan khidmat.

Satu pemerhatian yang menarik adalah, kita mempunyai tandas-tandas yang canggih dengan sensor dan sebagainya tetapi teknisyen dan pekerja pembersihan tidak dilatih dengan betul dari segi khidmat dan pembersihan.

Akibatnya tandas yang canggih itu tidak berfungsi pada tahap optimum malah menjadi yang paling teruk berbanding kemudahan tandas dunia pertama.

Oleh itu, mendapatkan kontraktor kos rendah dengan buruh murah tidak akan menambah nilai kepada prasarana moden dan khidmat. Ini telah dipertikaikan oleh pakar ekonomi, saintis sosial dan pemimpin perniagaan Amerika.

Mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian adalah matlamat utama ramai graduan selepas selesai modul di pelbagai peringkat. Pastinya mendapatkan pekerjaan yang berkaitan dengan latihan mereka adalah sesuatu yang ideal.

Syarikat-syarikat Jepun menyediakan latihan semasa kerja untuk memupuk budaya syarikat supaya para pekerja dapat maju seiring dengan syarikat.

BUKAN PENENTU KERJAYA

Pendidikan sering dikaitkan dengan keupayaan mendapatkan pekerjaan atau pekerjaan yang bagus. Namun hakikatnya, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dalam negara maju amat sengit.

Seringkali ini disebabkan oleh syarikat yang hanya melihat pada konsep ‘triple bottom line’ dan bukan mutu lulusan yang dihasilkan.

Lazimnya, ini disebabkan gaji yang diminta pemohon kerja dan gaji yang ditawarkan syarikat lain yang menjadi pesaing dan tidak ada kaitan dengan latihan serta pendidikan yang diperolehi.


Ibu bapa juga sering berharap anak-anak mereka mendapat gaji tinggi supaya mereka boleh membeli kereta, rumah, pergi bercuti, menyertai kelab elit dan mendapat pengiktirafan status sosial bahawa mereka sudah berjaya.

Pelajar, guru dan majikan mempunyai matlamat yang berbeza, dan ini sering mencetuskan tekanan dan menjadi sumber konflik.

SALING MENYALAHKAN 

Kemudian, bermula proses saling salah menyalahkan oleh ibu bapa yang menuding jari ke sekolah dan guru kerana kegagalan mendidik serta kurikulum yang kurang baik.

Para guru pula menyalahkan jumlah murid yang ramai bagi setiap kelas dan kurangnya teknologi pendidikan yang bagus.

Kurangnya semangat dan komitmen pelajar juga dipersalahkan dan ibu bapa dikatakan penyebabnya.

Salah tanggapan bahawa kelayakan tinggi dengan gaji yang setimpal hanyalah angan-angan atau impian yang tidak realistik.

Tidak boleh dinafikan bahawa ciri-ciri lain, selain pendidikan, juga diperlukan untuk berjaya dan untuk mengadili seseorang berjaya.

Melabel seseorang sebagai berjaya hanya berdasarkan sekeping kertas yang kita panggil ijazah adalah salah sama sekali.

Tamat pendidikan tidak menjamin pekerjaan yang baik, itulah hakikat yang perlu diterima.

SALAH TANGGAPAN 

Namun untuk menuding jari ke arah pendidikan sebagai satu kegagalan juga tidak adil. Tanggapan bahawa pendidikan menjamin pekerjaan harus segera dihentikan.

Hakikatnya, mendapatkan pekerjaan tidak ada kaitan dengan pendidikan kerana ada faktor lain yang mempengaruhi jumlah pekerjaan yang ditawarkan.


Ini termasuk pembangunan ekonomi negara dan pertumbuhan hasil pendapatan negara, keyakinan pelabur dan kestabilan politik.

Menambah nilai dalam pendidikan bermakna pengetahuan dengan nilai tambah. Penemuan baru saintifik akan mewujudkan pengetahuan baru dalam bidang pendidikan.

PENAMBAHAN NILAI 

Selain itu, pengetahuan juga harus diamalkan supaya ia menjadi penambahan nilai sekaligus merangsang ekonomi.

Jika tidak, ia hanya akan kekal sebagai pengetahuan sahaja. Sebagai contoh Sir Alexander Fleming menemui kulat yang menghasilkan bahan kimia yang menghalang pertumbuhan bakteria dan jangkitan.

Ini adalah pengetahuan asas. Tetapi untuk memanfaatkan kulat supaya dapat dijadikan antibiotik, ubat yang mencegah jangkitan, ia mengambil masa 30 tahun kemudian setelah selesai proses kejuruteraan untuk mengembangkan pengetahuan itu.

Hanya selepas proses itu berjaya dan ubat antibiotik dapat dihasilkan, ekonomi tumbuh dan industri-industri baru seperti farmaseutikal wujud.

Masalah seperti keselamatan makanan, kemampanan alam sekitar akan memacu pendidikan ke peringkat seterusnya.

Kebun menegak sayur-sayuran di bandar-bandar adalah pembangunan bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi dan ini membantu bekalan makanan dihantar ke pasaran dalam masa yang lebih singkat.

Oleh kerana jaraknya yang dekat, kita tidak lagi perlu menyembur pengawet dalam bekalan makanan sekaligus menghapuskan masalah kekurangan makanan.

Ladang-ladang pula dipasang pelbagai sensor yang dapat memantau kelembapan, kepekatan CO2 dan memanfaatkannya untuk pertumbuhan sayuran, mutu air dan merangsang pertumbuhan tumbuh-tumbuhan untuk meningkatkan hasil tanaman.

Sistem penghantar menggunakan tali sawat membolehkan tumbuhan bergerak dalam rumah hijau dari atas ke bawah, dari satu sisi ke sisi yang lain.

MENGAMALKAN PENGETAHUAN 

Kecerdasan Buatan dimanfaatkan untuk mengawal dan memberi respons kepada perubahan masa nyata dalam rumah hijau.

Bayangkan seorang petani mengendalikan ladangnya dengan menggunakan tetikus komputer sahaja. Ini adalah contoh revolusi pertanian melalui teknologi dan pengetahuan baru yang dapat digunakan dan mengubah cara kita mengendalikan ladang canggih.


(Gambar: AFP)

Ternyata, banyak pengetahuan dan pendidikan yang diamalkan yang kini dimanfaatkan dalam ladang-ladang bandar.

Cabarannya sekarang, ialah bagaimana kita dapat menyingkatkan langkah untuk mengamalkan pengetahuan yang sudah diperolehi bagi tujuan komersil dan perindustrian.

Pelaburan dalam penyelidikan menelan belanja yang banyak dan berisiko tinggi dan pelaksanaannya pula lebih mahal namun ia terbukti berkesan dan hasilnya dapat dimanfaatkan oleh pengilangan dan pengeluaran.

Ia juga berpotensi untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi. Lantaran itu bagi pertumbuhan ekonomi, perlu untuk kita melabur, membangunkan teknologi dan tenaga kerja yang diperlukan.

PARADIGMA BARU 

Politeknik dan universiti berorientasikan industri harus mencapai matlamat ini dan menjalin hubungan rapat dengan para pemain industri.

Di sekolah-sekolah rendah dan menengah kita mesti mendedahkan anak-anak muda kita kepada penemuan sedemikian untuk merangsang minda mereka yang sentiasa ingin tahu.

Sedang masa berlalu, kita mesti melahirkan individu-individu berbakat, berciri pemikir dan berupaya mengubah teori-teori penting dan menemui produk-produk dan khidmat yang praktikal untuk memacu ekonomi.

Ini mungkin paradigma baru bagi pendidikan praktikal yang diamalkan, bernilai tambah dan menyediakan kestabilan untuk masyarakat.


MENGENAI PENULIS
Dr Maszenan Abdul Majid adalah Felow Penyelidik Kanan dari Institut Sekitaran dan Kajian Air Nanyang, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). 

- BERITAmediacorp/aq

Top