Images
  • malaysia klcc
    (Gambar: Saeed Khan/AFP)

KOMENTAR: Mungkinkah politik berlandaskan kaum tiada lagi tempat di M’sia

BERITAmediacorp: Sejak kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya Mei lalu, ia telah melakukan beberapa perubahan menandakan isyarat jelas bahawa sistem berlandaskan kaum akan disemak semula. Namun dapatkah ia merubah sistem politik yang telah wujud selama enam dekad di mana sentimen kaum masih lagi menebal.

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 hingga ke hari ini, Malaysia disifatkan sebagai negara yang mengamalkan sistem berlandaskan kaum.

Ini adalah natijah daripada dasar-dasar semasa penjajahan Inggeris dari awal kurun ke 19 hingga ke tahun-tahun 1950an.

Sejak mencapai kemerdekaan, parti nasionalis Melayu UMNO memerintah Malaysia, dan berkongsi kuasa dengan parti-parti kaum lain: seperti MCA mewakili masyarakat Cina dan MIC untuk masyarakat India.

Kerjasama parti-parti politik berlandaskan kaum ini diluaskan lagi pada tahun 1973 dengan tertubuhnya Barisan Nasional (BN).

Perikatan ini bukan hanya merangkumi parti-parti politik yang disebutkan tadi, tetapi juga parti-parti yang mewakili masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.


(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

PERKONGSIAN KUASA

Model perkongsian kuasa ini telah memastikan UMNO terus memimpin Malaysia. Secara amnya, ia telah menjamin keamanan dan kesejahteraan buat negara tersebut, walaupun ada juga episod-episod berdarah, seperti rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan insiden Memali 1985.
Era kebangkitan Islam pada tahun-tahun 1980an and 1990an pula telah merubah landskap politik Melayu.

Parti-parti yang memperjuangkan Islam, terutama sekali PAS, semakin berpengaruh dan mula mencengkam negeri-negeri Pantai Timur yang mempunyai majoriti Melayu, seperti Kelantan dan Terengganu.

Malah UMNO sendiri harus menyesuaikan ideologi politiknya dengan memastikan bahawa ia juga dilihat sebagai memperjuangkan agama Islam, selain memainkan sentimen jati diri Melayu.


(Gambar fail: Tengku Bahar/ AFP)

PENCETUS PERUBAHAN

Kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu dikatakan sebagai pencetus perubahan landskap politik Malaysia.

Walaupun Pakatan Harapan diberi mandat untuk membersihkan sistem pentadbiran kerajaan, serta menangkis gejala rasuah yang berleluasa, ada pula yang optimis agar pertukaran kerajaan menjadi pemangkin pada perubahan sistem keseluruhannya.

Harapan ini termasuklah mengubah ke arah sistem berlandaskan meritokrasi.

Kerajaan Pakatan Harapan telah melakukan beberapa perubahan menandakan isyarat jelas bahawa sistem berlandaskan kaum akan disemak semula.

Misalnya, ia telah menamakan Encik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, satu jawatan penting dalam kabinet Malaysia yang setelah berdekad-dekad dipegang oleh orang Melayu.
Encik Lim bukanlah orang Cina yang pertama yang memegang jawatan tersebut; sebelum ini, Encik Tan Siew Sin, daripada MCA, telah memegang jawatan tersebut dalam kabinet Tunku Abdul Rahman.

Namun, setelah beberapa dekad barulah seorang bukan Melayu memegang jawatan tersebut.
Satu lagi contoh yang pada awalnya menimbulkan kontroversi adalah penamaan Encik Tommy Thomas—seorang India dan bukan beragama Islam—sebagai Peguam Negara (AG).


Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng.

KESUNGGUHAN MEMBUAT PERUBAHAN

Ini menimbulkan sedikit tengkarah terutama sekali ada yang mengatakan seorang peguam negara mestilah beragama Islam agar memahami undang-undang berlunaskan syariah.
Yang tidak bersetuju dengan perlantikan beliau juga menyatakan bahawa Tommy tidak boleh melaksanakan tugas beliau untuk “membantu” Yang Dipertuan Agong memelihara agama Islam. Kebolehan beliau bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik juga dipersoalkan.

Beberapa langkah drastik yang diambil PH ini boleh disifatkan sebagai kesungguhan untuk melakukan perubahan pada politik kaum.

Langkah-langkah ini dilaksanakan walaupun ada golongan yang cuba mempertahankan sentimen kaum dan agama.

Namun, setiap langkah perlu memakan masa dan kesungguhan politik (political will).
Bukan mudah untuk merubah sistem politik yang telah wujud selama enam dekad pemerintahan UMNO, dan sentimen kaum yang dipamerkan semasa pemerintahan penjajah lagi.


(Gambar: Ismail Sabri Yaakob/ Facebook)

BANTAHAN ANTI-ICERD

Bantahan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum) baru-baru ini menunjukkan bahawa mentaliti kaum masih kuat di Malaysia, dan ini diburukkan lagi apabila isu ini dipolitikkan.

Bantahan besar-besaran pada 8 Desember lalu itu, disertai sekitar 50 ribu orang, walaupun ada yang menganggarkan hampir setengah juta telah turun padang.

Ia dianjurkan oleh para pemimpun UMNO dan PAS sebagai tanda tidak setuju mereka dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan meratifikasi ICERD.

Semasa sidang puncak UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan rancangan kerajaan Malaysia untuk meratifikasi ICERD.

Beliau juga akui ada beberapa hal yang mesti diambil kita, kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama, budaya, dan bahasa.


(Gambar-gambar: Amir Yusof/Mediacorp)

HADAPI TENTANGAN HEBAT

Kemudian, usul ini dibawa ke parlimen dan menerima tentangan hebat daripada ahli-ahli dewan PAS dan UMNO.

Menteri Di pejabat Perdana Menteri, P Waytha Moorthy—yang menjadi juru bicara bagi kabinet semasa perdebatan diadakan di parlimen, juga dibidas hebat.

Kerajaan akhirnya menarik usul tersebut, kerana perdebatan soal ICERD sudah menjadi tidak terkawal.

Mentelah, wacana ratifikasi ICERD sudah dianggap sinonim dengan hasrat kerajaan memansuhkan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub pada Artikel 153 perlembagaan Malaysia.

Hakikatnya, mengiktirafan ICERD tidak ada kena mengena sama-sekali dengan hak Melayu dan bumiputera.

Tun Dr Mahathir akhirnya mengalah, dan bakal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga menyatakan pendirian yang sama.

Pucuk pangkalnya, Pakatan Harapan tidak boleh meratifikasi ICERD tanpa persetujuan parlimen, dan laluan ini amatlah sukar kerana kerajaan sekarang tidak ada dua-pertiga majoriti di parlimen.

(Gambar: BERNAMA)

KESUKARAN MERUBAH POLITIK KAUM

Ada beberapa faktor yang menyukarkan reformasi terhadap politik kaum. Pertama, walaupun UMNO tewas dalam Pilihanraya Umum 14, dan dilemahkan dengan perpecahan dalaman, ia masih meraih sokongan di akar umbi kawasan-kawasan Melayu.

PAS pula seakan-akan memberikan talian hayat kepada UMNO, dan perbincangan agar kedua-dua parti bekerjasama semakin hampir pada realiti. PAS mempunyai kubu kuatnya tersendiri di Kelantan dan Terengganu.

Konservatisme atau semangat untuk memelihara status sedia ada menyukarkan pembaharuan yang ingin di bawa Pakatan Harapan.

Kedua, walaupun PH mahukan perubahan, ini tidak semestinya dikongsi oleh pemimpin-pemimpin parti-parti lain.

Susur-galur parti-parti politik dalam PH yang juga berasal dari UMNO dan PAS, juga menjadi faktor.

Misalnya, PBBM (Bersatu) adalah serpihan UMNO, manakala parti Amanah daripada PAS.

Malah parti terbesar Pakatan Harapan, PKR sendiri adalah serpihan daripada UMNO, walaupun ia mempunyai sejarah lebih panjang berbanding Bersatu dan Amanah menentang parti Melayu tersebut.


(Gambar: VINCENT THIAN/AP)

PERLUKAN MASA YANG PANJANG

Justeru, tidak hairanlah jika tentangan terhadap ICERD ini selari dengan perjuangan Bersatu yang mementingkan hak-hak pribumi dan Melayu.

Perbalahan ini jelas menunjukkan bahawa masa yang panjang diperlukan untuk merubah sentimen kaum di Malaysia.

Kerana panjangnya sejarah pemekaran sistem berlandaskan kaum ini—dari zaman kolonial, ke zaman kemerdekaan, dan kemudian kebangkitan Islam—Pakatan Harapan memerlukan peralihan satu atau dua generasi sebelum melihat hasil perubahan.

Adalah diharapkan bahawa acuan perubahan ini dimulakan pada landasan yang betul dan tidak dibajak oleh pihak-pihak berkepentingan.


Mengenai penulis:

Dr Norshahril Saat ialah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau penulis The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press and ISEAS, 2018)  

- BERITAmediacorp/nk

Top