Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memperingati 200 tahun S’pura tidak bermakna meraikan penjajahan

Sambutan memperingati 200 tahun Singapura akan terus mencetuskan pelbagai perbincangan tentang pengertian sambutan dwi-abad itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Memperingati 200 tahun S’pura tidak bermakna meraikan penjajahan

Para pembantu bagi penduduk Eropah di Singapura pada abad ke-19. (Gambar: G.R Lambert & Co. Fotoalbum Singapur dari National Library Board)

Sambutan memperingati 200 tahun Singapura memasuki era baru dengan kedatangan Inggeris akan terus mencetuskan pelbagai perbincangan tentang pengertian sambutan dwi-abad itu. Namun ada juga yang melihat sambutan tersebut membuka peluang untuk kita merenungkan makna sebenar peristiwa bersejarah itu termasuk warisan penjajahan yang ditinggalkannya. Dalam tulisan berikut, penulis Syafiqah Jaafar mengajak pembaca meneroka pengertian penjajahan itu sendiri sebagai salah satu natijah daripada langkah memperingati 200 tahun Singapura.

Pada abad tersebut, warga Eropah gemar memetik gambar bersama pembantu mereka dan mengirimnya pulang. (Gambar: National Museum of Singapore, National Heritage Board)

BERITAmediacorp: Sejak kebelakangan ini, kolonialisme atau penjajahan menjadi topik yang agak sensitif bagi warga Singapura.

Untuk sekian lama, kedatangan Stamford Raffles, Syarikat Hindia Timur serta sistem pentadbiran yang dibawa masuk mereka pada tahun 1819 dianggap sebagai suatu kejahatan yang perlu (necessary evil); tanpa mereka, kononnya Singapura tidak akan mampu maju daripada sebuah kampung perikanan yang lesu untuk menjadi bandar raya moden.

Namun ramai yang meluahkan rasa kurang senang kerana pulau ini dan masyarakatnya pernah dijajah, dan juga kerana mereka lebih peka tentang kesan negatif penjajahan terhadap Singapura.

Jadi tidak hairanlah kalau langkah untuk memperingati dwi-abad 1819 pada tahun hadapan disambut dengan keprihatinan sekiranya ia bermaksud untuk meraikan bertapaknya penjajahan di Singapura.

Ditambah pula dengan ura-ura untuk mengadakan perbarisan Hari Kebangsaan 2019 di Padang, iaitu lokasi termeterainya perjanjian 1819 antara Raffles dengan Tengku Long yang membenarkan Inggeris berkuasa di Singapura.

JALUR NARATIF SEJARAH

Mentelah lagi Pejabat 200 Tahun Singapura (Singapore Bicentennial Office) juga samar-samar tentang jalur naratif sejarah yang bakal diketengahkan pada tahun hadapan.

Hal ini semua telah menyebabkan sesetengah pihak mempersoal kewajaran memperingati 1819 di Singapura, kerana tidak mahu zaman penjajahan terus-terusan dijulang sebagai tempoh sejarah yang harus dibanggakan masyarakat.

Keputusan untuk memperingati dwi-abad 1819 barangkali mengundang kontroversi disebabkan cara kolonialisme dipaparkan dalam naratif-naratif sejarah yang besar (grand narrative) tentang Singapura.

Naratif-naratif ini bukan sahaja menjadi paksi buku teks sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah, tapi juga kisah standar Singapura yang diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa yang kagum dengan pencapaian negara selama ini.

Kedudukan penjajahan dalam lintasan sejarah Singapura seringkali digarap dengan acuh tak acuh. Kerajaan kolonial Inggeris, biarpun diakui sebagai mempunyai banyak kekurangan, kekal dipandang sebagai kuasa yang pentadbirannya lebih positif berbanding dengan rejim kolonial lain di rantau ini.

Manakala naratif sejarah dominan yang meletakkan Raffles dan kedatangannya ke Singapura sebagai titik permulaan sejarah di Singapura sebenarnya suatu kelangsungan naratif yang sudahpun wujud dalam tulisan-tulisan sejarah semenjak awal abad ke-20.

MENILAI KEMBALI NARATIF

Meskipun terdapat usaha oleh beberapa ahli sejarah pasca merdeka untuk menilai kembali naratif ini, misalnya dengan mengundurkan permulaan sejarah pulau ini kepada abad ke-14, naratif dominan tentang Raffles dan 1819 sukar untuk diketepikan sepenuhnya.

Cogan kata pihak SBO sempena memperingati dwi-abad 1819 yang bakal berlangsung tahun hadapan pula adalah Dua Ratus Tahun Sejarah (200 years of history), seolah-olah sebelum kedatangan Raffles dan penjajahan, Singapura tidak mempunyai masa silam yang layak untuk dikenang.

Telok Ayer Street pada masa dahulu. (Gambar: National Archives of Singapore)

Dengan meneruskan usaha memperingati dwi-abad 1819, timbul persoalan tidakkah ini akan mengampuhkan naratif-naratif sejarah besar yang dominan yang bersifat neutral ataupun menerima dengan rela hati babak penjajahan dalam sejarah negara.

TUJUAN MEMPERINGATI

Jadi apakah ini bermakna bahawa tindakan yang lebih wajar adalah untuk tidak memperingati 1819 dalam apa bentuk sekalipun, kerana dikhuatiri memperingatinya sama seperti meraikan penjajahan di Singapura?

Terlebih dahulu, kita harus membuang sejauh mungkin salah tanggapan tentang fungsi sesuatu peringatan (commemoration) dalam masyarakat.

Sambutan peringatan pada dasarnya bersifat reflektif dan bukan seperti yang difikir sesetengah pihak sebagai langkah mengagung-agungkan sesuatu.

Fungsi atau tujuan sesuatu peringatan adalah untuk memastikan memori sejarah dalam masyarakat tetap hidup.

MERENUNG KEMBALI

Menerusi sambutan seperti itu, masyarakat diajak untuk merenung kembali sesuatu peristiwa, mengimbau kepentingannya kepada mereka, dan apa yang dapat dipelajari.

Daripada kita menolak sepenuhnya usulan untuk mengadakan sambutan peringatan dwi-abad 1819, mungkin ada baiknya kita menjadikannya peluang untuk menilai kembali cara kita berfikir tentang penjajahan sebagai sesuatu yang hitam putih.

Gambar fail Sir Stamford Raffles statue yang sedang menjalani kerja-kerja pembersihan. (Gambar: TODAY)

Gambar: TODAY

Di satu pihak, golongan penjajah, dan di pihak yang lain, golongan yang terjajah. Pada satu sisi, mereka yang berkulit putih, dan di sisi yang lain pula, mereka yang kulitnya berwarna.

Tapi hakikatnya, sejauh mana pensifatan sebegini wajar, dan apa pula kesannya untuk kita yang kononnya merupakan masyakarat pasca kolonial apabila kita mengimbau kembali sejarah penjajahan Singapura?

DIJAJAH ATAU PENJAJAH

Sebuah masyarakat kolonial sering dianggap terbentuk daripada dua kelompok: mereka yang menjajah, dan mereka yang terjajah. Seringkali juga, masyarakat penjajah dikaitkan secara khusus dengan orang Eropah, manakala orang Asia merupakan masyarakat terjajah.

Pandangan sebegini bagaimanapun melupakan sesuatu yang penting: kolonialisme tidak akan mampu bertahan selama seabad lebih tanpa wujudnya golongan yang menjadi perantara antara penjajah dan yang dijajah, baik di Singapura ataupun di tempat-tempat lain. Untuk golongan perantara ini, siapakah mereka - penjajah atau dijajah?

Traditionalism and the Ascendency of the Ruling Class. (Gambar: NUS Press)

Mendiang Diana J. Amoroso, dalam buku beliau Traditionalism and the Ascendency of the Ruling Class, membentangkan bahawa pengukuhan status sosial dan kekayaan raja-raja Melayu dalam masyarakat adalah hasil kerjasama mereka dengan pihak penjajah Inggeris antargenerasi.

Dalam erti kata lain, raja-raja Melayu di zaman penjajahan membenarkan negeri-negeri mereka dijajah secara tidak formal demi kepentingan politik mereka sendiri. Mentelah lagi pertabalan raja-raja ini juga perlu mendapat persetujuan para Residen yang dihantar Pejabat Kolonial ke negeri-negeri Melayu.

Wajarkah mereka dikategorikan sebagai mangsa jajahan, hanya kerana mereka tidak berkulit putih? Atau wajarkah mereka juga diakui sebagai golongan penjajah bersama Inggeris?

Bagaimana pula dengan orang biasa yang mencari rezeki dengan bekerja untuk pejabat pentadbiran pihak Inggeris yang saat itu wujud sepertimana perkhidmatan awam wujud di Singapura pada masa kini – misalnya sebagai penulis-penterjermah, pegawai auksilari, jurumudi, dan sebagainya?

Apakah dengan bekerja untuk pihak Inggeris dan secara tidak langsung memastikan sistem jajahan mereka mampu berjalan dengan lancar, mereka tidak layak dianggap sebagai sebahagian daripada golongan yang dijajah?

PERLUNYA MEMPERINGATI

Di sinilah sambutan memperingati dwi-abad sejak 1819 menjadi suatu proses yang perlu untuk masyarakat Singapura dan tidak wajar diketepikan.

Memperingatinya secara begini memaksa diri kita untuk menilai semula cara kita berfikir tentang penjajahan sebagai suatu yang hitam dan putih semata-mata, dengan masyarakat ketika itu hanya terbahagi kepada penjajah dan yang terjajah, sebagaimana yang ditentukan oleh warna kulit mereka.

Sekaligus sambutan memperingati 1819 juga mengundang refleksi terhadap diri kita sendiri yang kononnya generasi pasca kolonial, tapi masih sukar untuk keluar daripada bayang-bayang Raffles yang masih dipandang tinggi dalam naratif sejarah dominan: apakah kita sudah benar-benar sudah pasca kolonial yakni mengatasi kolonialisme dan penjajahan dalam pelbagai aspek seharian, atau apakah pasca kolonial kita hanya sekadar jaluran masa sahaja?

MENGENAI PENULIS:

Nur Syafiqah Ahmad Jaaffar adalah calon Sarjana di Jabatan Sejarah, Universiti Nasional Singapura (NUS). Kajiannya tertumpu kepada persimpangan sejarah, sastera, dan imej visual. Beliau juga penulis bebas dan editor sebuah penerbitan digital tentang Singapura di abad ke-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan