Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melayu S’pura dalam era sebelum Perang – dari kaca mata Pak Sako

Bagaimanakah keadaan dan kehidupan masyarakat Melayu/Islam Singapura pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Melayu S’pura dalam era sebelum Perang – dari kaca mata Pak Sako

(Gambar: Ishak Haji Muhammad/Facebook)

BERITAmediacorp: Bagaimanakah keadaan dan kehidupan masyarakat Melayu/Islam Singapura pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua? Apakah corak kehidupan dan isu-isu yang dihadapinya ketika itu? Sejauh manakah kita boleh memahaminya dengan mengkaji tulisan wartawan dan juga sasterawan veteran seperti Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (1909-1991)?

Inilah yang dikupas oleh ahli akademik yang juga penulis Dr Mohd Faizal Musa dalam sumbangan KOMENTAR beliau kepada BERITAmediacorp ini:

Salah satu sebab keterujaan beliau untuk ke Singapura itu adalah, seperti dituliskan oleh beliau: ‘Saya telah puas mengembara dari sebuah negeri Melayu ke sebuah negeri Melayu, masuk kampung keluar kampung memerhatikan dan menyiasat beberapa perkara yang wajib menjadi bekalan-bekalan atau modal pekerjaan saya. Maka inginlah saya hendak melihat hal keadaan dalam bandar yang besar seperti Singapura.’ (Pak Sako. 1975. Tiga Tahun di Singapura. Pustaka Budaya Agency. Petaling Jaya.)

Pak Sako mulai bekerja di pejabat ‘Warta Malaya’, di Singapura pada 25 haribulan September 1937. Selama tiga tahun di Singapura beliau mencatat pengalaman dan pemerhatian beliau di Singapura untuk akhbar Utusan Zaman pada tarikh 5, 12, 19, dan 26 Oktober 1940.

GAMBARAN MELAYU S’PURA

Meskipun catatan beliau itu pendek-pendek tetapi ia dapat memberikan kita serba-sedikit gambaran umum mengenai gejolak umat Melayu/Islam di Singapura, dan juga suasana di kota pulau ketika itu.

Ketika di Singapura, Pak Sako menghuni sebuah rumah di Geylang secara percuma. Rumah tersebut terletak berdepan dengan Rumah Pasung Geylang dan beliau menukilkan: ‘Rumah itu cukup lengkap dengan alat-alat perhiasannya yang cantik, bersih dan lapang” tetapi di sekitarnya “bunyi tram, motokar-motokar dan bas lalu lalang tidak putus-putus bersambut dengan loceng besikal-besikal, terompah dan kasut orang-orang yang senantiasa sibuk ke hilir ke hulu bergopoh gapah lakunya.’ (hlm.19)

Untuk menghilangkan kesepian (kerana belum ada kawan) di Singapura, Pak Sako menceritakan perihal beliau melawat sebuah zoo yang bertempat di Punggol pada 6 Oktober 1937. (hlm.19)

Tugasan penting pertama beliau selaku wartawan adalah untuk melaporkan persidangan mesyuarat kerajaan Negeri-negeri Selat (Legislative Council) pada 25 Oktober 1937.

Pak Sako menukilkan betapa bangganya beliau kerana hanya dirinya seorang ‘wartawan Melayu di antara wartawan-wartawan yang banyak itu’. (hlm.21-22) Di situlah beliau buat pertama kali melihat Gabenor Sir Shenton Thomas dari dekat.

SERIBU SATU ILHAM

Sebagai seorang pengarang fiksyen pula, Pak Sako berpendapat Singapura menyediakan seribu satu macam ilham dan sumber cerita untuk dipersembahkan kembali: ‘Kepada orang-orang yang rajin menulis maka Kota Singapura ini penuh dengan berjenis-jenis alat perkakas dan rampaian-rampaian karangan.

Walau di mana-mana pun – di dalam tram, di dalam bas, di taman-taman hiburan, di gudang-gudang yang besar, di pelabuhan yang besar, tongkang dan perahu, di tengah-tengah lorong, di padang, di kampung – memang ada terbentang ramuan-ramuan cerita.’ (hlm.26)

Ini sesungguhnya memahamkan kita mengapa Singapura menjadi tumpuan buat kelas artisan pada waktu itu.

KEADAAN SOSIAL

Ketika mula-mula berada di pulau Singa, pada tahun 1937 itu peperangan antara kuasa China dan Jepun sedang berlaku, dan beliau dapat merasai ‘perasan bencikan Jepun sedang timbul di antara kaum Cina yang ramai di sini dan pergerakan memulaukan atau memboikotkan barang-barang Jepun dijalankan.’ (hlm.20)

Pada mulanya beliau kurang mengendahkan nasihat teman-teman agar berwaspada memandangkan wajah beliau yang mirip orang Jepun, tetapi ancaman terhadap orang Jepun itu sempat beliau rasai ketika bergunting rambut di North Bridge Road, sehingga beliau perlu mengenakan songkok untuk menghindar dari perasaan tidak selesa.

Songkok itu menunjukkan beliau seorang Melayu, dan bukannya perisik Jepun. Pun, Pak Sako menjelaskan darihal perang dingin orang Cina dan Jepun itu akhirnya lambat-laun berkubur juga.

FESYEN ANAK MELAYU

Pak Sako, sebagai seorang anak kampung yang ulu dan pedalaman di Pahang dan pernah berkhidmat dalam bidang undang-undang di Kemaman, Trengganu turut memperihal lawatan beliau ke sekolah anak-anak perempuan di Rochor pada 27 Oktober 1937.

Beliau berpandangan anak-anak gadis Melayu di Singapura itu ‘lemah lembut dan pemalu’. Beliau seterusnya menggambarkan cara fesyen anak Melayu pada tahun tersebut; ‘tentang pakaian dan kebersihannya nyatalah mereka itu lebih daripada perawan-perawan sebangsa dengannya di sebelah utara.

Setengahnya sudah berambut pendek atau bob hair. Perhiasan-perhiasan yang kasar seperti gelang kaki dan kerungsang-kerungsang sudah ditinggalkan oleh perawan-perawan di sini.

Pakaian mereka itu pada pandangan saya sangat elok yaitu baju kurung putih labuh singkat lutut tudung kepala putih dan kain hijau.’ (hlm.23)

Sungguh hairan Pak Sako tidak pula tertarik dengan gadis Melayu Singapura sepanjang tiga tahun menetap di kota metropolitan ini.

HUBUNGAN DENGAN BUKAN MELAYU

Seperkara yang menarik ialah pada waktu itu tersebar kisah di Tanah Melayu, kononnya orang Melayu Singapura sering berselisih dan tidak sebuku dengan orang Islam berbangsa India dan Arab (Peranakan).

Pak Sako beranggapan tuduhan dan dakwaan itu tidak benar dan hanya semata-mata disorot menerusi satu dua kes terpencil. Gambaran besarnya menurut Pak Sako, orang Islam dalam kalangan Melayu, India dan Arab bergaul dengan mesra dan saling sokong-menyokong meskipun semangat kebangsaan Melayu sedang bersemarak.

Saya ingin memetik karangan Pak Sako sebagai bukti untuk menghujahkan poin di atas:
           ‘Di tengah jalan, dalam bas, dalam lorong di mana-mana jua pun orang orang Islam berjumpa di antara satu dengan lain mengangkat salam dan berjabat salam dengan kasih mesra seperti biasa juga. Di majlis-majlis perkahwinan adalah tuan-tuan syed, syeikh, wan, tengku, syarifah, Melayu dan Arab menghadirinya. Surat-suratkabar Melayu yang dikeluarkan oleh saudagar-saudagar Arab malah orang-orang Melayulah yang membacanya, yang mengarangkannya dan melakukannya. Begitu juga ada orang-orang Arab dan India yang membaca suratkhabar Utusan Melayu, Majlis, Utusan Zaman yang diterbitkan oleh orang-orang Melayu. Dalam sekolah-sekolah Arab anak-anak bangsa Melayulah yang banyak mengaji. Di  kedai-kedai Arab tidak kurang disinggahi oleh orang-orang Melayu yang membeli kain, minyak sapi dan lain-lain lagi.

            Joget-joget Melayu masih lagi dipajak oleh hartawan-hartawan Arab dan India atau persekutuan-persekutuannya. Jikalau ada gambar-gambar Arab maka siapakah yang banyak sekali menontonnya selain daripada orang-orang Melayu lelaki perempuan, tua dan muda.

            Jikalau seorang Arab atau India mati maka siapakah yang lebih ramai mengiring jenazahnya? Tiadalah bicara saya adakah tulisan dan perkataan-perkataan saya ini dipercayai oleh orang-orang yang membacanya sama ada Arab, Melayu atau Jawi Pekan.’ (hlm.33)

MELAWAT KAMPUNG MELAYU

Pak Sako turut menceritakan tentang kegiatan beliau di hujung tahun 1938 apabila menyertai Kesatuan Melayu Singapura. Pak Sako antara lain melawat kampung-kampung Melayu di Pulau Sudung, dan kem askar Melayu di Changi yang mana membolehkan beliau bergaul rapat dengan bangsa Melayu tempatan.

Pak Sako bagaimanapun hanya mendiami kota Singapura selama tiga tahun sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk ikut sama menjadi generasi awal mendirikan Utusan Melayu.

Suatu hal yang pasti adalah Pak Sako menekankan bahawa catatan beliau di Singapura itu ‘hanyalah satu bahagian yang sedikit daripada pengalaman-pengalaman saya yang banyak’.

BAHAN ARKIB BERNILAI

Sepanjang berada di Singapura, Pak Sako mengarang surat dan menyimpan pula surat-surat yang diterimanya. Beliau menjelaskan kandungan surat itu merakam ‘perasaan orang kita terhadap kepala negerinya, bangsanya, raja-raja dan pembesar-pembesarnya.’ (hlm.23)

Namun demikian kita mungkin tidak dapat mengetahui lanjut pengalaman sebenar Pak Sako di Singapura memandangkan surat itu tentu sahaja entah di mana meskipun ketika tahun 1975, Pak Sako pernah mengakui ‘surat-surat itu ada saya simpan hingga sekarang’. (hlm.58)

Siapa tahu, surat-surat beliau itu dapat ditemukan kembali. Tentu ia akan menjadi bahan arkib yang sangat bernilai untuk memahami keadaan masyarakat di Singapura sebelum Perang Dunia Kedua, yakni dari sarwa pandang seorang Melayu pedalaman yang bertugas dan akrab dengan kebangsaan Melayu.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis dan pejuang hak asasi manusia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, ATMA, Malaysia.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan