Images
  • crazy rich asians
    Bintang-bintang filem Crazy Rich Asians. (Gambar: Warner Bros/Facebook)

KOMENTAR: Masyarakat kosmopolitan S’pura dari novel Melayu separuh abad lalu

BERITAmediacorp: Seperti bahan peninggalan sejarah, karya-karya novel turut menyimpan kenangan dan ingatan sesebuah masyarakat suatu ketika dahulu. Dalam telaahnya terhadap sebuah karya tahun 60’an, pengkaji dan penulis Dr Mohd Faizal Musa telah menggali beberapa cebisan sejarah daripada novel ‘Dr Tan’ - sebuah novel yang kini langsung luput daripada ingatan ramai. Berikut catatan penulis tentang apa yang boleh kita hayati daripada novel tersebut:

BARU-BARU ini selesai membaca novel, kemudian menonton adaptasinya ‘Crazy Rich Asians’, saya tidak dapat memadamkan dari benak sebuah novel berbahasa Melayu karya pengarang Singapura, iaitu Mahmud Ahmad. Novel tersebut mempunyai ramuan yang sama, persis novel karangan Kevin Kwan terbit pada tahun 2013 itu.

Judul novel berbahasa Melayu karya Mahmud ini mengambil nama protagonis berbangsa Cina; Dr Tan dan terbit dalam tahun 1969. Kita boleh mengatakan novel Dr Tan adalah ‘Crazy Rich Asians’ pada waktu itu dan ia ditulis tanpa mengkesampingkan kaum lain seperti Melayu, India, Benggali dan Serani.

Ramuannya juga sama iaitu cinta, kecurangan, dan persoalan restu ibu-bapa dengan pengakhiran yang penuh berbunga api di latar belakangnya.

Apa yang lebih menarik ialah, di tengah ramai pengarang Melayu dari Singapura (misalnya A. Samad Said) sedang mengangkat latar kumuh kampung Melayu, dengan watak-wataknya adalah marhaen yang terpaksa menjadi tukang beca, buruh, samseng, atau pekerja seks; Mahmud memberikan kita watak-watak Melayu yang berjaya dalam karier, memandu kereta besar dan mewah, bercuti penuh gaya, berparti setiap masa, minum arak (brandi dan bir) seraya memuji bahasa Melayu tanpa berhenti memupuk persahabatan antara kaum.

Ia adalah novel pop yang mempunyai enerji serupa dengan ‘Crazy Rich Asians’.


Gambar bintang-bintang filem Crazy Rich Asians. (Gambar: South China Morning Post)

SEJARAH KERJAYA MENARIK

Mahmud Ahmad hampir tidak pernah dikenali generasi ini. Beliau lahir di Riau tetapi kemudian didaftarkan kelahirannya di Kampung Kallang pada 29 Mac 1906.


(Gambar: NLB)

Mahmud mengarang sejak tahun 1929 dan telah lama meninggal dunia, iaitu pada 26 Ogos 1976.

Sejarah kerjaya Mahmud sangat menarik kerana beliau pernah menjadi pendidik di tiga buah negara iaitu sebagai guru pelatih pada tahun 1925 sebelum menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak (1926-1929).

Mahmud juga kemudian mengajar di Sekolah Melayu Tanglin Besar dan ketika pendudukan Jepun, beliau sengaja ke Sumatera mengelakkan tentera Jepun dan mengajar di Sekolah Melayu Tanjung Pinang.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Mahmud kembali ke Singapura untuk mengajar di Telok Kurau, Padang Terbakar dan Sepoy Lane dari tahun 1945 sehingga Malaya merdeka 1957.

Malah, ikut menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya (Singapura) bagi kuliah Bahasa Melayu antara tahun-tahun 1954 sehingga 1955.

Mahmud juga pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sebelum Singapura menyertai Malaysia antara tahun-tahun 1960 ke 1963.

Setelah itu, beliau pulang ke Singapura untuk mengajar bahasa Melayu di Kolej Ngee Ann, Singapura sehingga tahun 1965.

SEBAGAI KENANGAN MANIS

Novel Dr Tan ini mulai ditulis oleh beliau ketika Singapura menyertai Malaysia pada tahun 1963. Dan hanya terbit setelah perpisahan Malaysia dan Singapura.

Mahmud menyatakan dalam pendahuluan ‘saya harapkan buku ini jadi kenang-kenangan manis sebelum Singapura berasing dengan Malaysia’.

Meskipun secara formalistik, novel Dr Tan adalah sebuah karya yang tidak cukup kuat; tetapi ia sangat tepu dengan maklumat untuk membolehkan kita faham bagaimana agaknya kehidupan tatkala Singapura dan Malaysia masih sekeluarga.

Lebih menarik, seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ia menonjolkan sisi kehidupan mewah bangsa-bangsa Cina, dan Melayu sehingga melongokan kita.

GARIS CERITA ‘SOAP OPERA’

Dr Tan mengisahkan Tan Kim Liong, seorang doktor perubatan dan merupakan anak seorang hartawan pengusaha getah dan kelapa sawit di Labis, Johor dan juga hartanah di Bedok, Singapura yang bersahabat baik dengan Engku Majid bin Engku Khalid.

Dr Tan sedang diperangkap seorang Serani rupawan, Maria, yang sebetulnya mensasarkan kemewahan keluarga Tan untuk dibolot.

Tan yang mabuk kepayangkan Maria ini meninggalkan Maryam, iaitu adik Engku Majid untuk mengahwini bekas perempuan kabaret itu.

Apa yang berlaku ialah garis cerita ala-ala soap opera di mana Maria dengan bantuan samseng dan pembantunya telah meracun ibu bapa Dr Tan dan untuk mengelak dari ditangkap, dia sendiri kemudian telah membunuh diri di rumah rehat keluarga Tan di Labis, Johor.

Seperti dijangkakan, Dr Tan telah berasa kesal dengan kebodohannya, merayu agar Maryam menerimanya kembali lalu berkahwin.

Mereka berbulan madu berbulan lamanya di Eropah, singgah di al-Azhar untuk belajar agama dan menunaikan haji.

PENONJOLAN KEMEWAHAN

Meskipun penghabisannya seperti Tan sudah ‘masuk Melayu’ dan berkhatan, Maryam masih watak yang cukup berwarna khusus keberaniannya mengenakan pakaian renang di banyak latar seperti Port Dickson dan Pulau Ubin.

Penonjolan kemewahan dan kejayaan watak-watak Dr Tan dan Engku Majid cukup membuatkan kita tersenyum.

Ambil sahaja Tan Kim Liong, beliau adalah doktor lulusan England berusia 27 tahun dan kini bertugas di ‘Rumah Sakit Beranak Kandang Kerbau, Singapura.

Di Singapura, beliau menginap bujang di Nassim Road, daerah Tanglin. Tan memandu kereta berjenama Jaguar.

Bapanya adalah Dato Tan Hock Lee, yang menurut pengarang novel, ‘mahu berpindah ke Singapura’ kerana mahu dekat dengan Johor Bahru setelah dikurniakan pingat yang membawa gelaran Dato ‘oleh Yang Maha Mulia Sultan Johor’.

Keluarga Tan bukan sahaja kaya raya, dan bersedia menerima ketuanan Melayu, tetapi juga ditampilkan pendamba feudalisme.

WATAK ENGKU MAJID

Engku Majid pula adalah sahabat baik Dr Tan sejak mereka berjiran di Petaling Jaya. Bapa Engku Majid, Engku Khalid adalah pegawai tertinggi Keretapi Malaysia Berhad.

Setelah pencen, Engku Khalid kini memilih tinggal di Segamat. Engku Majid merupakan jurutera lulusan Bonn, Jerman Barat dan menginap di Bukit Chagar, Johor Bahru. Beliau juga memandu Jaguar dan MG. Beliau juga seorang pengumpul barangan antik.

Antara milik Engku Majid adalah lukisan hadiah Sultan Abu Bakar kepada bapanya. Meskipun tinggal seorang di rumah besarnya, Engku Majid mempunyai seorang pelayan atau asam yang boleh dipanggil bila-bila masa sahaja untuk datang menatang ‘beer dan air batu’ yang merupakan minuman kegemaran beliau.

Engku Majid menonton wayang di Capitol, Singapura dan makan malam di West Point. Di Malaysia, beliau membiarkan saja jika ada orang berbahasa Istana dengannya; iaitu berpatik berengku.

Akan tetapi sebaik di Singapura, beliau melarang sesiapa pun menggunakan bahasa istana dengannya; kerana menurut Engku Majid - ‘Singapura adalah negeri sosialis yang semua rakyat sama taraf dan sama hak’.

Maryam, adiknya, meskipun hanya jururawat tetapi merupakan jururawat terlatih lulusan Australia. Beliau bertugas di Rumah Sakit Umum Melaka, dan kemudian di Johor Bahru.

Perincian pakaian Maryam ketika hadir dalam parti, majlis makan malam dan juga percutian di Pulau Ubin (berbaju mandi tentunya) cukup bergaya dan sungguh kelasan.

SUASANA DI S’PURA DAN M’SIA

Novel Dr Tan menghadirkan buat kita pembaca beberapa maklumat mengenai suasana Singapura di dalam Malaysia.

Seperti yang sudah dijelaskan lebih awal, Mahmud menyatakan Singapura adalah sebuah negeri sosialis.

Perbualan antara watak Dato’ Tan dan anaknya, Dr Tan, di bahagian lain menyatakan benih ideologi Kominis tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia dan Singapura: 

“Ada yang faham Communist?” tanya Dato’ Tan.

“Itu memang ada, pak,” jawab Dr. Tan, “tapi dia orang sedar, Malaya anti-Communist, jadi faham itu untuk diri masing-masing saja. Bila balek ka Malaya atau Singapura dia orang membawa faham Socialist saja. Itu pun payah hendak di-perjuangkan di-Malaya kerana benteng conservative maseh sangat tebal, tapi di-Singapura faham Socialist mesti maju dengan pesat. Ini nanti akan menjadikan Singapura jauh lebih progressive dalam soal politik dan ekonomi.”

AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Seperkara yang turut menarik untuk dinyatakan di sini adalah tanggapan bahawa orang Islam boleh sahaja melakukan dosa peribadi seperti, antara lain mengambil minuman keras tetapi tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam.

Watak Engku Majid misalnya adalah seorang bangsawan yang gemar mengambil alkohol tetapi tidak melakukannya di hadapan ibu-bapa.

Apabila berbual mengenai nasib umat dan sejarah Islam misalnya, Engku Majid dapat bersikap kritikal.

BAHASA DAN KEWARGANEGARAAN

Perkembangan Bahasa Melayu yang baru bertunas turut disorot di dalam novel Dr Tan. Pada satu bahagian, watak-watak di dalam novel ini mendengar hebahan radio Malaysia dan menyatakan kekeliruan mengenai penggunaan Enche, Che Inche dan lain-lain.

Engku Majid dengan segera memotong agar pertikaian itu tidak menjadi besar dengan membalas; “Biarkan jawatankuasa istilah Dewan Bahasa dan Pustaka menyelesaikannya,” jawab Engku Majid.

Penerimaan kaum elit Cina akan kewarganegaraan baharu turut disinggung. Kata Dato Tan; “Kita orang Malaysia dan inilah saja tanah ayer kita. Jadi ta’ ada soal Melayu, China, India, Serani, Arab dll.

Kita hidup dan mati di-sini!’ kata Dato’ Tan menutup chakap-nya”. Malah, Dato Tan digambarkan sebagai hartawan yang mempunyai hubungan erat dengan kaum kerabat bangsawan.

MENGHIMBAU PEMBANGUNAN

Membaca novel Dr Tan juga membolehkan kita menghimbau kembali pembangunan di kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura, dengan sejarah bertaut ini.

Kita misalnya dapat membayangkan betapa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur perlu menaiki feri untuk menyeberangi sungai Muar.

Pilihan lain ialah melalui jalan Segamat yang nampaknya kurang selamat kerana berlaku banyak kemalangan. Bedok pula baru ditambak, sementara Orchard misalnya sedang dibangunkan sebagai pusat membeli-belah.

Ketika itu juga, Masjid Negara di Kuala Lumpur baru siap dan menjadi tarikan pelancong. Port Dickson kekal menjadi pilihan percutian orang Kuala Lumpur sementara orang Singapura sudah lama tertarik dengan Mersing dan Langkawi.

Kita juga dapat membaca latar Pulau Ubin yang masih mempunyai kampung Melayu dan Cina serta merupakan tempat perkelahan golongan atasan.


Gambar Michelle Yeoh sebagai Eleanor Young, Hery Golding sebagai Nick Yong dan Constance Wu sebagai Rachel Chu dalam filem Crazy Rich Asians. (Gambar: Warner Bros) 

Siapa tahu novel Dr Tan akan diadaptasi ke filem? Aaron Aziz boleh memeran watak Engku Majid, dan mengapa tidak Henry Golding sebagai Dr Tan?

Mengenai Penulis:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis dan pejuang hak asasi manusia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, ATMA, Malaysia.       

- BERITAmediacorp/ai

Top