Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Konsep warna masyarakat Melayu lebih luas daripada disangka

Berapa banyakkah warna yang anda tahu dalam bahasa Melayu? Kalau anda seorang pelukis Melayu, apa pula jawapan anda jika soalan yang sama ditanyakan kepada anda?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Konsep warna masyarakat Melayu lebih luas daripada disangka

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Berapa banyakkah warna yang anda tahu dalam bahasa Melayu? Kalau anda seorang pelukis Melayu, apa pula jawapan anda jika soalan yang sama ditanyakan kepada anda?

Hakikatnya, ramai yang akan terkejut jika diberitahu bahawa ada 26 jenis warna merah dalam bahasa Melayu, selain - 15 jenis warna hitam, 14 jenis warna kuning, 12 jenis warna putih dan 11 jenis warna biru. Hakikatnya, orang Melayu mempunyai kepekaan dan kehalusan yang sungguh luar biasa dalam soal warna sehingga membuktikan peradabannya yang tinggi.

Pengkaji dunia Melayu, Dr Mohd Faizal Musa berkongsi dan mengupas kesemua itu dalam artikel KOMENTAR ini yang beliau kirimkan kepada BERITAMediacorp:

(Gambar: VALERIE MACON / AFP)

(Gambar: VALERIE MACON / AFP)

Terdapat dakwaan bahawa orang Melayu hanya mengenal empat jenis warna sahaja: hitam, putih, merah, dan hijau. Sementara warna biru pula adalah satu istilah yang baru. 

Menurut Profesor Asmah Haji Omar dalam buku ‘Bahasa Malaysia Saintifik’ (2005) untuk menggambarkan warna biru bagaimanapun orang Melayu memperincikan warna hijau dan ditemukan antara lain - hijau langit, hijau laut, hijau telur itik, hijau daun, dan hijau pucuk pisang.

Sementara merah pula diperincikan dengan warna emas merah, merah padi dan merah cahaya matahari.

Prof Asmah namun demikian menekankan terdapat juga pengiktirafan terhadap warna kuning dan kelabu sementara warna ungu, jingga dan coklat dikenali kemudiannya setelah diketengahkan kepada masyarakat Melayu oleh masyarakat luar.

(Gambar: LUIS ACOSTA / AFP)

(Gambar: LUIS ACOSTA / AFP)

BERASAL DARI SANSKRIT

Warna yang berasal daripada bahasa Sanskrit, Varna membawa sama pencirian kepada penampilan, luaran, dan bentuk. Istilah lain untuk warna buat orang Melayu ialah ragi.

Meskipun secara asasnya takrifan warna orang Melayu adalah terhad, konsep warna orang Melayu bagaimanapun tetap luas khususnya dengan merujuk kepada flora-fauna yang dapat dicirikan oleh warna-warna tertentu.

Tesis sarjana Nurizzati Ismail di Universti Sains Malaysia, dengan judul ‘Peranan Warna Dalam Budaya Tradisional Melayu Dengan Rujukan Kepada Sulalat Al Salatin’ menyatakan warna sebagai contoh dapat dihubung dengan warna biji rembia, warna bunga keduduk, warna biji asam, atau warna kulit manggis.

(Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

(Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Demikian kita mendengar orang mengatakan baju kurung itu berwarna hijau lumut, atau hijau tahi lembu, ataupun kelubungnya berwarna kulit manggis.

PALING MENONJOL

Penampilan warna yang paling menonjol untuk orang Melayu dapat ditemukan pada pakaian. Sebagai contoh dalam menjelaskan gambaran pakaian Hang Tuah seperti terlihat dalam Hikayat Hang Tuah.

Ia menyebut pakaian Hang Tuah sebagai: ‘Maka Laksamana pun memakai berserual kuning berkain kesumba murup diantelas, bertepi benirat, berikat pinggang cindai natar kuning, berbaju hijau digangsa, berdestar warna pelangi’.

Warna pada pakaian Hang Tuah tersebut ialah kuning, kesumba dan hijau. Kain 'kesumba murup diantelas' panglima Melayu itu ialah kesumba penghuraian kepada warna merah tua.

(Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

(Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Sementara diantelas ialah sejenis kain. Destar warna pelangi merujuk kepada kepelbagaian warna. Tujuh warna asas yang disebutkan oleh Prof Asmah Omar di awal diperincikan kepada pelbagai pecahan warna lain.

7 WARNA GENERIK MELAYU

Tujuh warna generik orang Melayu diperincikan lanjutnya oleh Che Husna Azhari dalam makalah beliau ‘Teknologi Warna Alam Melayu’.

Terdapat 12 jenis putih iaitu putih bersih, putih umbut, putih lesu, putih langsat, putih pucat, putih kuning, putih luih, putih puaka, putih melepak, putih abu, putih metah, dan putih awan.

Sementara terdapat 14 jenis kuning iaitu kuning raja, kuning air, kuning tua, kuning muda, kuning daun, kuning tanah liat, kuning bunga ketola, kuning lemak ketam, kuning mihir, kuning gadin, kuning pinang masak, kuning kunyit, serta jingga dan perang yang turut disandarkan kepada kuning.

(Gambar: SAEED KHAN / AFP)

(Gambar: SAEED KHAN / AFP)

26 JENIS WARNA MERAH

Pemerian warna merah pula mempunyai 26 jenis iaitu: merah tua, merah muda, merah darah, merah darah ikan, merah hati, merah kesumba, kesumba muruk, merah jambu atau merah bunga, pulut-pulut, merah lebam, merah malar, merah muruk, merah merang, merah marah, merah menjahang, merah menyala, merah padam, merah dadu, merah lembayung, merah pulasan, merah bunga raya, merah bunga cempaka, merah Melayu, merah telur, merah mawar atau kembang petang dan mengseta atau turut dikenali sebagai merah maggis.

Warna ungu yang dikatakan baru dikenal itu pula dibahagi kepada empat jenis iaitu ungu biji kundang, ungu butir setar, ungu lembayung dan ungu manis.

(Gambar: PRAKASH MATHEMA / AFP)

(Gambar: PRAKASH MATHEMA / AFP)

HIJAU WARNA UTAMA MELAYU

Warna hijau yang merupakan warna utama orang Melayu dijeniskan kepada 10 hijau iaitu seperti berikut; hijau tua, hijau muda, hijau daun, hijau serindit, hijau pucuk pisang, hijau cekur manis, hijau terusi, hijau kepala itik, hijau laut, dan hijau batu zamrud.

Terdapat tiga jenis kelabu iaitu kelabu asap, kelabu tahi anjing, dan kelabu asap api.

Hitam ditekuni dengan 15 jenis hitam; hitam birat, hitam kelawar, hitam legam, hitam jebak, hitam jengat, hitam lengit, hitam lotong, hitam kumbang, hitam usam, hitam berkilat, hitam tampuk manggis, hitam manis, hitam pekat, hitam kerak dodol, dan hitam arang.

11 PECAHAN BIRU

Apabila hijau dan biru dipisahkan dan diperhalusi, terdapat 11 pecahan biru yang dikenal oleh orang Melayu iaitu; biru raja, biru air laut, biru langit, biru nilam, biru nilakandi, biru manis, biru laut, biru lebam, biru muda, biru senin dan biru senam.

Dalam pada itu, orang Melayu Kelantan mempunyai pengkelasan warna yang tersendiri menurut pemerhatian mereka terhadap warna kulit lembu dan kerbau laga.
C.C Brown dalam ‘Kelantan Bull-Fighting’, sebuah penerbitan seal 1928 yang merakam budaya laga lembu di Kelantan dan Patani turut merekodkan jenis-jenis warna yang digunakan orang Melayu dalam menggambarkan kulit lembu yang bermutu.

(Gambar: STR / AFP)

(Gambar: STR / AFP)

Hal yang sama turut menarik perhatian Anker Rentse dalam ‘Kelantan Names for Bullocks According to Their Color’ yang terbit pada tahun 1931.

13 jenis warna pada lembu laga yang disebutkan di atas adalah; warna jebat iaitu hitam;
- warna kumbang yang bermaksud hitam pekat; warna laka atau hitam perang;
- warna tal yakni hitam keperangan dan kelabu;
- warna tampung iaitu hitam dengan banyak tompok putih;
- warna arau yakni hitam dengan sedikit tompok putih;
- warna kelembak atau kelabu; warna lasat sepertinya buah langsat;
- warna kijang yang kemerahan; warna lipan tanah yang mana merah dengan hitam yang banyak;
- warna kubing yang mana merah dengan hitam yang sedikit;
- warna sela pula adalah warna merah pekat, dan
- warna kabul yang bermakna kelabu dengan perang.

KEPEKAAN LUAR BIASA

Lebih lanjut terdapat warna kerubeng belacan iaitu merah kekuningan; lasat besi yakni merah kekuningan, warna jebat kelawar iaitu hitam berminyak, warna laka tilang yang mana meahnya berkelabu kekuningan dan warna tampon bertuah yang menggambarkan manca atau pancha warna yakni beraneka ragam warna.

Tidak dapat diketahui bagaimanakah rupanya warna yang disebutkan dalam pemerian dan perincian di atas kerana dokumentasi yang lemah.

Namun demikian, memadai dikatakan bahawa orang Melayu mempunyai kesedaran dan kepekaan yang luar biasa kepada alam sekitar sehingga mereka dapat membezakan jenis-jenis warna dengan cukup halus.

Perincian yang sangat teliti pada warna-warna ini juga menunjukkan betapa orang Melayu adalah bangsa yang berbudaya tinggi, berseni mahir dan amat tekun memerhati.

Cukup untuk kita berasa bangga bahawa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang rendah dari segi ilmu dan memandangkan warna berkaitan dengan sains, ia juga menjadi petunjuk Melayu adalah bangsa dengan peradaban tinggi dan terkehadapan.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan