Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kepercayaan orang Melayu terhadap perubatan alternatif – berkesan atau lebih membahayakan?

Walaupun sikap terhadap perubatan tradisional di kalangan masyarakat Melayu umumnya telah berubah, masih lagi ada yang mempercayai perubatan alternatif seperti rawatan ‘cara Islam’. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kepercayaan orang Melayu terhadap perubatan alternatif – berkesan atau lebih membahayakan?

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

BERITAmediacorp: Walaupun sikap terhadap perubatan tradisional di kalangan masyarakat Melayu umumnya telah berubah, masih lagi ada yang mempercayai perubatan alternatif seperti rawatan ‘cara Islam’. Penulis Liyana Sulaiman merungkainya dalam rencana berikut yang dipetik daripada tesis beliau mengenai kepercayaan terhadap unsur-unsur magik dalam masyarakat Melayu.

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

“Tiupkan air yang sudah dibaca ini ke mukanya. Ulang sebanyak 3 kali berturut-turut”

“Bawa ayat pelindung ini di mana-mana supaya dapat jauhkan diri daripada apa-apa musibah”

Dialog-dialog seperti yang tertera di atas, di mana ayat-ayat Al-Quran dan zikir serta selawat seringkali digunakan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan, merupakan perkara-perkara yang lazim didengari dan diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Hal ini bertitik tolak dari kepercayaan orang Melayu yang kuat dipengaruhi oleh adat dan kefahaman agama yang sentiasa berubah, selaras dengan perubahan zaman.

TIDAK LAGI DITERIMA
Oleh itu, tidak hairanlah jika kita tahu tentang beberapa kepercayaan orang Melayu yang tidak lagi diterima masyarakat kerana dianggap ‘syirik’, ‘khurafat’ atau bertentangan dengan agama Islam.

Sebagai contoh, tangkal yang disimpan untuk melariskan perniagaan atau air yang telah dijampi untuk menyembuhkan apa-apa penyakit tidak lagi diamalkan bahkan, sesiapa yang masih meneruskan amalan seperti ini akan dikritik dan dipandang serong oleh masyarakat.

Kini, tangkal dan air jampi tidak lagi begitu berleluasa jika dibandingkan dengan zaman dahulu.

Sebaliknya, amalan-amalan yang menggunakan nama Islam atau khususnya Al-Quran kian mendapat perhatian dan sambutan orang ramai dan kadang-kala, dianggap sebagai kaedah rawatan yang lebih berkesan daripada rawatan konvensional seperti rawatan doktor.

MERAWAT SEGALA MASALAH
Seperti masyarakat lain, masyarakat Melayu juga mempunyai cara rawatan yang tersendiri berdasarkan kepercayaan masing-masing.

Pelbagai kaedah rawatan boleh dikenal pasti dari zaman nenek moyang kita dan banyak kajian juga telah dijalankan untuk mengkaji rawatan tradisional orang Melayu.

Meskipun ada rawatan tradisional Melayu yang masih lagi dipraktikkan hingga ke hari ini, rawatan Islam atau kadang-kala dipanggil sebagai ruqyah, menjadi pilihan utama sebahagian besar masyarakat Melayu untuk merawat segala macam masalah yang dihadapi.

Salah satu contoh yang paling dekat dengan masyarakat Melayu Singapura adalah kepercayaan terhadap air jampi atau air yang ‘sudah dibaca-baca’ yang dipercayai boleh membawa berkat tertentu.

KUASA KHAS MERAWAT
Ada yang percaya bahawa air yang sudah dibaca dengan ayat-ayat Al-Quran atau selawat mempunyai kuasa khas merawat segala macam penyakit dan dapat melindungi seseorang daripada terkena sesuatu musibah atau masalah.

Namun, sejauh mana rawatan Islam ini berbeza dengan rawatan-rawatan dahulu yang dianggap syirik atau khurafat?

TRADISI PERUBATAN MELAYU
Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, penting untuk kita mengetahui tentang tradisi perubatan masyarakat Melayu yang sangat kaya dengan sejarah.

Seperti yang kita sudah sedia maklum, agama Islam bukan agama pertama masyarakat Melayu.

Animisme atau kepercayaan kepada makhlus halus dan roh adalah kepercayaan yang dipegang masyarakat Melayu sebelum kedatangan agama Hindu dan kemudian agama Islam,

yang akhirnya menjadi agama yang seringkali dikait rapat dengan masyarakat Melayu.

PERUBAHAN ZAMAN DAN KONTEKS
Setiap kepercayaan yang pernah dipegang oleh masyarakat Melayu tentu sekali telah mempengaruhi cara kehidupan orang Melayu pada ketika itu.
Aspek perubatan adalah salah satu contoh di mana kita dapat lihat perubahan dan penyesuaian yang dilakukan oleh orang-orang Melayu, selaras dengan perubahan zaman dan konteks.

Dahulu, bomoh merupakan orang-orang yang pakar dalam aspek perubatan dan rawatan untuk pelbagai masalah.

Bomoh memang terkenal dengan amalan mereka yang menggunakan jampi serapah, tangkal, azimat dan alat-alat lain untuk menyempurnakan tugas mereka.

AMALAN TIDAK POPULAR
Apabila kepercayaan masyarakat Melayu berubah, jampi-jampi yang digunakan oleh bomoh turut berubah agar ia kekal relevan dengan keadaan masyarakat Melayu waktu itu.

Oleh itu, amalan bomoh juga ada melibatkan unsur-unsur Islam, seperti penggunaan basmallah dan ayat-ayat lain yang memuji Allah dan Rasulullah.

Namun, bomoh dan amalan-amalan mereka tidak popular lagi setelah kebangkitan agama Islam yang berlaku pada tahun 70-an.

Ramai yang mengecam amalan bomoh kerana mencampuradukkan agama Islam dengan amalan khurafat mereka, sekaligus mensyirikkan Allah dan dianggap sebagai haram untuk masyarakat Islam.

MENGGANTIKAN BOMOH
Oleh kerana bomoh tidak lagi diterima sebahagian besar masyarakat Melayu, orang-orang Melayu kini merujuk kepada para asatizah atau pakar rawatan Islam untuk mendapatkan rawatan atau jalan penyelesaian bagi apa-apa masalah yang dihadapi.

Golongan ini selalunya diangkat dan diiktiraf sebagai pemimpin masyarakat.

Disebabkan penggunaan Al-Quran dan As-Sunnah yang seringkali dipromosikan dalam rawatan mereka, rawatan Islam ini sangat diterima baik oleh masyarakat Melayu tanpa sebarang ragu-ragu.

Walhal, jika diselidik dengan lebih mendalam lagi, beberapa amalan yang dipraktikkan dalam rawatan Islam sebenarnya tidak jauh berbeza dengan rawatan yang ditawarkan oleh bomoh.

DICAMPURADUKKAN DENGAN AGAMA
Aspek magik yang dicampuradukkan dengan agama masih boleh dikesan dalam beberapa amalam rawatan Islam walaupun ianya tidak seperti yang diamalkan bomoh-bomoh terdahulu.

Contohnya, beberapa cara penggunaan air yang sudah dibaca dengan ayat-ayat Al-Quran ada persamaan dengan cara penggunaan air yang sudah dijampi.

Air ini seringkali digunakan untuk mengesan gangguan jin atau sihir dalam diri seseorang. Ada juga pakar rawatan Islam yang dipercayai boleh bercakap dengan makhluk halus.

(Gambar hiasan: Reuters)

(Gambar hiasan: Reuters)

RAWATAN YANG BERKESAN?
Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila sebahagian masyarakat Melayu terlalu taksub dengan rawatan Islam sebegini sehingga meremehkan rawatan konvensional di klinik dan hospital.

Setiap masalah yang dihadapi, dari segi kesihatan mahupun hubungan peribadi, akan dirujuk kepada pakar rawatan Islam kerana dipercayai bahawa rawatan yang menggunakan nama Islam lebih berkesan.

Perlu diingatkan bahawa pakar rawatan Islam selalunya tidak dilatih dalam bidang perubatan.

LEBIH BANYAK MASALAH DAN BAHAYA
Maka, sebarang kesimpulan atau diagnosis yang mereka lakukan untuk menjelaskan sesuatu masalah boleh juga mendatangkan lebih banyak masalah dan bahaya.

Contohnya, tanda-tanda bahawa seseorang sedang menghidapi penyakit kencing manis mungkin akan disalah tafsir oleh pakar rawatan Islam yang akan mengesan penyakit tersebut sebagai gangguan jin.

Hal ini sering berlaku, terutama sekali untuk masalah sakit mental yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat.

MEMBURUKKAN KEADAAN PESAKIT
Diagnosis yang salah boleh menyebabkan lebih banyak masalah seperti menangguhkan rawatan yang sewajarnya, memburukkan lagi keadaan pesakit dan akhirnya, ia turut boleh membawa padah.

Setiap penyakit ada ubatnya dan teknologi serta perubatan konvensional telah menawarkan cara-cara dan kaedah rawatan yang sesuai dan berkesan untuk pelbagai masalah kesihatan.

Agama Islam tidak menghalang seseorang daripada mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerana ia sejajar dengan kepercayaan agama yang menyarankan umatnya untuk berusaha dan mendapatkan rawatan yang sesuai dengan penyakit yang dihidapi.

MINDA DAN SIKAP TERBUKA
Adalah penting untuk kita mempunyai minda yang terbuka dan rasional agar kita dapat mencari jalan penyelesaian yang tepat dan sesuai dengan masalah yang dihadapi.

Kepercayaan dan orientasi agama akan mencorak cara pemikiran kita dan menentukan bagaimana kita memahami realiti kehidupan masing-masing.

Jika kita terus membiarkan diri kita dipengaruhi oleh kepercayaan dan orientasi agama yang tidak membawa apa-apa pembangunan dalam diri kita, ia akan menyempitkan lagi minda sekaligus merumitkan atau menyusahkan diri kita saat masyarakat dan zaman sentiasa berubah.

ILMU MENDATANGKAN MANFAAT
Kita mempunyai tanggungjawab sendiri untuk terus menimba ilmu yang dapat mendatangkan manfaat kepada diri kita dan orang lain.

Pada masa yang sama, pemimpin masyarakat, terutama sekali mereka yang diangkat sebagai pendidik agama atau para asatizah di Singapura, memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi minda dan sikap masyarakat.

Apa yang dibentangkan oleh pemimpin-pemimpin ini selalunya akan diterima oleh masyarakat tanpa sebarang persoalan.

DIBEBAN KETAKSUBAN
Jika dahulu, masyarakat sangat kritikal terhadap amalan bomoh, sikap yang sama juga diperlukan untuk golongan elit dan para asatizah di Singapura.

Maka, setiap daripada kita, tidak kiralah yang datang dari golongan pempimpin ataupun orang biasa, mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa kita tidak dibebani dengan masalah ketaksuban dalam agama dan mentaliti yang sangat ekstremis.

Sikap muhasabah diri itu sangat diperlukan untuk mengukuhkan lagi pemahaman kita terhadap agama dan apa jua masalah atau fenomena yang berlaku.  

MENGENAI PENULIS:

Liyana Sulaiman adalah lulusan sarjana muda Jabatan Pengajian Melayu NUS. Tesis beliau adalah mengenai pegangan agama berorientasi magik di kalangan orang Melayu/Islam Singapura, terutama sekali dalam rawatan berkaitan penyakit jiwa.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan