Images
  • komentar main
    (Gambar: HPB) 

KOMENTAR: Kenapalah liat sangat orang Melayu nak jaga badan?

BERITAmediacorp: Mengapakah taraf kesihatan dan kelasakan jasmani umat Islam sedunia dewasa ini kurang memuaskan? Apakah ini berurutan daripada ajaran Islam yang menitikberatkan kesejahteraan akhirat sehingga meremehkan segala bentuk kesejahteraan duniawi? Penulisan ini menyarankan pandangan sebaliknya untuk dipertimbangkan.

APAKAH masalah berat badan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada masalah disiplin diri ataupun kurang faham terhadap tuntutan agama?

Statistik yang menunjukkan masyarakat Melayu di Singapura sebagai yang paling cenderung ke arah kegemukan dan penyakit-penyakit kronik memang sudah lama kita ketahui. Saya akur dengan saranan Dr Noorshahril Saat tentang kaitan rapat antara masalah kesihatan dengan status sosio-ekonomi masyarakat Melayu (Komentar, 28 Aug 2017).

Sayangnya, realiti semasa tidak menyokong saranan ini kerana kita boleh memerhatikan bahawa kesihatan, kelasakan serta penampilan jasmani orang-orang Melayu yang kurang memuaskan ini melibatkan segenap kelas sosio-ekonomi masyarakat Melayu hari ini. Maaf cakap, pandang kiri pandang kanan, begitu mudah sekali kita temui orang-orang Melayu yang gempal, buncit ataupun gemuk, baik yang muda mahupun tua, dari kalangan buruh kasar sampai ke pucuk pimpinan politik, keilmuan mahupun keagamaan.

Sudah tentu hambatan sosio-ekonomi perlu ditangani untuk membantu golongan yang memerlukan agar dapat menyahut sama seruan gaya hidup sihat.

Namun, inisiatif sebegini tidak akan berkesan selagi punca akar masalah ini tidak dikenal pasti dan ditangani.

ALASAN-ALASAN ‘WARAK’


Pada masa yang sama, analisis-analisis yang menuding jari ke arah faktor-faktor luar kawalan boleh disalahgunakan sebagai alasan, biarpun bukan itu tujuannya. Ibarat orang mengantuk disorong bantal, semakin liatlah sikap kita terhadap seruan gaya hidup sihat kalau terus disajikan alasan-alasan yang berbaurkan unsur-unsur ilmiah.

Malah saya pernah mendengar seorang pendidik agama yang berseloroh, “Orang kafir: mereka takut mati. Sebab itu tak habis-habis dengan senaman dan diet. Orang Islam: kita tak takut mati. Sebab itu, gemuk gemuklah, sakit sakitlah. Apa kisah, semua orang akan mati.”

Tentunya, ini tidak semestinya mencerminkan nilai-nilai yang disebarkan oleh para pendidik agama.

Namun, saya tidak hairan kalau alasan-alasan “warak” seperti ini sering dilayani di dalam hati orang-orang Melayu.

MENERIMA SEPENUH HATI


(Gambar: HPB)

Walau susah untuk dibuktikan, sukar pula untuk dinafikan bahawa pada amnya masyarakat Melayu masih belum lagi menerima sepenuh hati akan peri pentingnya pertumbuhan jasmani dalam pengertian hidup sebagai seorang Muslim; apatah lagi kalau pemerhatian kasar kelihatan selari dengan statistik kesihatan hasil kajian senegara.

Ini berbeza dengan tindak-tanduk masyarakat terhadap isu pendidikan misalnya.

Dari segi kesungguhan dan penglibatan, usaha kita mencerminkan kefahaman dan penerimaan yang tulus terhadap kepentingan ilmu dan kestabilan ekonomi dalam kehidupan seorang Muslim.

Antara lain, golongan asatizah giat menanamkan kesedaran terhadap kefarduan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi, kepimpinan politik giat menangani hambatan sosio-ekonomi secara sistemik. Malah para karyawan turut turun padang dalam perjuangan bantu diri, termasuklah orang ramai yang menyahut seruan pucuk kepimipinan dengan hati terbuka dan usaha yang bersungguh-sungguh.

ISU KESIHATAN JASMANI

Berbanding dengan isu kesihatan jasmani, kesepaduan sebegini belum lagi terserlah.

Maka itu, kalau diamati, usaha-usaha “jaga badan” dalam kalangan orang Melayu ibarat melepaskan batuk di tangga, kalaupun tidak diabai sama sekali.

Ini boleh diperhatikan dalam beberapa aspek – ada kalanya akibat pilihan dan ada kalanya akibat kurang faham.

Yang paling berleluasa sekali ialah kecenderungan untuk meuar-uarkan panduan-panduan agama yang mudah sambil mengabaikan yang berat sehingga menimbulkan mudarat akibat tidak seimbang mengikut panduan.

DARI SUDUT SUNNAH

Misalnya, sibuk di media sosial perkongsian mengenai “makanan-makanan sunnah” seperti susu, madu, habbatusaudah, kurma, buah tin, delima, zaitun dan sebagainya.

Maklumat-maklumat sebegini bukanlah salah kerana segala khasiat yang diperkatakan itu memanglah bersandarkan hadis-hadis sahih dan ayat-ayat al-Quran.

Malah, banyak khasiat tersebut sudahpun dibuktikan secara saintifik. Salahnya ialah aura kesaktian yang menemani pengambilan bahan-bahan itu, seolah-olah segala penyakit akan sembuh dengan menjamu selera “mengikut sunnah” semata-mata.

PANDUAN HIDUP SIHAT


(Gambar: Shuttershock)

Sebaliknya, sunnah Rasulullah mengenai kesihatan bukan sahaja berkisarkan pemakanan. Ia juga merangkumi contoh teladan yang melibatkan penggunaan tubuh badan baik dalam pekerjaan harian mahupun riadah dan sukan.

Google sajalah. Kita boleh dapat banyak hadis sahih yang menyarankan kita berenang, berkuda, memanah, bergusti, mendaki bukit dan berjalan.

Tentang berjalan: kita maklum ini adalah kebiasaan harian Rasulullah ke sana sini. Apa yang jarang diperhatikan ialah gaya perjalanan Rasulullah yang diberitakan oleh para sahabat sebagai lebih mirip kepada berlari-lari anak.

Ada menyifatkannya seolah-olah bergegas turun bukit, atau seolah-olah bumi tergulung di telapak kakinya dan ada yang mengeluh kerana perlu terkejar-kejar apabila berjalan di samping baginda.

Pendek kata, berjalannya Rasulullah ke sana sini bukanlah berlenggang-lengguk tetapi dengan tenaga dan kesungguhan.

KEGIATAN SECARA KONSISTEN

Justeru kebiasaan-kebiasaan lasak seperti ini, tidak hairanlah kalau tubuh badannya digambarkan para sahabat seperti seorang atlit yang langsing, tegap dan lasak.

Keadaan ini tidak mungkin terjadi dengan pemakanan sihat semata-mata. Segala khasiat makanan hanya akan menghasilkan kesihatan dan kekuatan kalau ia digandingkan dengan kegiatan-kegiatan jasmani secara konsisten.

Khasiat makanan dikendalikan oleh sistem saraf pusat untuk membina semula, beberapa kali ganda lebih kuat, otot-otot yang telah digunakan semasa berkegiatan jasmani.

Ini bermakna tanpa kegiatan jasmani, tiada apa yang akan dimanfaatkan dari khasiat-khasiat makanan itu.

Ada yang terbuang sahaja melalui sistem pembuangan najis dan ada pula yang tersimpan tanpa guna dalam bentuk lemak yang kita maklum boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan. Sebab itu, sunnah kesihatan yang merangkumi pemakanan sihat dan kegiatan jasmani tidak boleh diberat-sebelahkan sewenang-wenangnya.

MENCATU MAKANAN

Malah dalam aspek pemakanan ini pun, kita sibuk mempopularkan “makanan-makanan sunnah” yang memanglah berkualiti tinggi sedangkan “sunnah mencatu makan” terus tidak diambil peduli.

Padahal, mencatu kuantiti makanan juga adalah satu aspek pemakanan sunnah yang tersurat dalam kata-kata dan tersirat dalam kelakuan Rasulullah.

Beliau pernah bersabda yang membayangkan bahawa tubuh manusia sebenarnya hanya memerlukan beberapa suap sahaja untuk sempurna berfungsi dan yang lebihnya hanya akan memudaratkan.

Kerana itu, beliau hanya bersantap kalau terasa lapar dan itu pun tanpa merasa kenyang. Dan kebiasaan ini dilengkapkan dengan amalan berpuasa sekurang-kurangnya dua hari seminggu secara konsisten.

PUASA MENGURANGKAN BERAT


(Gambar: Reuters)

Secara langsung, puasa mengurangkan berat badan dengan memaksanya menggunakan kalori berlebihan yang tersimpan sebagai lemak untuk menjalankan kegiatan-kegiatan jasmani seharian.

Inilah dasar di sebalik strategi kawalan berat badan yang baru dikenali dewasa ini sebagai intermittent fasting.

Dalam jangka masa panjang pula, puasa atau “swaum” menggunakan sikap bertahan atau “swama” – yakni bertahan diri dari memenuhi keperluan jasmani secara sedar dan sengaja sepanjang tempoh latihan yang terhad – untuk meningkatkan keupayaan kawal diri terhadap hawa nafsu.

Dalam isu berat badan, nilainya yang terbesar adalah keupayaan diri yang tinggi dalam mencatu kuantiti dan menilai kualiti makanan mengikut tentuan fikiran dan bukan mengikut rasa sedap badan.

‘PUASA BERDENDAM’

Sayangnya, walaupun puasa telah diperkenalkan kepada kita melalui fardu Ramadan, konsep puasa bertahan tersebut telah digantikan dengan konsep puasa berdendam – yakni berdendam rasa seribu idaman, sepanjang puasa mengatur rancangan untuk berbuka beribu bedalan; selalunya lebih dari bulan-bulan lain.

Latihan contoh di atas menunjukkan bahawa panduan agama Islam berpotensi besar dalam melahirkan umat yang berjasmani kuat dan sihat; malangnya potensi ini terbazir oleh kerana penerimaan separuh hati masyarakat terhadapnya.

PUNCA MASALAH


Sama ada ini merupakan punca akar masalah kegemukan dan penyakit kronik masyarakat kita ataupun tidak, yang pasti adalah ia boleh bertambah baik jika panduan-panduan agama tadi diterima dan dilaksanakan sepenuh hati, sebagaimana kita menerima segala panduan agama tentang pendidikan dan pencapaian ekonomi dan segiat mana ia dilaksanakan.

Maka persoalannya berbalik kepada kedudukan faktor pertumbuhan jasmani di dalam pengertian hidup keislaman.


(Gambar: Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Tampines)

Apakah benar ia setaraf pentingnya dengan peningkatan ilmu atau kestabilan ekonomi, misalnya? Mungkin ramai yang masih sangsi akan saranan ini.

Apatah lagi hakikat pertumbuhan jasmani yang bersangkut rapat dengan rupa bentuk, penampilan, keanggunan, gaya diri serta kekuatan tubuh badan yang sangat bersifat duniawi lagi materi. Kalau begini, di manakah letaknya unsur keagamaan dalam faktor pertumbuhan jasmani ini?

AGAMA DAN PENJAGAAN JASMANI

Di dalam sepotong hadis, Rasulullah menerangkan bahawa setiap insan itu akan dipersoalkan nanti tentang umurnya, ilmunya, hartanya dan tubuhnya.

Dengan penerangan ini sepatutnya jelaslah bahawa faktor jasmani itu sama pentingnya dengan ilmu dan ekonomi di dalam pembangunan diri seorang Muslim di muka bumi ini.

Bersangkutan tubuhnya (jismihi), ia akan ditanya bagaimana tubuh itu telah diusanginya (fiima ablaahu) semasa hidup. Besar kemungkinan soal pengabaian dan pemanfaatan tubuh badan adalah yang dimaksudkan dengan persoalan ini.

TANGGUNGJAWAB INSANI

Akhir kata: sesungguhnya setiap amal itu diukur mengikut niatnya, sebagaimana maksud sepotong hadis yang kita sudah maklum.

Bermakna, bersangkutan dengan bentuk dan berat badan misalnya, apa yang akan dipersoalkan nanti bukanlah kegemukan atau kekurusan, ketegapan atau kelembikan mahupun kekuatan atau kelemahan jasmani semasa hidup – kesemuanya adalah ketentuan Ilahi.

Tanggungjawab insani adalah mengapa terjadinya dan apakah yang diperlakukan justeru keadaan-keadaan tersebut.

Hanya Allah sahaja yang mengetahui isi hati dan keupayaan kita semua dan Dia sahaja yang berhak menghukumi segala alasan dan sebab musabab yang dibentangkan kita nanti.

Mengenai Penulis:


Osman Sidek adalah seorang lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan seni bina dan kini bersara setelah bekerja sebagai seorang arkitek selama 25 tahun. Berhubung komentar ini, beliau tidak mempunyai sebarang kelulusan bertauliah baik dari segi kesihatan, pertumbuhan jasmani, mahupun agama. Komentar ini setakat dihasilkan dari pembacaan am dalam bidang-bidang tersebut, pemerhatian umum terhadap isu-isu masyarakat serta pengalaman beliau bergiat dalam kegiatan-kegiatan riadah termasuk berlari, berenang, berbasikal, mendaki gunung, kalistenik dan Spartan Race. 

- BERITAmediacorp/ai

Top