Images
  • tikam
    Gambar hiasan. (Gambar: SONNY TUMBELAKA / AFP)

KOMENTAR: Kebijaksanaan ‘menikam dengan bahasa’ – sejauh mana ia masih relevan dalam budaya Melayu?

BERITAmediacorp: Peribahasa sebagai kearifan lokal banyak memperlihatkan gagasan tempatan yang penuh bijaksana, bernilai luhur dan tertanam dalam masyarakat. Dapatkah pengetahuan mengenainya ditanamkan kepada generasi muda?


ORANG Melayu ada satu cara menikam orang. Caranya ialah dengan bahasa. Oleh sebab itu kadang, kita mendengar orang lama mengatakan ‘kita bahasakan dia’ atau bermakna ‘kita ajarkan dia’, dalam erti kata lain, sasaran itu ditegur sehingga cukup terasa.

Tentu, tikaman jenis ini sakitnya bukan di perut, dada atau mana-mana anggota luar; tetapi ia tertancap sakitnya di hati.

Sakitnya hati akan memberikan kesan dan parut yang jauh lebih kekal berbanding luka zahir yang boleh diubati.

Pada tahun 1934, seorang guru Melayu kelahiran Singapura bernama Muhammad Adnan bin Muhammad Ariffin, yang juga merupakan bekas Guru Besar Sekolah Inggeris al Madrasah al Muhammadiyyah, Kelantan telah menghimpunkan sejumlah peribahasa orang Melayu yang dianggap tajam menghiris.

Diterbitkan oleh al Matbaah Al-Asasiyah, Kelantan, judulnya adalah ‘Kitab Tikaman Bahasa’.
Harus dinyatakan di sini, Muhammad Adnan terpakai sebagai seorang pujangga Melayu oleh sebab pengalaman yang luas sebagai setiausaha sulit kepada Sultan Hashim negeri Siak.

CUKUP ASLI DAN PATI

Dalam makna lain, beliau mendapat ‘ilmu Melayu itu dari sebuah daerah’ yang cukup asli dan pati.

Ini jua bererti bidalan Melayu yang dihimpunkan adalah berasal dari masyarakat Melayu sejati, dan apabila ia bertembung dengan pengalaman beliau di Kelantan (yang juga wilayah Melayu yang memadai sari), kita dapat menghujahkan peribahasa ini memang lah khazanah warisan Melayu yang tidak dapat disangkalkan lagi.

Justeru, kaum Baba Nyonya dan Ceti yang juga berbahasa Melayu tidak dapat mengatakan bahawa peribahasa ini bersumber daripada mereka, memandangkan ia datang bukan dari daerah campuran seperti Singapura, Melaka atau pun Pulau Pinang. Akan tetapi ia berasal dari tempat yang pati Melayu.

Terdapat 2121 peribahasa, dalam erti kata lain, peluru berbisa yang dihadirkan oleh beliau dalam 10 bidang yang pelbagai.

Aneka bidang tersebut merangkumi bab nikah kahwin, kekayaan, juga kepapaan, ilmu pengetahuan, dan yang akan saya sorot di sini adalah perihal melibatkan penguasa atau pemerintah negeri.

BUKAN DARI ISTANA

Ilmu berbahasa sebegini sebetulnya jarang kita perolehi dari pujangga yang tumbuh atau dewasa di istana Melayu.

Ini kerana mereka kebanyakannya cenderung memihak kepada penguasa, dan dalam banyak keadaan mendapat upah daripada raja-raja.

Kaum agamawan pula, berada di serambi takhta dan menyusunkan pelbagai kitab untuk memberi hukum; dengan niat mengawal rakyat jelata agar tidak berlebihan menuding kepada pemerintah.

Kita biasa mendengar peribahasa ‘raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah’ yang memperlihatkan sikap orang Melayu yang tidak akan berkompromi dan melawan pemerintah yang berbuat zalim.

SINDIRAN AMAT BELATI

Pun orang Melayu mempunyai sindiran yang amat belati sifatnya kepada mereka yang hanya akur dan menyembah raja tanpa banyak tanya.

Dalam ‘Kitab Tikaman Bahasa’ susunan Muhammad Adnan terdapat beberapa peribahasa untuk memerli mereka yang kuat mengampu ini.

Antara lain peribahasa tersebut berbunyi; ‘telinga yang lembut itulah kerap dipulas’ yakni ‘orang yang mengikut sahaja tentulah akan penat disuruh orang atas’.

Juga peribahasa ‘seperti kunyit dengan kapur’ yang menyamakan orang yang bersilekas mengerjakan perintah itu ibarat kunyit dengan kapur.

Terdapat sebuah lagi peribahasa berbunyi ‘bertitah lalu, sembah berlaku’ yang membawa pengertian seandainya kita mengikut sahaja kehendak orang atasan tentulah apa pun yang kita inginkan akan dimakbulkan.

DIKECAM KERANA MENGAMPU

Orang-orang yang mengampu atau kerjanya mendengarkan saja titah raja itu terus-terusan ditikam oleh peribahasa lama.

Mereka yang tidak berkutik membantah dan mengikut sahaja kehendak raja diperlikan sebagai ‘jadi dinding lasak peti banian’.

Apabila yang mengampu itu mendapat habuannya mereka akan dikecam lagi, kali ini dengan peribahasa ‘di manakah kutu makan kalau tidak di atas kepala’ yang memang memaksudkan orang sekeliling raja itu berhasrat menghabiskan apa yang ada.

Selain itu terdapat juga peribahasa yang lazim kita dengar, ‘ada persembahan adalah kurnia’ yakni jika kita menjulang semata perintah raja maka tentulah akan beroleh apa-apa sebagai anugerah.

Jika yang memaut orang atas itu menjadi terlalu busuk dan tamak, peribahasa Melayu tidak mengambil hati untuk membelasah perangai seperti ini.

Antara lain terdapat peribahasa ‘adakah buaya menolak bangkai’ atau ‘apalagi sawa ia berkehendak ayam lah’, dan juga peribahasa ‘campak batu tampak kurap seperti anak kacang hantu.’

PERANGAI DAN KELAKUAN JAHAT

Semua peribahasa di atas menurut Muhammad Adnan, menceritakan perangai dan kelakuan jahat orang yang bernafsu, tamak, lokek, bertipu daya, keji dan tidak berhenti melakukan perlontean.

Orang Melayu mengingatkan kejahatan atau perangai buruk ini semua jika diteruskan akan satu hari menimpa diri jadi iktibar. Ada peribahasa ingatan berbunyi, ‘seperti memanjat terkena seroda.’

Kadangkala orang yang sudah mengampu raja-raja itu malangnya tidak mendapat apa-apa dan tidak pun diperhatikan.

Untuk mereka yang seperti ini, peribahasa Melayu ada juga bahasa untuk menikam mereka iaitu ‘memerah kain basah orang’ yang membawa erti bersusah payah menyempurnakan permintaan orang atas tetapi tidak mendapat apa pun faedah.

DITINDAS PENGUASA

Untuk mereka yang ditindas oleh penguasa atau orang atasan, peribahasa Melayu menyatakan kasih dan kasihan tetapi dalam masa yang sama ikut memerlikan.

Antara peribahasa yang perlu disebutkan di sini adalah ‘bagai kayu lempung ditebuk kumbang tembus-menembus’ yang membawa maksud orang yang lemah dan tiada berdaya itu akan sangat dilaukkan oleh mereka yang berkuasa.

Satu lagi peribahasa yang menikam adalah ‘tergeser kena miangnya, terlanggar kena rabasnya’ yang membawa maksud, ‘raja-raja, orang besar-besar atau yang berkuasa itu tiada boleh kita tersalah sedikit padanya dalam sebarang hal nescaya susah kita olehnya.’

TUNJUK NASIHAT

Peribahasa lain yang juga menyakitkan hati jika siapa yang memakan cili adalah ‘seperti pasir di tepi pantai tatkala timpas air boleh dibahagikan’.

Peribahasa ini ingin mengatakan, ‘tiada boleh kita menyatakan kebenaran kita kepada raja-raja atau orang besar-besar yang sedang dalam marah melainkan hendaklah kita sabar sehingga kurang marahnya itu.’

Sekali gus peribahasa ini merupakan tunjuk nasihat, tetapi dalam banyak keadaan ini juga digunakan untuk memukul perasaan agar janganlah menjadi bodoh sehingga boleh diibaratkan seperti kayu lempung atau pasir yang selalu dihempas.

DIKETAHUI GENERASI BAHARU

Penerbit ‘Kitab Tikaman Bahasa’ ini, Ahmad Ismail al Kelantani menyatakan bidalan-bidalan tajam ini haruslah diketahui oleh generasi baharu.

Kata beliau, ‘tersangatlah berguna kepada murid-murid Melayu bagi menghafazkan bidal-bidal ini dan dengan bidal-bidal ini menjadi suatu kemanisan di dalam percakapan dan suatu keelokan bagi menatahkan di dalam karangan-karangan.

Istimewa pula segala perumpamaan dan bidalan-bidalan yang terhimpun di dalamnya ialah yang terlebih sah dan fasih susunan Melayu jati kerana kebanyakannya itu pengarang sendiri memindah daripada lidah orang-orang Melayu tua dari sebelah Sumatera dan daripada setengah-setengah karangan tua.’

KEARIFAN LOKAL

Peribahasa adalah kearifan lokal atau local genius yang mana ia memperlihatkan gagasan tempatan yang penuh bijaksana, bernilai luhur, bertahan dan tertanam dalam masyarakat.
Akhir sekali, dalam memaknakan hubungan rakyat dan raja, atau orang bawah dan atasan; orang lama kita menegaskan: ‘tiadalah berkibaran panji-panji sutera yang mulia itu melainkan berdiri tiangnya, kayu yang hina.’

Ia diberi maksud, ‘tiadalah besar dan mulia seorang raja itu jika tidak diangkat dipermulia dan dikasihi oleh orang-orang yang rendah dan hina, iaitu hamba rakyatnya, oleh sebab itu tidaklah seseorang raja yang berakal itu menyombong kerana kebesaran dan kemuliaannya.’
Moga-moga banyak lagi yang dapat kita kecapi dan pelajari dari peribahasa Melayu lama.


MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

- BERITAmediacorp/nk

Top