Images
  • linggui
    Gambar fail Kolam Air Linggui. (Gambar: TODAY)

KOMENTAR: Isu perjanjian air M’sia-S’pura – mengapa ada pasang surutnya

BERITAmediacorp: Isu perjanjian bekalan air dari Malaysia ke Singapura merupakan perkara yang sudah muktamad dengan semua pihak perlu mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang ditetapkan. Namun kadangkala ia tetap berbangkit semula dari masa ke semasa atas alasan harga air yang dibeli Singapura perlu disemak semula.

Dalam tulisan berikut, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim menyelongkar latar belakang kedua-dua perjanjian air tahun 1961 dan 1962, serta menjelaskan pendirian Singapura terhadapnya.


(Gambar: Feline Lim/AFP)

Dalam lawatannya yang pertama ke Singapura sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh baru-baru ini, Dr Mahathir Mohamad telah bertukar pendapat dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai isu-isu dua hala.

Antara lain, Dr Mahathir melahirkan hasrat untuk berbincang dengan lebih lanjut bagi memahami kedudukan kedua-dua negara tentang isu perjanjian bekalan air dengan Singapura.

Isu air kerap timbul dalam hubungan kedua-dua negara dan untuk memahaminya dengan lebih mendalam, kita harus menyelami sejarah di sebalik Perjanjian Air 1961 dan 1962 antara Singapura dengan Malaysia.

Perjanjian 1961 dan 1962 merupakan salah satu jaminan utama di bawah Perjanjian Pemisahan antara Malaysia dengan Singapura yang dimeterai pada 7 Ogos 1965.

BUTIRAN PERJANJIAN

Singapura mempunyai sumber air yang terhad kerana saiznya yang kecil. Oleh itu, Singapura menandatangani perjanjian air yang pertama dengan Johor pada Disember 1927, di bawah naungan kerajaan British.

Dalam perjanjian tersebut, kerajaan negeri Johor bersetuju untuk menyediakan 2,100 ekar tanah di Gunung Pulai, sebagai kawasan tadahan air untuk Singapura selama 21 tahun.

Perjanjian itu tidak memberi butiran lanjut tentang harga air yang dibekalkan; hanya sewa tanah dengan pembayaran RM0.30/ekar setahun.

Sebaliknya, jika Johor mahu menerima air yang telah dirawat oleh Singapura, ia harus membayar RM0.25/1,000 gelen. Perjanjian 1927 ini tidak lagi berkuat kuasa dan digantikan oleh Perjanijian Air 1961 dan 1962.

PENETAPAN HARGA

Dalam Perjanjian 1961, Malaysia bersetuju untuk membekalkan sehingga 86 juta gelen air setiap hari dari takungan Pontian dan Gunung Pulai, serta Sungai Tebrau dan Skudai.

Ia dibekalkan pada harga 3 sen/1,000 gelen untuk tempoh 50 tahun sehingga 2011.

Perjanjian 1962 pula membekalkan kepada Singapura sehingga 250 juta gelen air setiap hari dari Sungai Johor selama 99 tahun (iaitu sehingga tahun 2061) pada harga yang sama.

Kedua-dua Perjanjian 1961 dan 1962 menetapkan bahawa Johor harus membayar Singapura 50 sen/1,000 gelen bagi air yang dirawat.

RUJUK TIMBANG TARA

Kedua-dua belah pihak sudah bersetuju bahawa kadar air ini boleh disemak semula setelah tamatnya tempoh 25 tahun, iaitu pada tahun 1986 dan 1987.


(Gambar fail: AFP)

Jika ada pertikaian mengenai isu kadar air mentah dan air yang dirawat, kedua-dua belah pihak boleh merujuk kes itu kepada penimbang tara (arbitration) untuk keputusan yang muktamad.

Selain daripada mendapat bekalan air, perjanjian itu juga membenarkan Singapura membina dan menyenggarakan empangan, takungan, tangki, saluran paip dan semua struktur, bangunan, tumbuhan dan peralatan yang diperlukan untuk kerja-kerja air.

Apabila tamatnya perjanjian itu, Johor mempunyai pilihan sama ada untuk membeli hak milik semua struktur tersebut.

Menurut Artikel 14 Lampiran B dalam Perjanjian Perpisahan Singapura dan Malaysia, Kerajaan Malaysia telah memberi jaminan tentang Perjanjian Air dengan Singapura.

PATUHI SEMUA SYARAT

Malaysia juga telah membuat pindaan pada perlembagaannya untuk menguatkuasakan Perjanjian Air tersebut melalui Akta Parlimen Malaysia No. 53 pada 1965.

Seksyen 14 Akta tersebut menjelaskan lagi bahawa Kerajaan Malaysia akan menjamin bahawa Negeri Johor akan mematuhi semua syarat dan tanggungjawab dalam Perjanjian 1961 dan 1962 tersebut.

Perjanjian ini pula didaftar dengan Pejabat Urus Setia Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Jun 1966.

PERJANJIAN YANG SAH

Oleh itu, mengikut Konvensyen Vienna tentang Undang-Undang Perjanjian (Vienna Convention on the Law of Treaties) yang telah diakui oleh Singapura dan Malaysia, Perjanjian 1961 dan 1962 merupakan perjanjian yang sah.


(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Ia bermakna mana-mana pihak tidak boleh mengubah sebarang syarat tanpa persetujuan pihak yang lain.

Tambahan pula, pada tahun 1968, wakil Malaysia ke Persidangan PBB mengenai Undang-Undang Perjanjian, M.O. Ariff menegaskan peri penting Perjanjian Air antara Singapura dengan Malaysia kerana ia berkait dengan kewujudan dan kehidupan di Singapura.

Beliau menjelaskan, “... pulau baru Singapura bergantung kepada Malaysia untuk bekalan airnya; perjanjian ini di mana Malaysia telah membekalkan sejumlah air setiap hari ke Singapura tidak dapat ditamatkan atau digantung atas sebarang alasan politik”.

Maka mengapakah isu ini masih dipertikaikan setelah lebih 50 tahun lamanya?

KOS MERAWAT AIR

Walaupun syarat Perjanjian 1961 dan 1962 membenarkan semakan harga air pada tahun 1986 dan 1987, Malaysia tidak memilih untuk menyemak semula harga tersebut pada masa itu.

Jikalau semakan berlaku, harga air terawat yang dibekalkan kepada Johor pastinya juga akan meningkat sejajar dengan mata wang terkini serta segala kos buruh dan perlengkapan dalam proses perawatan air yang ditanggung Singapura.

Kos merawat air kini telah meningkat kepada lebih RM2.40/1,000 gelen. Ini bermakna, Singapura menanggung kerugian sebanyak RM1.90/1,000 gelen apabila ia menjual air terawat kepada Johor pada harga RM0.50 seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian 1961 dan 1962.

Ini merupakan subsidi sebanyak RM25 juta setiap tahun yang ditanggung Singapura.

Sebaliknya, air terawat yang dijual oleh negeri Johor kepada warga Johor adalah lebih RM3.95/1,000 gelen.

Media Malaysia pada tahun ini melaporkan bahawa tarif air di Johor adalah antara yang tertinggi di seluruh Malaysia.

TIADA KATA PERSETUJUAN

Mengikut dokumen yang diterbitkan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), Singapura telah bersedia pada tahun 2000 untuk membayar harga yang lebih tinggi untuk pembekalan air dari Malaysia.

Ia bersetuju membelinya pada harga 45 sen/1,000 gelen dan bersetuju membiayai kos perlengkapan air di Sungai Johor (yang akan menelan belanja sebanyak RM835 juta).

Namun, tiada kata persetujuan yang dapat dikecapi.

Oleh itu, Perjanjian 1961 akhirnya luput pada tahun 2011 dan yang hanya tinggal adalah Perjanjian 1962.

STRATEGI BEKALAN AIR

Perjanjian 1962 akan tamat pada tahun 2061 jika tidak dilanjutkan. Perubahan iklim dan kawasan bandar yang semakin meningkat, membuat pembekalan air amat penting untuk Singapura.

Oleh itu, Singapura telah membina bekalan air yang pelbagai dan telah melestarikan empat sumber air yang dikenali sebagai “4 National Taps” - Air dari Kawasan Tadahan Air Tempatan, Air yang dibekalkan dari Johor, Air Baru (NEWater) dan Air Penyahgaraman (Desalinated).


(Gambar: PUB)

Kini terdapat lima loji Air Baru (NEWater) yang membekalkan sehingga 40% daripada keperluan air semasa Singapura.

Menjelang 2060, NEWater dijangka dapat memenuhi sehingga 55% permintaan air Singapura.

Bagi Air Penyahgaraman (Desalinated) pula, pada masa ini, Singapura mempunyai tiga loji penyahgaraman (desalination plants) yang dapat memenuhi sehingga 30% permintaan air Singapura.

Dua lagi loji akan siap menjelang 2020. Air Penyahgaraman dijangka memenuhi sehingga 30% keperluan air masa depan Singapura menjelang tahun 2060.

Dengan strategi ini, Singapura telah dapat mengatasi kekurangan sumber air semula jadi untuk memenuhi keperluan negara yang semakin meningkat.

ASPEK AGAMA DAN KEMANUSIAAN

Dalam kita mendalami isu tentang Perjanjian Air antara Singapura dengan Malaysia, kita juga tidak harus terlepas pandang akan peri pentingnya air dari segi kemanusiaan dan agama.

Air merupakan satu aset yang amat berharga dan tidak harus dibazir. Nabi Muhammad s.a.w. pernah menegah seseorang daripada membazir air walau di tepi sungai yang mengalir sekalipun.

Perkataan air pula muncul lebih dari 60 kali di dalam Al-Quran.

Nabi juga pernah bersabda: “Manusia berkongsi pada tiga perkara iaitu air, rumput dan api” yang menyifatkan air sebagai perkara asas yang tidak seharusnya dinafikan daripada seseorang.

HAK PENGGUNAAN AIR

Sifat ini dicerminkan oleh umat Islam di kota Madinah di mana bekalan air adalah terhad dan dikawal oleh beberapa orang sahaja pada harga tertentu.

Salah seorang sahabat Nabi, Uthman ibn Affan, seorang peniaga dan perunding yang mahir, berjaya mendapatkan hak penggunaan air pada hari-hari yang ditetapkan oleh seorang pemilik telaga.

Namun, pada hari-hari tersebut, beliau memberikan airnya kepada penduduk Madinah, yang pelbagai kaum dan agama, secara percuma, sehingga tiada siapa yang mahu membayar air pada hari-hari yang lain.

Pemilik asal telaga itu akhirnya tidak mempunyai pilihan selain menjual telaganya kepada Uthman.

Setelah itu, Uthman terus membenarkan air telaga itu digunakan oleh semua penduduk Madinah secara percuma.

SALING BANTU SESAMA MANUSIA

Sifat saling membantu sesama manusia atas dasar kemanusiaan adalah penting, tidak kira agama, bangsa atau negara.

Pada tahun 2015, musim tengkujuh melanda negeri pantai timur di Semenanjung Malaysia, mengakibatkan banjir yang paling buruk dalam masa beberapa dekad.

Ini menyebabkan bekalan air minum tercemar atau terputus bagi ramai penduduk. Pasukan Singapura yang diterajui Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan agensi air negara PUB membekalkan air minum kepada penduduk di kawasan-kawasan yang paling terjejas teruk di Kelantan.

Pada tahun 2016 pula, cuaca kemarau yang berterusan di negeri Johor mengakibatkan tahap air di empangan Sungai Layang berada di paras yang sangat rendah.

Pihak PUB menghulurkan bantuan dari segi bekalan air tawar berjumlah 6 juta gelen sehari.

Secara kesuluruhannya, Singapura telah membekalkan 22 juta gelen air terawat setiap hari kepada Johor.


(Gambar: Hani Amin)

Pada Jun 2018, Tengku Mahkota Johor juga telah mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Singapura kerana membantu Johor ketika mereka mengalami krisis air.

BUKAN SOAL WANG SEMATA

Isu Perjanjian Air bukan tentang wang semata-mata. Mantan Menteri Luar Singapura, Prof. S. Jayakumar pada 2003 pernah menggariskan kedudukan Singapura dalam isu ini.

Sekiranya perjanjian tersebut boleh diubah atau tidak dituruti, ini menggugat kedaulatan negara.

TEGUH DALAM PENDIRIAN

Hubungan dua hala harus berdasarkan prinsip undang-undang dan komitmen terhadap perjanjian antarabangsa.

Perbincangan lanjut tentang isu perjanjian air amat dialu-alukan.

Dalam kita mencerminkan sifat keihsanan sesama manusia, biarlah kita juga teguh dalam pendirian dan pendekatan dalam mana-mana isu sekalipun kerana kita saling memerlukan satu sama lain.

Hubungan Singapura dan Malaysia adalah serumpun dan terkait erat, walaupun ada pasang dan surutnya, bak air yang dicincang ia tidak akan putus.

Ia bukan tentang harga atau wang, tetapi menyentuhi kemerdekaan Singapura. Seperti yang dijelaskan, Perjanjian 1961 dan 1962 merupakan sebahagian daripada Perjanjian Perpisahan yang menjamin kewujudan Singapura.


MENGENAI PENULIS
Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

- BERITAmediacorp/aq

Top