Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Isu-isu NDR - Merungkai cabaran dan dasar masa depan negara

Sejauh manakah isu-isu itu mencorak cabaran masa depan kita dan bagaimana ia boleh ditangani oleh pemerintah dan rakyat secara bersama menjadi renungan aktivis masyarakat Ramli Puteh.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Isu-isu NDR - Merungkai cabaran dan dasar masa depan negara

Encik Ramli Puteh pernah berkhidmat sebagai pemimpin gerakan buruh nasional. (Gambar: Ramli Puteh)

BERITAmediacorp: Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan baru-baru ini Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh pelbagai isu yang menjadi keprihatinan rakyat umumnya dan masyarakat Melayu/Islam. Sejauh manakah isu-isu itu mencorak cabaran masa depan kita dan bagaimana ia boleh ditangani oleh pemerintah dan rakyat secara bersama menjadi renungan aktivis masyarakat Ramli Puteh seperti yang diterangkan beliau dalam rencana berikut: 

PM Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan 2018. (Gambar: TODAY/Jason Quah)

Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018.

Setiap tahun, Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) sering dinanti-nantikan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat dan orang awam. Ia menjadi wadah utama bagi pemerintah berkomunikasi dengan warganya.

Laksana State of the Union, amanat yang disampaikan oleh Presiden Amerika Syarikat, NDR di tanah air adalah amanat tahunan Perdana Menteri Singapura kepada seluruh negara. Ia menyentuh cabaran-cabaran utama yang dihadapi negara dan perubahan dasar utama pemerintah yang menjejas rakyat dan negara.

Dalam NDR tahun lalu, PM Lee telah memberi reaksi pemerintah mengenai isu-isu penting, yang menjadi perhatian umum serta program ke depan pemerintah dalam bentuk jangka panjang seperti mempertingkatkan pendidikan prasekolah, memerangi penyakit kencing manis dan menjadikan Singapura sebagai sebuah Negara Bijak.

Tahun ini PM Lee membawa isu yang berlainan. Antaranya, isu perumahan dan bantuan pertingkatkan flat lama, bantuan ringankan himpitan yang dirasai oleh golongan pertengahan dan subsidi untuk rawatan kesihatan khusus bagi warga yang menghidap penyakit kronik.

Isu yang paling panas juga mendapat perhatian iaitu isu tekanan kos sara hidup yang tinggi.

ISU PERUMAHAN

Pemilikan rumah di Singapura adalah salah satu dasar utama negara. Ia menjadi salah satu isu ‘butang panas’ kerana sebelum ini terdapat kekhuatiran di kalangan pemilik flat mengenai nilai harga jualan semula flat mereka. Ia sering menjadi topik perbualan orang ramai kerana dasar pajakan 99 tahun perumahan HDB.

Gambar fail HDB. (Gambar: Hester Tan)

(Gambar: Hester Tan)

Sesetengah warga Singapura rasa ragu bahawa hak milik 99 tahun adalah satu penyewaan pada tempoh lebih lama dan bukan satu pemilikan. Jaminan PM Lee kepada pemilik flat bahawa mereka adalah pemilik flat dan bukan sekadar penyewa dijangka dapat meredakan kegusaran ini.

Malah, menurutnya, pemilik flat HDB menikmati lebih banyak faedah dan manfaat kerana flat lama mereka akan dipertingkat dari masa ke semasa dengan sumbangan kewangan besar dari pemerintah. Contohnya pemerintah memperkenalkan lebih banyak subsidi untuk kos penyenggaraan ubah pulih di bawah skim Program Peningkatan Rumah (HIP).

Jaminan PM Lee dapat menenangkan kebimbangan pemilik flat lama kerana mereka berpeluang membeli flat baru dan menerima pampasan, jika mereka mengundi untuk membolehkan pemerintah mengambil balik flat mereka sebelum pajakan flat itu berakhir melalui Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS).

PAKEJ GENERASI MERDEKA

Usul memperkenalkan Pakej Generasi Merdeka (MGP) adalah satu inisiatif yang dihargai dan dialu-alukan orang ramai. Ia dipengaruhi oleh kesan warga yang semakin menua. Ia juga demi menghargai sumbangan golongan ini yang telah melalui era pahit semasa kemerdekaan.

Gambar fail. (Gambar: Francine Lim) 

(Gambar: Francine Lim) 

Bagi 500,000 warga berusia melebihi 60 tahun, yang lahir antara tahun-tahun 1950 dan 1959, pakej ini melegakan mereka kerana ia satu sokongan tambahan untuk memenuhi perbelanjaan kesihatan.

Mentelah lagi, sesetengah warga dalam golongan ini adalah warga yang tidak ada mata pencarian, pesara dan golongan berpendapatan pertengahan yang menghidap penyakit kronik. Dengan sokongan tambahan ini, ia membolehkan mereka menikmati gaya hidup kesihatan yang lebih baik.

BANTUAN KESIHATAN & KOS SARA HIDUP 

Langkah pemerintah memperbaiki Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) membolehkan semua pesakit kronik diberi bantuan CHAS tanpa batas pendapatan, sangat dialu-alukan.

Laman web CHAS.

Petikan gambar dari laman CHAS. 

Langkah ini disambut baik dan satu langkah ke hadapan. Ia menambah jenama atau ‘branding’ yang lebih baik bagi pemerintah kerana peka dan prihatin pada golongan berpendapatan pertengahan.

Kos sara hidup di Singapura semakin meningkat. Mengikut indeks kos sara hidup yang dilaporkan oleh Expatisan, kos sara hidup di Singapura adalah kedua tertinggi di Asia dan ke-29 di kalangan lebih 300 bandar di dunia.

Tinjauan yang dilakukan oleh sebuah firma pengurusan BlackRock, menunjukkan bahawa lebih 64 peratus warga Singapura yang khuatir simpanan mereka akan kehabisan sebelum jangka hayat diri mereka sendiri.

PANDUAN ARIF KEWANGAN

Ramai di antara warga Singapura yang kurang bijak dan arif mengenai pelan perancangan dan pelaburan kewangan serta tabungan untuk masa depan.

Oleh itu, jaminan pemerintah terhadap isu perumahan, rawatan kesihatan dan kos pendidikan pada kadar yang lebih memadai adalah satu asuransi yang melegakan.

Rakyat juga mungkin dapat dibantu dengan menyediakan berbagai panduan untuk menguruskan kewangan masa depan mereka dengan lebih berkesan.

Misalnya, Program Celik Kewangan (Financial Literacy) boleh diperkenalkan dengan lebih meluas supaya warga Singapura dapat tambah keyakinan dan percaya diri (PD) bagi pengurusan kewangan mereka dengan lebih yakin.

Dengan bertambahnya jangka hayat (life expectancy) dan kos sara hidup yang meningkat, setiap warga Singapura yang dewasa perlu membuat lebih banyak keputusan mengenai kewangan pada hari ini berbanding dengan 20 tahun yang lalu.

GANDINGAN BADAN-BADAN M³ 

Mengenai isu-isu masyarakat Melayu/Islam Singapura, PM Lee menyokong usul tiga “M” – gandingan kerjasama antara MUIS, MENDAKI dan MESRA sambil menegaskan perlunya sokongan padu masyarakat Melayu untuk menjayakan pelan bertindak M³.

Ia merupakan gandingan yang boleh mendorong lagi usaha-usaha ke arah memenuhi aspirasi masyarakat Melayu setempat.

Gagasan M³ boleh berjaya mencapai visinya demi memastikan semua kanak-kanak mengikuti prasekolah, memperkasa dan membimbing belia, serta membantu golongan yang ketinggalan kerana dadah dan isu-isu sosial.

Ini kerana ketiga-tiga institusi itu adalah tunggak masyarakat setempat dengan setiap satu mempunyai kekuatan sumber kewangan dari dana-dana tertentu.

Mereka punya sistem rangkaian sukarelawan dengan kakitangan sepenuh masa untuk menerajui Pelan Bertindak yang telah dipersetujui dan dengan prasarana yang baik, usaha untuk mendampingi masyarakat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

PASTIKAN M³ BERJAYA

Kerjasama dan koloborasi ini dapat menajamkan fokus dan hala tuju agar lebih rapat, mampat dan tepat. Dengan itu program untuk merungkai cabaran Melayu dapat dilaksanakan dengan jauh lebih berkesan.

Pelan Bertindak ini yang melakarkan strategi penting termasuk tindakan-tindakan yang perlu diambil tidak mencukupi untuk mencapai matlamat.

Selain pelan, proses dan faktor kemanusiaan juga perlu diambil kira untuk menentukan laju/perlahannya sesuatu usaha. Faktor kejayaan kritikal (Critical Success Factor) seperti rasa pemilikan (sense of ownership) rasa komitmen (sense of commitment) dan semangat berpasukan mempunyai peranan yang penting dalam memastikan Pelan Bertindak M³ dapat dicapai dengan jayanya.

Pemerintah seperti yang dibentangkan oleh PM Lee dalam ucapan NDR beliau telah pun menggariskan strategi dan langkah bertindak yang boleh diambil untuk membolehkan masyarakat maju ke depan.

Kini terserahlah kepada kita semua untuk bekerjasama dan memperteguh ikatan anggota masyarakat Melayu ibarat seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, dan laksana gerup dengan sisir.

Dirgahayu Singapura!

MENGENAI PENULIS:

Penulis adalah seorang aktivis sosial yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat akar umbi dan badan-badan amal Melayu/Islam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan