Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: ISIS mungkin tersungkur tetapi ia boleh bangkit semula dan menimbulkan bahaya lebih besar

Sejauh mana tahun 2019 akan menyaksikan kebangkitan semula ISIS dan apakah bahaya yang menanti sekiranya ISIS dan Al Qaeda menjalin kerjasama untuk mencapai matlamat pengganasan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: ISIS mungkin tersungkur tetapi ia boleh bangkit semula dan menimbulkan bahaya lebih besar

Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

BERITAmediacorp: Sejauh mana tahun 2019 akan menyaksikan kebangkitan semula ISIS dan apakah bahaya yang menanti sekiranya ISIS dan Al Qaeda menjalin kerjasama untuk mencapai matlamat pengganasan mereka.

Penganalisis Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Alkaff. (Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

TAHUN 2018 menyaksikan ISIS mengibarkan bendera putih di kebanyakan kawasan yang ditaklukinya di Iraq dan Syria.

Ribuan anggota militan ISIS - termasuk pemimpin kanan, komander veteran dan militan asing - sudah terbunuh dalam serangan-serangan yang diterajui Amerika Syarikat. Prasarana ‘perintah dan kawalannya’ (command and control) juga sudah musnah dan pendapatan serta sumber-sumbernya disekat.

Tambahan lagi, jumlah militan asing, yang dahulunya boleh mencecah 1,500 orang sebulan di Iraq dan Syria, kini jauh berkurangan. Ini meskipun terdapat laporan-laporan yang menyatakan ISIS masih menarik sehingga 100 anggota baru militan asing ke rantau itu setiap bulan.

Walaupun kehilangan wilayah, ISIS belum lagi dibanteras hingga ke akar umbinya, belum lagi dihapuskan. Malah ideologinya masih diterima para pengikut dan penyokong di merata dunia. ISIS dianggarkan mempunyai lebih 30,000 anggota militan di Iraq dan Syria.

KEMUNGKINAN BANGKIT SEMULA

Keadaan politik yang terus-terusan tidak stabil juga mewujudkan kemungkinan bagi ISIS untuk bangkit semula sebagai puak pemberontak di Iraq dan Syria, dengan kes-kes penculikan, pembunuhan dan pengeboman semakin meningkat dan dikaitkan dengan rangkaian sulit ISIS yang beroperasi di bawah kaedah yang lebih berpecah-pecah.

Di Iraq dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan kecil ISIS melancarkan serangan-serangan hendap ke atas pasukan-pasukan keselamatan Iraq dan orang-orang awam, khususnya di kawasan Anbar, Kirkuk dan Salahuddin.

Di Syria pula, antara 1,500 dengan 2,000 anggota militan masih berada di bandar Hajin, di tengah-tengah Lembah Sungai Furat, yang merupakan salah satu daripada baki kawasan yang masih ditakluki ISIS.

Kawasan tersebut kian berdepan serangan bertubi-tubi daripada pasukan-pasukan yang dipimpin pihak Barat.

Gambar fail. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

(Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

STRATEGI PERGESERAN BERLARUTAN

Meskipun semakin terhapus, ISIS masih handal dalam memanipulasi media sosial untuk menyatukan para penyokongnya baik secara online mahupun sebaliknya.

Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada usaha mewajarkan idea bagi sebuah khilafah, media sosial ISIS kini fokus kepada operasi-operasi pertempuran dan pengganasan sebagai membuktikan ia mampu terus berada di Iraq, Syria dan di wilayah-wilayah lain serta kesannya ke atas pemerintah-pemerintah serantau dan puak-puak lain.

Strategi konflik pergeseran berlarutan yang digunakan oleh ISIS itu menekankan bahawa kehilangan wilayah atau pemimpin-pemimpin utamanya hanya akan memperkuatkan lagi tekad anggota militannya.

Tentera Iraq. (Gambar: AHMAD AL-RUBAYE/AFP)

(Gambar: AHMAD AL-RUBAYE/AFP)

BANGUNKAN SEMULA KUMPULAN 

Sebagai perbandingan, Al-Qaeda (AQ) pula dalam diam-diam membangunkan semula kumpulannya serta meluaskan kehadirannya di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah dan di kawasan-kawasan selain itu.

Di Syria, AQ dilaporkan mempunyai lebih 20,000 anggota bersenjata, dengan lagi 4,000 berada di Yaman dan sekurang-kurangnya 7,000 berada di Somalia.

Strategi kumpulan itu terletak pada kerjasama rapat dengan kumpulan-kumpulan tempatan seperti Jabhat al-Nusra (JN) di Syria, yang memanfaatkan kegiatan-kegiatan Pentadbiran Daerah Bebas (Idarat al-Manateq al-Muharara) untuk mengambil alih kuasa di kawasan-kawasan ramai penduduk yang dirampas daripada rejim Assad menerusi, contohnya peruntukan elektrik, air, kebersihan serta fungsi-fungsi lain perbandaran.

SOKONGAN TEMPATAN

Di Yaman, AQ, menerusi sayap Al-Qaeda Yaman yang terletak di Semenanjung Arab (AQAP), berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada para pemimpin utama bandar dan ketua puak serta penduduk di sana dengan memperkenalkan kumpulannya melalui nama tempatan “The Sons of Hadramawt’ (Anak Jati Hadramaut), yang merujuk kepada wilayah terbesar di negara itu. Ia juga menganjurkan beberapa projek kemasyarakatan.

Pada tahun 2016, laman Twitternya dipenuhi maklumat-maklumat tentang perkembangan-perkembangan seperti penyediaan air dan elektrik sementara hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang syariah (mengikut tafsiran mereka yang radikal) dikurangkan.

Apabila penduduk tempatan terbunuh dalam operasi yang disasarkan ke atas tentera Yaman, AQAP mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan mengadakan rundingan bagi pembayaran wang tebus darah.

Logo Al Qaeda di papan tanda tepi jalan di bandar Jaar di wilayah Abyan selatan Yemen pada tahun 2012. (Gambar: Hani Mohammed/AP)

(Gambar: Hani Mohammed/AP)

PENDEKATAN PRAGMATIK

Para cendekiawan menyifatkan usaha-usaha sedemikian sebagai bukti AQ semakin ‘glocal’ (global tapi lokal). Ini kerana ia berhasil, sebahagian besarnya dan dengan berkesan, merangkumkan aduan tidak puas hati serta keprihatinan penduduk tempatan ke dalam naratif global yang membentuk asas bagi sebuah strategi menyeluruh.

Pendekatan pragmatik itu diterima dalam kalangan pemberontak tempatan yang amat memerlukan pembiayaan dari sumber-sumber pengganas. Sebahagian daripadanya, kemudian menjadi radikal mengikut fahaman pengganasan.

Sumber-sumber tersebut juga mendatangkan huraian kepada masyarakat awam yang dibelenggu isu-isu sosio-ekonomi. Ia sedikit sebanyak, usaha AQ untuk “memenangi hati dan minda” masyarakat berhasil.

KERJASAMA TAKTIKAL

Kekalahan ISIS di Syria dan Iraq menyaksikan perubahan hala tuju kumpulan itu. Laporan terbaru Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa ISIS “sedang melalui perubahan menjadi sebuah pertubuhan pengganasan tanpa hierarki, dengan kumpulan-kumpulan lebih kecil bertindak lebih secara sendirian”.

Bagi AQ pula, laporan itu mendapati ia “kekal berdaya tahan” dan di beberapa rantau “terus menjadi ancaman besar” berbanding ISIS. Laporan PBB itu memberi amaran tentang ‘kemungkinan ancaman baru” daripada lebih banyak kerjasama antara kedua-dua kumpulan yang bermusuhan itu untuk merancang dan menyelaraskan serangan-serangan mereka.

CABARAN BESAR

Sekalipun demikian, terdapat beberapa cabaran besar dalam pakatan antara ISIS dengan AQ. Ini termasuk penggunaan taktik ketenteraan yang berbeza, keutamaan yang diberikan dalam menyerang lawan serta perbezaan personaliti dalam kumpulan masing-masing. Isu-isu itu pernah mencetuskan permusuhan dan pertelingkahan antara kedua-dua gerakan di wilayah Syria-Iraq sedang kedua-duanya terus berkembang.

Di luar Iraq dan Syria, ISIS dan AQ juga beroperasi secara berasingan meskipun kedua-duanya menyasarkan untuk mengawal kawasan-kawasan dan menempatkan diri mereka dalam kalangan masyarakat tempatan di mana kehadiran mereka diketahui.

Sekalipun demikian, landskap jihadi yang kian berubah-ubah boleh mewujudkan keadaan-keadaan tertentu yang diperlukan bagi membolehkan kerjasama oportunistik, taktikal dan urus niaga. Misalnya, berkongsi tempat persembunyian dan pertukaran maklumat, risikan, senjata serta rangkaian logistik bagi menentang musuh yang sama.

Ledakan bom di Syria.

SEKITARAN YANG BERUBAH

Kerjasama sedemikian - namun tidak sampai kepada penggabungan - antara pertubuhan-pertubuhan jihadi yang saling bermusuh menjadi perlu disebabkan sekitaran operasi yang berubah.

Kumpulan-kumpulan jihadi beroperasi seperti para usahawan dan mahu memaksimumkan keuntungan serta mengurangkan kerugian mereka.

Apabila dua perusahaan yang bersaing terancam dengan pihak ketiga, sememangnya mungkin untuk kedua-duanya menggabungkan sumber-sumber, usaha dan tenaga mereka bagi melemahkan pihak ketiga tersebut - iaitu ancaman yang sama bagi mereka.

Kedua-dua ISIS dan AQ, adalah pertubuhan militan berfahaman Sunni dengan Weltanschauung (pandangan dunia) yang sama dan menggalak masyarakat supaya mengangkat senjata untuk membangunkan khilafah Sunni (walaupun menerusi pendekatan kualitatif yang berbeza).

Tambahan pula, kerjasama urus niaga dan taktikal yang tidak rasmi di peringkat bawahan dan antara individu, tidak boleh diketepikan, khususnya dalam sekitaran operasi ketenteraan dan militan yang sentiasa berubah di Timur Tengah.

KEMUNGKINAN MEMBIMBANGKAN

Ini adalah kemungkinan yang membimbangkan disebabkan ramainya jumlah anggota militan, rangkaian luas dan banyaknya kumpulan-kumpulan bersekutu di dalam dan di luar Iraq dan Syria.

Dalam masa yang sama, keadaan politik dan sosial yang tidak stabil di sebahagian besar wilayah di Timur Tengah disebabkan tadbir urus, rasuah, salah urus ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda terus menjejas banyak kawasan di rantau itu.

Kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS dan AQ boleh boleh mengeksploitasi iklim geo-politik sedemikian demi kepentingan agama dan politik mereka.

Kedua-dua kumpulan itu komited untuk memerangi Barat dan berpaling tadah terhadap pemerintah-pemerintah Islam semata-mata untuk membangunkan sebuah khilafah global dan menolak Orde Dunia atau tata dunia sedia ada.

AMBIL KESEMPATAN

Kumpulan-kumpulan pengganas, khususnya ISIS, juga mengambil kesempatan ke atas pertikaian antara puak (Sunni dan Syiah) yang semakin buruk disebabkan persaingan geo-strategik antara Iran dengan Arab Saudi di rantau itu.

Kedua-dua kuasa serantau itu memanfaatkan sokongan popular dan menaja militia bagi perang lewat pihak ketiga dalam konflik-konflik sivil dari Iraq ke Syria ke Yaman.

Kumpulan-kumpulan militan pula mengeksploitasi ketegangan Syiah-Sunni untuk membentuk dan memperhebat konflik, dengan harapan meraih pengaruh lebih besar.

Insiden-insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini, termasuk pelaksanaan sekatan yang mahu melumpuhkan ekonomi Iran serta kritikan hebat antarabangsa terhadap Arab Saudi berkaitan pembunuhan seorang wartawan yang lantang menentang kerajaan negara itu, mungkin menjejas landskap pengganasan. Ini prospek yang boleh dieksploitasikan lagi oleh golongan militan.

Wartawan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi. (Gambar: Mohammed Al-Shaikh/AFP)

Wartawan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi. (Gambar: Mohammed Al-Shaikh/AFP)

SERANGAN MUNGKIN BERTAMBAH

Serangan-serangan pengganas berkemungkinan bertambah bukan hanya di Iraq dan Syria malah menjangkaui luar wilayah tersebut.

Strategi ISIS menggunakan kumpulan-kumpulan kecil dan para penyokongnya di luar negara untuk melancarkan serangan demi serangan mungkin mendorong ISIS untuk mencontohi pendekatan 'perlahan-lahan tapi pasti’, yang diamalkan AQ.

Menerusi pendekatan itu, AQ memberi tumpuan kepada usaha menyerapkan kumpulannya ke dalam puak-puak pemberontak tempatan, mengakui bahawa untuk menggulingkan rejim-rejim Timur Tengah dan membangunkan sebuah khilafah Sunni tidak mungkin dicapai dalam jangka pendek. Ini sehinggalah musuh jauh (Amerika Syarikat dan sekutunya Eropah) ditewaskan dan dihalau keluar dari rantau tersebut.

Kumpulan-kumpulan penyokong AQ ramai berada di Asia Tenggara, Afrika Barat, Semenanjung Sinai Mesir, Yaman, Somalia dan Sahel, antara lain.

Sejak tahun 2015, ISIS juga mendorong atau memberikan arahan kepada para penyerang di Belgium, Perancis, Jerman, Sepanyol, Turki, Amerika Syarikat, Britain dan Rusia.

CABARAN KESELAMATAN

AQ menunjukkan bahawa ia semakin berdaya tahan, relevan dan berupaya mewujudkan strategi yang lancar untuk menyelaras dan mengadakan perjanjian dengan para penduduk tempatan serta kumpulan-kumpulan bersenjata yang lain. Ini terbukti berkesan menambah kegiatan anggota militan di wilayah Iraq-Syria.

Sebarang kerjasama antara ISIS dengan AQ akan menimbulkan cabaran keselamatan yang serius dan akan memburukkan lagi landskap ancaman.

Tahun 2019 bakal menjadi satu lagi tahun mencabar bagi pemerintah-pemerintah dan agensi-agensi keselamatan di Timur Tengah.

Pendekatan anti-pengganasan sedia ada, termasuk membangunkan ideologi-ideologi alternatif yang positif berbanding propaganda pengganas, amat penting diteruskan.

Pada masa yang sama, lebih banyak usaha perlu dijalankan untuk mengurangkan perkara-perkara yang menjadi punca perasaan tidak puas hati yang boleh membawa kepada fahaman pelampau.

Penganalisis Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Alkaff. (Gambar: Syed Huzaifah Alkaff)

MENGENAI PENULIS:

Syed Huzaifah Othman Alkaff ialah Zamil Penyelidik Bersekutu di Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).   

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan