Images
  • raman daud
    Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

KOMENTAR: Bulan Bahasa: Bagaimana kita mengukur kejayaannya yang sebenar

BERITAmediacorp: Kegiatan menyambut Bulan Bahasa yang dijalankan setiap tahun kini memasuki dekadnya yang ketiga, malah mungkin lebih lama daripada itu jika diambil kira sambutan pada awal tahun 1960-an. Setelah sambutan yang cukup lama itu mantan wartawan kanan Mohd Raman Daud ingin menghimbau masyarakat supaya memikirkan bersama tentang apakah yang boleh dianggap sebagai kejayaan bagi acara tahunan tersebut:


Logo Bulan Bahasa 2018. (Gambar: Megat_fir/Instagram)

BULAN Bahasa anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura yang dirasmikan Sabtu, 1 September ini berlangsung untuk dekad ketiga.

Peristiwa ini cukup bermakna dalam rangka mengenali jati diri orang Melayu dan pembentukan Singapura sebagai negara bangsa, sejarah dan kedudukan di lautan berbahasa Melayu Asia Tenggara.

Singapura berada dalam lautan penutur bahasa Melayu di Asia Tenggara yang kini sekitar 300 juta jiwa. Dalam Perlembagaan Singapura, orang Melayu dinyatakan sebagai peribumi atau penduduk asal Singapura.

Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dan satu daripada empat bahasa rasmi (Cina, Inggeris, Melayu dan Tamil) di Singapura. Dasar bahasa Singapura mengambil kira kemajmukan rakyat negara ini.

Ketika Singapura berpemerintah sendiri pada 1959, kesepakatan nasional tertinta untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ia mengambil kira hasrat Singapura untuk menyertai Persekutuan Malaysia yang telah menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya.

Keputusan siasah tadi berlaku sesudah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang dianjurkan di Johor dan Singapura pada 1956. Menurut antara peneraju kongres itu, almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff bin Ahmad (1924-2016):

“Selepas diadakan semacam peraduan, permutu atau cogan kata yang saya hasilkan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ telah diterima sebulat suara oleh kongres. Suasana kongres itu amat memberangsangkan dalam zaman merdeka untuk memertabatkan bahasa Melayu.” (Cogan kata itu digunakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia, sehingga kini).

PENERIMAAN LUAS

Terdapat penerimaan meluas agar bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di Singapura. Menurut Puan Chan Maw Woh, 81 tahun, seorang wartawan veteran, sikap masyarakat majoriti iaitu kaum Cina ternyata menerima baik gagasan tadi.

Puan Chan dan suaminya, Prof Yang Quee Yee, telah menghasilkan banyak kamus bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris.

Universiti Nanyang atau Nantah yang menjadi lambang keutuhan jati diri kaum Cina, terutama aliran pendidikan Cina di Singapura, telah memperkenalkan modul bahasa Melayu untuk para mahasiswa. Ia mendapat sambutan menggalakkan. Kesatuan siswa Nantah telah menerbitkan warta dalam bahasa Melayu bermuat esei dan sastera.

MEREKAYASA BAHASA MELAYU

Pemerintah Singapura telah merekayasa bahasa Melayu dalam tulisan rumi sebagai bahasa pengantar menerusi Kementerian Kebudayaan yang diterajui Encik S. Rajaratnam.

Sebuah agensi, Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan (DBKM), telah dibentuk pada 1960. Menurut Dr Muhd Ariff, DBKM berperanan besar dalam mengadakan Bulan Bahasa yang pertama pada 1962 dan pelbagai acara termasuk Kongres Bahasa sehingga 1966.

Antara lain, DBKM pernah memanfaatkan khidmat sejarawan dan budayawan Indonesia, Profesor Slamet Muljana (1929-1986) yang kebetulan mengajar di Nantah.

Di samping itu, kelas bahasa diadakan di bawah naungan Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa. Ramai kakitangan awam lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan diberikan kenaikan pangkat atau gaji.

Dalam memoirnya, Perjalanan MAS (2003), Dr Muhd Ariff mendapati suasana belajar bahasa Melayu di Singapura pada awal 1960-an sebagai amat rancak dan cerah.

Katanya kepada saya: “Malangnya, berlaku rusuhan kaum berdarah pada 1964, iaitu setahun selepas Singapura berada dalam Malaysia. Pelbagai peristiwa siasah yang lain menjejas ikatan rakyat sehingga akhirnya Singapura berpisah daripada Malaysia, untuk menjadi negara merdeka.”

DASAR BAHASA DISEMAK

Sesudah perpisahan, pemerintah Singapura telah menyemak dasar-dasarnya secara pragmatik, termasuk kebahasaan. Bahasa Melayu tetap sebagai bahasa Kebangsaan dan antara empat bahasa rasmi. Namun, Inggeris ditonjolkan sebagai bahasa kerja dan hubungan antarabangsa Singapura dalam strategi penakatannya.

Pada 1968, DBKM telah ditutup. Walaupun hal ini sudah dijangka, ia mendebarkankan Cikgu Ariff sehingga menderita serangan jantung yang memerlukan pembedahan.

Dalam pada itu, sekolah aliran vernakular atau yang menggunakan bahasa ibunda – Mandarin, Melayu dan Tamil kian kurang relevan dengan pemerkasaan bahasa Inggeris. Akhirnya sekolah aliran Tamil yang terdahulu pupus dan diikuti dengan aliran Melayu.

Segelintir sekolah aliran Cina dapa bertahan hasil sokongan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina serta campur tangan pemerintah yang memberikan mereka status ‘Sekolah Bantuan Khas’ (SAP).

SIKAP ELIT MELAYU

Umumnya elit Melayu menilai bahasa Melayu sebagai antara tiga penanda jati diri mereka, selain budaya Melayu dan agama Islam [rujuk buku ‘Problems of Elite Cohesion’ (1974) tulisan Ismail Kassim]. Pada tempoh sebelum dan baru merdeka, kebanyakan elit Melayu terdiri daripada guru, wartawan dan penulis serta segelintir profesional atau karyawan.

Cinta mereka pada bahasa Melayu cukup ketara sehingga membawa penubuhan sebuah badan induk yang dipanggil Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (Majlis Pusat).

Menerusi Majlis Pusat, banyak isu orang Melayu seperti masa depan bahasa Melayu diketengahkan secara terbuka atau disampaikan secara langsung kepada pemerintah.

Misalnya, selepas Perkampungan Sastera pada 1973, tertinta ketetapan agar diadakan Hadiah Sastera demi merancakkan persuratan Melayu. Majlis Pusat telah diminta sebagai antara penganjurnya.

PERANAN MAJLIS PUSAT

Pada 1982, Majlis Pusat telah menghidupkan semula Bulan Bahasa. Seyogia, Bulan Bahasa yang terakhir diadakan ialah pada 1966. Terdapat tanggapan bahawa usaha Majlis Pusat bertindak sedemikian sebagai reaksi langsung terhadap Kempen Bertutur Bahasa Mandarin yang mendapat sokongan pemerintah.

Presiden Majlis Pusat yang kedua ketika itu, Haji Mohd Yusof Ahmad (1925-1995), menyatakan bahawa orang Melayu, terutama generasi mudanya, berdepan dengan masalah bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Namun ketahanan Majlis Pusat dari segi kewangan dan kepimpinannnya didapati melemah untuk meneruskan usaha mengadakan Hadiah Sastera dan Bulan Bahasa.

Menilai keadaan yang membimbangkan ini, Persatuan Wartawan Melayu Singapura pimpinan Saadon Ismail (1945-1987) telah menyarankan agar Jawatankuasa Bahasa Melayu (JBM), Kementerian Kebudayaan, mengambil alih dwikegiatan tadi daripada Majlis Pusat.

DIHIDUPKAN SEMULA

JBM ketika itu diterajui Hj Sidek Saniff, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan). Beliau telah meyakinkan pemerintah mengenai peri penting dwikegiatan tadi mendapat sokongan negara. Bulan Bahasa telah dihidupkan semula pada 1988. Ia kemudian diadakan berselang seli dengan Hadiah Sastera yang kemudian dikenali sebagai Anugerah Persuratan.

Seyogia, dasar pemerintah yang secara aktif dalam bidang bahasa dan budaya mulai menyerlah dalam akhir 1990 dan dipacu kuat selepas dibentangkan pelan Kebangkitan Kota Seni Singapura.

Peranan JBM (yang kemudian dikenali sebagai Majlis Bahasa Melayu sejak 1992) memang besar dalam memastikan kesinambungan bahasa Melayu di Singapura walaupun tumpuannya hanya pada masyarakat Melayu sahaja.

JBM tidak bertindak sendirian tetapi menampilkan strategi dengan menyatukan seluruh gerakan persuratan dari individu, persatuan sehingga jawatankuasa kegiatan Melayu di balai rakyat atau kelab masyarakat.

SESUDAH 30 TAHUN

Jika dihitung tempoh dari 1988 sehingga kini, memanglah Bulan Bahasa sudah berusia 30 tahun. Namun jika dijangkau lebih jauh sejak ia diadakan pada 1962, Bulan Bahasa sudah berusia 56 tahun.

Hari ini terdapat beberapa institusi yang memperjuangkan bahasa Melayu, selain Majlis Bahasa. Singapura bertuah mempunyai Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura, Unit Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang, dan Pusat Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan.

Bilangan ilmiawan setempat dalam bidang bahasa dan kebudayaan Melayu juga telah bertambah.

Kian ramai guru bahasa Melayu berkelulusan tinggi dari sarjana muda sehingga doktor falsafah. Tapi, apakah ini semua menandakan pengukuhan sebenar?

Singapura pernah melalui zaman ketika ia menjadi pusat cendekiawan, penerbitan dan gerakan kebangsaan Melayu, antara 1850 hingga 1960. Dari sinilah, lahir gerakan bersemangat untuk memajukan bahasa dan persuratan Melayu dalam mengisi visi hari muka.   

UKUR TARA KEJAYAAN

Faktor semangat inilah yang menjadi keprihatinan Dr Muhd Ariff Ahmad. Dalam wawancaranya yang diabadikan dalam buku ‘Yang Terukir’ (2015), beliau merakamkan rasa bimbang bahawa Bulan Bahasa kian mengarah kepada acara menghiburkan saja.

Ia semacam suasana perayaan tanpa kehadiran semangat sebenar dalam nurani masyarakat Melayu. Apakah nanti tanpa sokongan pemerintah, Bulan Bahasa dan kegiatan bahasa serta persuratan akan melemah?

Ukur tara kejayaan merekayasa bahasa Melayu perlu dinilai pada semangat dan visi generasi muda Melayu dalam mengukuhkan jati diri dan membina pencapaian yang mulia. 


MENGENAI PENULIS:

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

- BERITAmediacorp/nk

Top