Images
  • terpinggir
    Gambar fail (Gambar: TODAY)

KOMENTAR: Bukan sekadar stereotaip - bagaimana salah tanggapan kita terhadap orang lain boleh diatasi

Perspektif dominan di media massa dan wacana arus perdana biasanya menggambarkan isu-isu sosial sebagai masalah kegagalan atau kekurangan individu.

Naratif dominan yang dibentuk oleh sesetengah pihak terutama golongan elit seringkali meletakkan beban tanggungjawab ke atas golongan bawahan dan terpinggir, iaitu tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Individu-individu ini dan keluarga mereka dipandang sebagai “masyarakat bobrok”, atau “gejala sosial”, ataupun tidak, dipandang dengan rasa simpati.

Kita kurang mempersoalkan perspektif dominan ini kerana suara-suara mereka yang dipinggirkan ini tidak didengari.

AIB MASYARAKAT
Mereka malah disenyapkan kerana sesetengah pihak (biasanya dari kelompok elit yang berpelajaran) melihat mereka sebagai kegagalan atau aib masyarakat kita sendiri.

Ini disebabkan oleh proses sosio-politik yang membuat kita memandang masalah-masalah sosial sebagai sesuatu yang semulajadi atau inherent dalam sesebuah masyarakat.

Contohnya, sesetengah masyarakat akan dilabel dengan stereotaip sikap malas, atau dengan stereotaip masalah ketagihan arak.

Dan mungkin juga, statistik akan digunakan untuk menyokong stereotaip sedemikian. Namun, masalah-masalah ini sememangnya bukan sesuatu yang semulajadi, tetapi hasil daripada proses sejarah.

Lihat saja karya penting Almarhum Professor Syed Hussein Alatas, Mitos Peribumi Malas (1977), yang menyanggah stereotaip bahawa masyarakat peribumi itu bersifat malas bekerja.

REALITI SOSIAL
Justeru, sekiranya suara-suara dan perspektif mereka yang terpinggir (atau marjinal) tidak dipandang sebagai realiti sosial, bagaimanakah dapat kita memahami isu-isu sosial secara lebih bernuansa dan mendalam?

Kesannya, pemahaman kita tentang keadaan masyarakat sangat terasing daripada realiti kehidupan mereka dan dengan itu, kita tidak akan mampu memikirkan cara-cara yang lebih berkesan untuk menangani masalah sosial.

Sebagai contoh, kita lebih cenderung untuk menganggap bahawa isu-isu sosial seperti kemiskinan berpunca daripada masalah sikap malas atau kurangnya daya motivasi.

Atau mungkin, masalah pengambilan dadah dilihat sebagai masalah kurangnya pemahaman hukum agama.

Sama juga apabila kita memikirkan tentang wanita terpinggir yang bekerja sebagai pekerja seks - kita lebih cepat menghukum mereka sebagai manusia yang kurang bermoral, daripada cuba memahami keadaan mereka dengan rasa empati dan pemikiran yang kritis.

LENSA MORALITI
Kita lebih suka menghukum dan memandang isu-isu ini menerusi lensa moraliti yang sangat sempit.

Kita harus mengelakkan daripada sekadar memahami masalah sosial dari sudut moraliti, kerana kebanyakan masalah yang merundungi masyarakat bukan persoalan kekurangan pegangan moral dan agama semata-mata.

Kita harus bergerak ke arah pemahaman dari sudut struktur sosial, politik dan ekonomi dalam persoalan peminggiran/marjinalisasi sesetengah kelompok dalam masyarakat.


Malah, kita juga harus mempersoalkan peranan golongan elit dalam kegagalan mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah sedemikian.

MELAWAN STEREOTAIP
Atas sebab itulah kita perlu ketengahkan kisah-kisah dari golongan terpinggir.

Kita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai keistimewaan (privilege) lain harus mewujudkan ruang-ruang di mana golongan terpinggir dapat bersuara.

Mereka seharusnya bebas untuk mengekspresi diri, bukan diwakili pihak lain, seperti golongan elit yang berpelajaran dan berkedudukan dalam masyarakat.

Ini satu cara untuk melawan stereotaip dan statistik yang seringkali meremehkan pengalaman hidup golongan terpinggir, yang sememangnya lebih kompleks daripada itu.

Masyarakat terpinggir bukanlah sekadar statistik untuk mempamerkan indeks pencapaian atau dibandingkan dengan golongan yang berjaya dalam masyarakat.

Mereka juga bukanlah sekadar kisah sedih yang digunakan sebagai contoh tauladan untuk menarik simpati orang ramai.

Namun, tujuan utama kita mengetengahkan naratif mereka adalah untuk mempersoalkan struktur, hierarki dan ketimpangan dalam masyarakat.

DIPANDANG SERONG
Banyak kajian dalam bidang sains kemasyarakatan telah menunjukkan bahawa apabila kita lebih memahami keadaan hidup mereka yang berbeza dan kurang istimewa daripada kita, kita akan lebih mampu melawan prejudis yang sudah lama dipupuk dalam diri kita dan dalam masyarakat secara amnya.

Dalam hal ini, golongan yang dipinggirkan dipandang rendah atas dasar ras, sosio-ekonomi dan gender.

Dalam masyarakat kita sendiri, kita masih mengekalkan banyak prejudis terhadap golongan terpinggir, kerana mereka dipandang serong atau sebagai aib masyarakat.

(Gambar: TODAY)

Kita lebih mengutamakan menjaga sentimen aib dan keselesaan pihak majoriti daripada ingin membela golongan yang paling dipinggir dan ditindas.

Golongan seperti orang miskin, orang kurang upaya, dan orang transgender malah dianggap sebagai tidak kelihatan atau mungkin sahaja tidak dihiraukan langsung.

PENTING DIDENGARI
Dengan ini, jelaslah mengapa ia sangat penting bagi kita untuk mendengar dan memahami sudut pandangan dan pengalaman hidup golongan terpinggir.

Kita sudah banyak disuap dengan kisah-kisah kejayaan, yang biasanya menuruti bentuk naratif sebegini: seseorang itu datang dari keluarga miskin, dia bekerja keras, lalu akhirnya dia berjaya dan mencapai cita-citanya.

Di forum-forum awam, mereka yang sudah “berjaya” berkongsi rahsia kejayaan mereka, tanpa mengambil endah terhadap ‘hak-hak istimewa’ yang mereka ada.

Seringkali juga, kita dengar akan kisah wanita-wanita yang berjaya dalam kerjaya dan rumah tangga, tetapi mereka biasanya dari kalangan elit.

Kita seolah-olah percaya bahawa mereka berjaya hanya berkat daya usaha sendiri, tanpa faktor-faktor penentu lain seperti keadaan sosio-ekonomi dan sokongan keluarga yang stabil.

SIAPA YANG BERSUARA
Mereka yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya dianggap sebagai contoh, tetapi kita tidak pernah mempersoalkan mengapa ramai lagi dalam masyarakat kita yang masih terjerat dalam lingkaran kemiskinan.

Hanya mereka yang berjaya yang berhak untuk bersuara. Dan mereka ini jugalah yang akan bersuara bagi pihak terpinggir.

Atas sebab itu, kita juga sudah terbiasa dengan paparan kehidupan golongan terpinggir dalam kerangka naratif yang tertentu.

Mereka seringkali dipaparkan sebagai golongan yang bermasalah, ataupun tidak berupaya untuk mengubah haluan hidup.

Kita juga terbiasa dengan kisah-kisah di mana golongan terpinggir, seperti bekas banduan atau pengambil dadah, meluahkan keinginan untuk insaf dan berubah.

BUKAN SEKADAR SOAL NASIB
Bentuk naratif sedemikian bertujuan untuk mengajar kita, sebagai penonton, bahawa isu-isu sosial seperti jenayah, masalah kemiskinan dan kesihatan hanya sekadar isu kesilapan peribadi.

Pengalaman mereka dilihat sebagai kesilapan dalam pemilihan cara hidup, dan bukan persoalan struktur masyarakat yang kurang saksama.

Kita malah tidak mempersoalkan mengapa mereka yang biasanya dipenjarakan adalah dari golongan bawahan dan terpinggir.

Kisah-kisah begini juga bertujuan untuk dijadikan sebagai pengajaran moral bagi kita ‘kalangan penonton’, agar kita tidak memilih cara hidup sedemikian.

Mereka juga biasanya digambarkan sebagai golongan yang “kurang bernasib baik”, seolah-olah isu kemiskinan itu sekadar persoalan nasib, bukan sesuatu yang dapat diubah.

Naratif sebegini justeru tidak menghiraukan faktor-faktor sosio-ekonomi dan struktur masyarakat yang menghalang golongan terpinggir daripada memiliki haluan hidup yang lebih baik.

Malah, golongan ini sering diberitahu untuk bersikap tabah dan sabar dalam mengharungi cabaran hidup, kerana beban penderitaan itu dipandang dari sudut individu, bukan secara kolektif dan menyeluruh.

SUARA TERPINGGIR
Dalam hal ini, saya ingin mengetengahkan rangkuman kisah-kisah wanita dalam masyarakat Melayu/Islam dalam antologi cerpen “Perempuan: Muslim Women Speak Out” dan “Growing Up Perempuan” serta blog “Beyond the Hijab”.

(Gambar: Ethosbooks)

Di sini, suara-suara mereka yang dipinggir: wanita miskin, pekerja seks, wanita tua, ibu tunggal, remaja perempuan (yang dipandang nakal atau serong) – diangkat sebagai realiti kehidupan bermasyarakat yang bukan saja rencam, malah banyak dirundungi ketimpangan sosial dan ekonomi.

Wanita-wanita dari golongan ini juga lebih rentan terhadap pemangsaan menerusi keganasan fizikal, seksual dan emosi, di rumah dan juga di tempat kerja.

Ada juga yang menceritakan tentang pengalaman diskriminasi dan rasisme, malah ada juga dipandang serong atas dasar seksualiti.

Dalam lingkungan masyarakat Singapura di mana suara-suara wanita minoriti kurang didengari, kisah-kisah ini yang secara umumnya dikarang dalam Bahasa Inggeris bertujuan untuk memupuk pemahaman dari masyarakat bukan Melayu/Islam juga sebagai isu-isu yang universal bagi wanita.

SECARA LEBIH JUJUR
Kisah-kisah sebegini bukan cerita-cerita kosong semata-mata. Ia menunjukkan bahawa wanita Melayu/Islam bukan saja stereotaip atau cerminan statistik terhadap gejala sosial – perceraian, kehamilan remaja, kemiskinan dan sebagainya – tetapi mereka melawan prejudis dan prasangka dalam wacana umum.

Tema-tema yang sering dianggap sebagai tabu dan justeru tidak boleh dibincang di khalayak awam, seperti isu seksualiti, kesihatan mental dan keganasan rumahtangga, diterima sebagai realiti dan bukan sesuatu yang harus disembunyikan.

Dengan keberanian untuk berdepan dengan realiti kehidupan wanita Melayu/Islam di Singapura, kita akan mampu berdiskusi secara lebih jujur tentang isu-isu yang didepani masyarakat kita.

Malah, ramai wanita dalam masyarakat kita akan menjadi lebih berdaya untuk saling menyokong antara satu sama lain dan mendapatkan bantuan, seperti dalam masalah kesihatan mental dan penderaan fizikal atau seksual.

ISU KEMISKINAN
Satu lagi hasil karya yang mengetengahkan naratif dari golongan terpinggir ialah buku tulisan professor sosiologi NTU, Teo You Yenn, yang bertajuk “This is What Inequality Looks Like.”

(Gambar: Ethosbooks)

Karya ini telah menerima sambutan meluas kerana keberaniannya membincangkan golongan kurang berkemampuan di Singapura, bukan saja dari segi statistik.

Kesannya, masyarakat juga mempersoalkan masalah ketimpangan sosio-ekonomi di Singapura.

Kita tidak boleh membincangkan tentang isu kemiskinan tanpa mempersoalkan tentang ketidakadilan dan ketimpangan sosial dan ekonomi.

Isu kemiskinan bukan saja isu mereka yang hidup melarat, tetapi juga cerminan struktur masyarakat yang mempunyai jurang yang luas antara yang elit dan yang terpinggir.

Dalam hal ini, kemewahan dan keistimewaan lain masih didominasi oleh golongan atasan tanpa disalurkan ke golongan bawahan dan yang terpinggir.

BERDEPAN SECARA JUJUR
Kita harus bukan saja memberanikan diri untuk berdepan dengan realiti sosial secara jujur, tetapi juga untuk mewujudkan ruang-ruang bagi golongan terpinggir bersuara.

Mereka tidak perlu diwakili, apa lagi disenyapkan oleh golongan elit yang bertanggapan bahawa mereka lebih arif tentang perasaan dan pengalaman golongan terpinggir itu.

Pengalaman dan realiti sosial itu seharusnya dianggap sebagai ilmu penting untuk memupuk kearifan lokal, serta pemahaman terhadap masyarakat kita sendiri, apa lagi kalau ia tidak datang dari perspektif elit.

Dalam konteks masyarakat yang masih mengutamakan perspektif mereka yang lebih berpelajaran dan berkedudukan, kita mesti tidak melupakan kepentingan suara-suara di pinggiran demi mewujudkan keadilan dalam masyarakat.

Pemberdayaan bagi golongan terpinggir dapat berlaku apabila ruang dan wadah untuk ekspresi diri diadakan, agar mereka dapat dilihat dan didengari.

Mengenai Penulis:

Nurul Fadiah Johari aktif dalam organisasi tempatan yang memupuk kesetaraan gender. Tulisannya pernah diterbitkan dalam buku-buku hasil tempatan, seperti Perempuan: Muslim Women Speak Out (2016), Growing Up Perempuan (2018) dan Budi Kritik (2018), serta di blog Beyond The Hijab.  

- BERITAMediacorp/ur

Top