Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bagaimana kita boleh menghadapi usia bersara dengan minda yang positif

Kajian baru-baru ini melaporkan ramai di antara penduduk Singapura yang berusia 65 tahun boleh hidup sehingga ke usia 90-an tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bagaimana kita boleh menghadapi usia bersara dengan minda yang positif

Kajian baru-baru ini melaporkan ramai di antara penduduk Singapura yang berusia 65 tahun boleh hidup sehingga ke usia 90-an tahun. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Perlukah kita bimbang tentang persaraan memandangkan sebahagian besar daripada kita dijangka hidup lebih lama selepas bersara kelak? Dalam tulisan berikut, aktivis sosial Khalid Awang mengupas isu sensitif ini.

Kajian baru-baru ini melaporkan ramai di antara penduduk Singapura yang berusia 65 tahun boleh hidup sehingga ke usia 90-an tahun.

Dengan jangka hayat yang diramalkan semakin meningkat, sebahagian besar daripada kumpulan ini sudah mula berasa khuatir yang mereka akan menjadi beban kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mereka pada satu masa kelak.

Perasaan bimbang ini lebih dirasakan oleh golongan yang berpendapat bahawa mereka belum sempat atau kurang upaya untuk membuat persiapan dan ini menyebabkan mereka berasa tertekan mengenangkan masa depan serta taraf hidup mereka yang tidak menentu.

Patutlah kita sering dengar kaum senja mengeluh apabila istilah persaraan disebut dan sejak kebelakangan ini, lebih ramai daripada masyarakat muda pula yang sudah mula berpegang kepada kepercayaan yang persaraan itu adalah satu impian yang mustahil dicapai.

Mereka tegas dengan pendirian ini kerana telah banyak bertemu dengan warga emas yang masih bekerja untuk memenuhi keperluan seharian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sudah tidak hairanlah sekiranya kita menaiki kenderaan Grab atau teksi, di mana pemandunya seorang bekas pengurus syarikat atau bekas karyawan yang dulunya memegang jawatan atasan.

Malah, perkara ini sudah mula menjadi kebiasaan dan yang memelikkan pula, sebab mereka memilih tugas sambilan itu atau tugas persaraan itu adalah kerana mereka yakin hanya inilah yang mereka mampu menceburkan diri sebagai sumber mata pencarian mereka.

Ini kerana memandangkan usia mereka yang semakin lanjut dan kelayakan mereka yang tidak setanding dengan pesaing-pesaing lebih muda atau dengan bakat asing yang mereka percaya lebih berkebolehan tetapi lebih murah untuk digajikan.

Secara umum, apabila kita berbicara tentang persaraan kita membayangkan seorang yang meluangkan masa dengan cucu-cicit dan kehidupan sehari-hari melibatkan aktiviti-aktiviti yang pasif.

Kita menganggap yang setiap pesara itu sudah lapuk dek hujan dan lekang dek panas, seolah-olah sudah tidak mempunyai nilai untuk disumbangkan.

Masalahnya sesiapa yang dulunya amat aktif bekerja dan sentiasa menyumbangkan tenaga dan daya pemikiran, dengan perubahan yang mendadak untuk menjalani gaya hidup pasif, akan mula merasa kesan yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.

Ini akan menyebabkan mereka mula berasa kehilangan tujuan dan akan meragui harga diri mereka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka memerlukan bantuan wang jajan setiap bulan dari anak-anak mereka untuk menyara hidup mereka setelah bersara.

Akibat keresahan dan kebimbangan mereka untuk menghadapi masa tua mereka, ada di antara mereka yang menderita dalam diam keseorangan.

Yang masih bersama duduk dengan anak cucu mereka pula, kalau perasaan tertekan ini tidak ditangani, akan menjejas perhubungan mereka dengan ahli keluarga mereka.

Malangnya, ada juga yang mengambil keputusan yang amat dikesali.

Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)

Persiapan untuk persaraan harus dimulakan sejak hari pertama kita bekerja; itulah sebabnya pemerintah mewajibkan caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (atau lebih dikenali dengan CPF) dari awal lagi.

Perancangan awal yang akan mendatangkan kesan positif termasuk membuat keputusan untuk menentukan keperluan yang asas bagi memenuhi keperluan seharian, dan kehendak-kehendak lumayan yang boleh ditangguh atau dielakkan sama sekali.

Keputusan ini akan menjejas cara kita berbelanja, menabung dan melabur.

Persoalan sekiranya simpanan yang kita menabung setiap bulan melalui potongan gaji akan mencukupi untuk masa tua kita, jawapannya ia cukup sekiranya kita tidak menggunakan dana simpanan kita untuk membayar pinjaman membeli rumah.

Ini kerana setiap dana CPF kita yang disimpan dalam akaun biasa akan menerima keuntungan 2.6 peratus dan simpanan khas pula akan meraih keuntungan sekurang-kurangnya 4 peratus.

Kalau dicampur dana CPF kita setelah selama 30 tahun bekerja, jumlah pulang balik dalam dana CPF kita akan berlipat hampir dua kali ganda.

Disebabkan kebanyakan kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan wang simpanan CPF kita untuk membeli rumah, tidak dapat dinafikan yang kita perlu mengetepikan wang simpanan daripada pendapatan kita secara berkala untuk membina dana persaraan kita. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit kan?

Pakar-pakar motivasi dan jurulatih hayat atau ‘life coach’ sering menekankan peri pentingnya kita merangkul minda yang positif untuk kita mengatasi segala rasa bimbang dan ragu.

Amalan ini perlu terutama sekali ketika kita membuat rancangan untuk masa tua kita. Ini kerana berfikiran negatif akan menyempitkan pemikiran kita dan dengan secara langsung menghadkan perspektif kita terhadap pilihan-pilihan yang boleh kita terokai.

Jika kita renung dengan lebih mendalam lagi, isu-isu yang sering dikaitkan dengan persaraan, ia termasuk hal kewangan, kesihatan, kesejahteraan dan keperluan untuk kita merasa berupaya menyumbang sesuatu yang boleh kita banggakan.

Dengan minda yang positif terhadap persaraan, mungkin kita akan lebih bersedia untuk merombak dan mentafsirkan semula definisi persaraan kepada satu perkara yang lebih dinamik dan yang akan memanfaatkan si pesara dan sekitarnya.

Cabaran-cabaran yang menanti kita sebagai negara dengan masyarakat matang sebenarnya boleh kita atasi bersama dalam usaha perkongsian.

Di mana pemerintah mengkaji setiap aspek untuk mengadakan kemudahan-kemudahan infrastrutur terkini, peluang-peluang yang menggalakkan pembangunan dan dasar-dasar menyeluruh, masyarakat juga perlu bertanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah membangun bagi mempersiapkan diri sendiri untuk persaraan.

Persaraan bukanlah satu penyeksaan atau satu perkara yang perlu dikhuatiri.

Malah, ia adalah satu peringkat kehidupan di mana disebabkan pengalaman yang amat luas dan mendalam yang telah diperolehi, boleh dijadikan sebagai satu inspirasi buat diteladani masyarakat muda.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan