Images
  • woman rights
    (Gambar: AFP)

KOMENTAR: Azam 2019 - Gerakan wanita dan hak-hak asasi manusia

Apakah dengan tahun baru ini kita dapat meneruskan kesedaran tentang perlunya menghormati satu sama lain? Sudahkah kita di Singapura sebagai sebuah negara maju yang bertaraf Dunia Pertama mengamalkan sikap yang benar-benar menghormati hak orang lain? Inilah yang menjadi tumpuan pejuang hak asasi manusia, Saleemah Ismail, dalam tulisan berikut.

BERITAmediacorp: 2018 merupakan tahun di mana gerakan wanita mencuri tumpuan.

Dari kempen #MeToo demi menangani gangguan seksual di tempat-tempat kerja di merata dunia, sehinggalah Hadiah Nobel Keamanan yang dimenangi oleh individu-individu yang gigih berjuang menentang keganasan seksual ke atas mangsa perang, tahun 2018 sememangnya berkisar tentang perjuangan bagi hak-hak wanita.

Sedang kita menanam azam baru bagi tahun 2019, ayuh kita menyingkap dan merenung kembali sama ada terdapat sebarang pengajaran yang sudah diraih oleh kita sebagai sebuah masyarakat dan juga sebagai individu - baik lelaki mahupun wanita - daripada ulang tahun ke-70 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta gerakan penting #MeToo.

GERAKAN #METOO


(Gambar: AFP) 

Di negara-negara seperti Amerika Syarikat, China, India dan Jepun, gerakan #MeToo mencetuskan perbincangan antarabangsa mengenai gangguan dan serangan seksual.

Ini sekaligus memulakan proses penting iaitu memastikan lelaki-lelaki berpengaruh, yang menyalahgunakan kuasa mereka berdekad-dekad lamanya, dipertanggungjawabkan atas salah laku mereka.

Para aktivis yang memperjuangkan hak-hak wanita dan kesamaan jantina dari seluruh dunia bersuara untuk menyelar ketidaksamaan dan menyatukan masyarakat demi masa depan yang lebih baik untuk semua.

GANGGUAN SEKSUAL 


Cabaran terbesar global bagi menentang keganasan seksual kian rancak.
Dari segenap rantau, kaum wanita kini memahami kuasa media sosial yang boleh dimanfaatkan untuk mendedahkan keperitan dan bahaya yang dihadapi mereka.
Ini termasuk penggunaan hashtag #MeToo.

Gangguan seksual bukanlah suatu ganjaran atau perbuatan yang tidak dapat dielakkan; para mangsanya menuntut agar ia difahami sebagai satu bentuk keganasan dan penyalahgunaan kuasa.

Perlindungan yang diberikan kepada individu-individu berkuasa yang mempunyai hak istimewa kini dicabar oleh para mangsa, mereka yang terselamat dan para aktivis sosial, yang menyuarakan bahawa Masa Sudah Berakhir.

JUMLAH MENINGKAT 

Di Singapura, sejak gerakan #MeToo dimulakan, jumlah panggilan yang diterima Pusat Jagaan Mangsa Serangan Seksual oleh kumpulan yang memperjuangkan hak-hak wanita AWARE, daripada mereka yang terselamat, melonjak 79 peratus - dan hari ini, jumlah panggilan yang diterima kekal tinggi.
Jumlah kes cabul kehormatan yang diadukan kepada pihak berkuasa juga kian meningkat.

Antara bulan Januari dengan Jun 2018, sebanyak 832 kes dilaporkan, naik 147 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Daripada 832 kes itu, 105 daripadanya berlaku dalam pengangkutan awam, iaitu naik 43.8 peratus atau 32 kes.

Cawangan pusat-pusat hiburan juga mencatat kenaikan 17 kes cabul kehormatan - naik 37 peratus.

PEMIKIRAN KOLOT 

Kini semakin ramai wanita yang tampil membuat aduan berhubung kes cabul kehormatan, mendapatkan sokongan di pusat-pusat jagaan bagi mangsa serangan seksual dan berkongsi sendiri pengalaman ngeri mereka.

Ini semua mencerminkan bahawa kaum wanita dan kanak-kanak atau remaja perempuan di Singapura kini bangkit untuk menentang dan mencabar pemikiran kolot yang menyalahkan mangsa dan sebaliknya melepaskan pelakunya.

Lantaran itu, usaha-usaha segera dan teliti perlu dijalankan demi mewujudkan norma baru. Ini memerlukan:

• Pemahaman bahawa gangguan seksual adalah suatu ketidaksamaan jantina dari segi kuasa yang bertindan dengan dimensi-dimensi lain ketidaksamaan. Ini termasuk kaum dan etnik, usia, kekurangan upaya dan kecenderungan seksual; ia melanggar hak-hak asasi manusia;

• Hukuman-hukuman ke atas pelaku perlu segera, bersesuaian dan dimaklumkan kepada umum. Ini tidak mengira taraf atau pangkat mereka;

• Menyediakan sokongan buat orang-orang sekeliling yang campur tangan dalam sesuatu insiden (gangguan/serangan seksual). Ini termasuk memastikan keselamatan segera, antara lain;

• Mengakui bahawa gangguan seksual boleh datang dalam pelbagai bentuk dari pandangan sehingga rogol, memahami bahaya dan trauma yang boleh dihadapi mangsa serta mewujudkan campur tangan yang menyokong usaha memulih dan merubah. Usaha yang tertumpu kepada mangsa memerlukan hak-hak mereka ditetapkan.

SEMUA MANUSIA SAMA RATA 


(Gambar: AFP)

Tahun 2018 adalah tahun ke-70 sejak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengamalkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Singapura merupakan salah sebuah negara yang menandatanganinya.

Perkara 1: Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi martabat dan harga diri.

Perkara 5: Tiada orang yang boleh diseksa atau diperlakukan atau dihukum dengan kejam, tidak berperikemanusiaan atau dihina.

Setelah bertahun-tahun lamanya, sejauh manakah kita sudah pastikan komitmen kita kepada dunia, di mana hak-hak asasi manusia dan hak-hak wanita dengan diperkuatkan lagi oleh keadilan, perpaduan, keharmonian dan kemajuan untuk semua?

HAK ASASI MANUSIA 

Apabila kita memikirkan tentang seseorang yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia, seringkali kita mengaitkannya dengan para aktivis sosial yang menentang ketidakadilan di negara-negara di bawah pemerintahan kuku besi seperti Afghanistan yang dahulu dipimpin oleh Taliban.

Ataupun juga para pekerja bantuan yang bertugas di kem-kem pelarian seperti Zaatari UNHCR bagi para pelarian Syria atau Cox’s Bazaar bagi para pelarian Rohingya.

Para pelarian Rohingya merupakan mangsa penghapusan kaum. Mereka layak menerima sokongan kita dan para petugas yang menghulurkan bantuan di sana layak dikagumi.

Adakah ini bermakna kita, warga Singapura yang menetap di negara mewah dan maju bertaraf Dunia Pertama tidak perlu memperjuangkan hak-hak asasi manusia di negara kita?

Cuba kita teliti Perkara 1 dalam Piagam Hak-Hak Asasi Manusia.


TEGUHKAN KOMITMEN 

Sejauh mana sudah kita teguhkan kepercayaan dan komitmen kita bahawa semua manusia sama rata dari segi martabat dan harga diri?

Sejauh mana pula kita pastikan bahawa semua manusia di Singapura dilayan dengan harga diri dan penuh hormat?

Kita tidak perlu terbang jauh ke negara-negara berkonflik seperti Syria atau bekerja di kem-kem pelarian bagi Rohingya untuk memperjuangkan hak-hak asasi manusia.

Kita boleh memperjuangkannya dalam kehidupan yang mengesahkan Perkara 1 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia di sini, di Singapura.

Pertama, kita perlu membuang jauh tanggapan bahawa pekerja seperti pekerja pembersihan di tandas-tandas awam bertaraf rendah.

IKTIRAF SUMBANGAN

Sebaliknya kita mengiktiraf sumbangan besar mereka dalam kehidupan kita dan masyarakat kita.

Contohnya, mula bertegur sapa dengan para pekerja pembersihan di tandas-tandas awam apabila anda bersua muka dengan mereka.

Atau ucapkan terima kasih kepada pekerja pembersihan di pusat-pusat penjaja yang mengelap meja anda.

Para pekerja ‘berpangkat rendah’ di tandas-tandas awam, pusat-pusat penjaja, pembantu rumah dan pekerja asing sering tidak diendahkan oleh rakyat Singapura - seolah-olah mereka tidak wujud.

Bilakah kali terakhir kita melayan mereka dengan harga diri dan rasa hormat? Tidakkah mereka layak dilayan dengan harga diri dan rasa hormat?

Perkara 1 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menekankan tentang layanan penuh hormat dan dengan harga diri kepada semua manusia adalah kerana ia merupakan nilai-nilai asas interaksi kita sesama manusia.

MELAYAN PEKERJA ASING

Oleh itu, inilah peluang kita untuk memperjuangkan hak-hak asasi manusia di dalam rumah kita sendiri.

Ayuh teguhkan komitmen kita untuk memperjuangkan hak-hak asasi manusia, amalkan Perkara 1, khususnya, dengan melayan para pekerja “berpangkat rendah, yang sebelum ini seolah-olah tidak wujud” dengan hormat dan harga diri.

Melangkah ke tahun 2019, saya berharap kita meneruskan kesedaran dan pengajaran yang sudah kita perolehi daripada kuasa gerakan #MeToo dan ulang tahun ke-70 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Saya berharap dan berdoa agar setiap daripada kita melayan kanak-kanak perempuan, wanita dan para pekerja berpangkat rendah dengan harga diri dan rasa hormat.

Saya berharap dan berdoa kita hidup dengan mengamalkan Perkara 1 dalam Hak Asasi Manusia.

Mengenai Penulis:


Saleemah Ismail adalah seorang aktivis sosial yang giat memperjuangkan kesamaan jantina, kepelbagaian dan sikap inklusif. Beliau pernah berkhidmat di UN Women, sebuah badan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegakkan hak-hak wanita. Beliau juga adalah wanita Melayu/Islam pertama yang menyandang jawatan Presiden Jawatankuasa Nasional bagi UNIFEM yang kini dinamakan sebagai UN Women.

- BERITAmediacorp/na

Top