Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Zaqy: Model Gaji Progresif bantu pekerja secara lebih menyeluruh, bukan gaji saja

Bayangkan, anda kurangkan 'over-time' tetapi gaji anda lebih tinggi dan anda ada lebih banyak masa bermutu dengan keluarga. Itulah antara kelebihan Model Gaji Progresif (PWM), kata Menteri Negara Kanan MOM, Zaqy Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penerapan Model Gaji Progresif (PWM) bagi golongan pekerja bergaji rendah, bukan soal gaji sahaja, tetapi ia juga membantu pekerja berkenaan secara lebih menyeluruh.

Misalnya, ia memastikan pekerja di bawah PWM akan mendapat lebih banyak masa bersama keluarga, dan mendapat gaji yang sama walaupun kurang kerja 'over-time' (lembur).

Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia (MOM) Zaqy Mohamad berhubung manfaat PWM.

Dalam ucapan beliau di Parlimen bagi membahaskan peruntukan Kementerian Tenaga Manusia baru-baru ini, Encik Zaqy berkata pihaknya sedang mengkaji untuk menyertakan lebih banyak sektor pekerjaan di bawah Model Gaji Progresif (PWM).

Sejak diperkenalkan hampir sedekad lalu, sektor-sektor bergaji rendah seperti pekerja pembersihan, keselamatan, landskap dan teknisyen lif sudahpun meraih manfaatnya, kata Encik Zaqy.

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp pasca sesi parlimen itu, Encik Zaqy menegaskan lagi bahawa "amat penting" amalan PWM terus diluaskan kerana banyak manfaatnya.

KURANG KERJA LEMBUR TAPI GAJI LEBIH TINGGI

Beliau menjelaskan, enam tahun lalu pekerja sektor keselamatan terpaksa bekerja lembur sehingga 95 jam sebulan bagi membawa pulang $1,800.

Namun dengan PWM, pekerja berkenaan kini membawa pulang sekitar $2,300 sebulan.

Bukan itu sahaja, dia juga bekerja lembur sekitar 72 jam sahaja sebulan tetapi membawa pulang gaji lebih tinggi.

Selain faktor gaji, mutu kehidupan pekerja berkenaan juga menjadi lebih baik kerana tidak perlu banyak bekerja lembur. Jika dicongak, 23 jam kerja lembur yang 'dijimatkan' itu (95 jam tolak 72 jam) bersamaan dengan tambahan dua hari rehat.

Ini bermakna si pekerja mempunyai lebih banyak masa untuk rehat atau menikmati lebih banyak masa dengan keluarga.

Secara keseluruhannya, pekerja tersebut juga lebih relevan dan berkualiti kerana PWM memastikan mereka sudah dilatih untuk lebih produktif dan mempunyai lebih banyak kemahiran.

Kini para pekerja sektor runcit dan perkhidmatan makanan juga akan mendapat manfaat seperti ini.

"Jadi sektor-sektor seperti sektor perkhidmatan makanan misalnya khidmat F&B, dan juga sektor runcit adalah penting di mana kita juga melihat ramai antara pekerja mereka saya rasa hampir 45 peratus adalah pekerja-pekerja bergaji rendah.

"Di sini pentinglah di mana kita terus menyokong dan membantu pekerja rendah kita supaya mereka bukan sahaja mendapat gaji lebih tinggi tapi lebih berkemahiran dan boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik," ujar Encik Zaqy.

Langkah ini bermakna lebih 80,000 pekerja bergaji rendah dalam sektor runcit dan F&B akan berada di bawah PWM dalam masa dua hingga tiga tahun mendatang.

Jadi, secara keseluruhannya PWM bakal merangkumi sehingga 218,000 pekerja bergaji rendah.

Pada jangka panjang, MOM berhasrat memperluaskan PWM kepada semua bidang pekerjaan bagi meningkatkan taraf dan kehidupan para pekerja. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan