Images
  • dyson
    Dyson akan batalkan projek kereta. (Gambar: Dyson)

Visi pengangkutan mesra alam S’pura boleh terjejas akibat pembatalan projek kereta elektrik Dyson

SINGAPURA: Keputusan pengilang perkakas rumah, Dyson, yang memutuskan untuk membatalkan projek kereta elektriknya di Singapura disebabkan oleh kekurangan daya maju komersil boleh menjejas wawasan Singapura untuk melaksanakan sistem bermotor lebih bersih. Demikian menurut pengamatan para pakar.

Mereka menyatakan bahawa meraih keuntungan dalam industri kenderaan elektrik (EV) adalah sukar sekalipun untuk pemain besar seperti Tesla dan menggambarkan bahawa Dyson mungkin menghadapi halangan untuk menyediakan rangkaian stesen pengecasan di Singapura - sesuatu yang diperlukan dalam projek berkenaan.

Langkah Dyson itu, diumumkan pada Khamis (10 Okt), kurang setahun selepas syarikat teknologi Britain itu mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan projek automotifnya yang bercita-cita tinggi. Ia sejajar dengan usaha Singapura untuk mewujudkan bandar yang lebih hijau dan mampan.

Pada Mei lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pelan induknya untuk 20 tahun akan datang, meliputi peralihan ke sebuah sistem pengangkutan lebih bersih termasuk EV. Ia juga menarik perhatian bahawa bas dan teksi sudahpun berada di landasan yang betul untuk menyediakan kenderaan lebih mesra alam menjelang 2040.

Pemerhati industri Oo Gin Lee berkata projek Dyson boleh menjadi "pemangkin untuk Singapura membina keupayaannya sebagai hab bagi kereta berteknologi tinggi".

"Tetapi, dengan Dyson menarik diri awal, saya rasa kesannya terhadap Singapura adalah minimum," tambahnya.

Encik Oo berkata bahawa bukan mudah untuk Dyson beralih dari mengeluarkan pembersih vakum dan pengering rambut kepada membuat kereta, sama ada jenis elektrik atau sebaliknya "kerana mereka tidak mempunyai pengalaman sebelum ini".

Beliau menambah walaupun syarikat berkenaan boleh membina sebuah prototaip yang berfungsi, masih ada cabaran untuk menghasilkan EV pada harga yang berdaya saing.

Setuju dengan pandangan itu, pakar pengangkutan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Terence Fan berkata prasarana yang diperlukan di Singapura juga mungkin menjadi satu faktor.

"Tidak ramai warga Singapura tinggal di rumah yang mempunyai garaj jadi ia bermakna Dyson perlu memikirkan jalan untuk memasang tempat pengecasan di tempat letak kereta awam dan ia akan memerlukan banyak sumber," ulas Dr Fan.

Dalam satu kenyataan kepada TODAY, Penolong Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Tan Kong Hwee, berkata bahawa gangguan pada operasi dan tenaga kerja Dyson di Singapura adalah minimum kerana keputusan untuk membatalkan projek tersebut dibuat di peringkat awal.

Apabila ditanya sama ada EDB mempunyai perjanjian kontrak dengan Dyson yang mungkin menjejas insentif Dyson seperti pelepasan cukai dan geran, beliau berkata insentif itu "terikat dengan syarikat berkenaan yang menyedari komitmennya untuk melaksanakan kegiatan ekonomi tertentu di Singapura". 

- TODAYonline/FZ/fz

Top