Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus Wuhan: Peniaga Kampong Gelam akur jumlah pelancong kurang daripada biasa

Menurut beberapa peniaga Kampung Gelam yang ditemui BERITAmediacorp, jumlah pelancong yang berkurangan itu terutama sekali boleh dilihat sejak awal minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiap kali musim cuti Tahun Baru Cina, rombongan pelancong dari China akan datang berbondong-bondong ke Kampung Gelam untuk memborong cenderahati dan bersiar-siar.

Namun, lain pula suasananya tahun ini.

Jangkitan pertama virus korona Wuhan dikesan di Singapura pada 23 Januari. Seminggu kemudian, sebahagian peniaga di daerah Kampung Gelam dapat melihat bahawa jumlah pelancong dari China agak berkurangan daripada biasa.

Menurut beberapa peniaga Kampung Gelam yang ditemui BERITAmediacorp pada Rabu (29 Jan) dan Khamis (30 Jan), jumlah pelancong yang berkurangan itu terutama sekali boleh dilihat sejak awal minggu ini.

Salah seorang pemilik kedai runcit yang terletak bertentangan Masjid Sultan berkata, pada Tahun Baru Cina, rakyat China lazimnya bercuti sehingga dua minggu.

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Lantaran itu ramai dalam kalangan mereka memilih untuk bercuti ke luar negara dan Singapura menjadi salah satu destinasi pilihan mereka. Pada tahun 2018, sekitar 3.42 juta pelancong China melawat Singapura, iaitu kumpulan terbesar di kalangan pelancong asing.

"(Biasanya) apabila mereka datang, mereka datang dalam rombongan-rombongan yang besar. Tapi sekarang saya lihat jumlahnya tidak begitu besar. Kalau mereka datang sekalipun, mereka tidak berbelanja. Ketua rombongan bawa mereka lalu sahaja," kata pemilik kedai cenderahati, Habib's Crafts, Cik Sabiamma.

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kedai Cik Sabiamma adalah antara lima hingga enam kedai yang menjual cenderamata Singapura seperti kancing kunci (keychain) dan kemeja-T, yang biasanya diborong para pelancong.

Maka, perniagaannya amat bergantung kepada kuasa membeli para pelancong.

"Sebelum ini masih OK menjelang Tahun Baru Cina (pada minggu lalu). Jadi kami pun tambahkan bekalan barangan jualan. Tapi sekarang, semuanya masih ada, tidak terjual," luah beliau.

Pemilik bersama restoran Padi@Bussorah, Adam Malikh, pula menganggarkan jumlah pelancong di kawasan itu merosot "mungkin dalam 30 peratus".

"Sejak kebelakangan ini kita nampaklah ada penurunan sedikit. Mungkin kekhuatiran (terhadap virus Wuhan) antara pelancong," jelas Encik Malikh.

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BUKAN PELANCONG CHINA SAHAJA...

Malah, pengunjung dalam kalangan penduduk Singapura sendiri agak kurang daripada biasa.

Kata Encik Malikh, jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu, setiap kali musim perayaan Tahun Baru Cina, pasti ada kumpulan-kumpulan pekerja korporat yang akan mengadakan jamuan bagi meraikannya bersama-sama.

"Macam pekerja-pekerja bangsa asing ini atau Cina mereka akan raikan (dengan) rakan sekerja. Kemudian mereka akan cari tempat-tempat halal. Tapi kali ini tak ada. Kita tak nampak ramai orang buat sedemikian. Mungkin sebab virus Wuhan," tambah Encik Malikh.

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Para peniaga yang ditemui BERITAmediacorp juga berkata, bukan sahaja jumlah pelancong dari China tetapi juga dari negara-negara jiran, iaitu Malaysia dan Indonesia, dilihat berkurangan.

"Selain China, (pelancong) Malaysia dan Indonesia sering datang ke sini. Namun disebabkan virus ini mereka pun tidak datang," kata Encik Inayathullah dari kedai Fahemas Trading, yang juga menjual cenderahati Singapura serta aksesori-aksesori telefon bimbit.

Beliau mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa jika sebelum ini perniagaannya boleh meraih keuntungan kira-kira 60 peratus daripada para pelancong, sejak dua tiga hari ini, beliau hanya meraih sekitar 20 peratus sahaja.

"Selalunya pada Tahun Baru Cina, pelancong China datang. Tapi disebabkan virus Wuhan, sejak beberapa hari ini hasil penjualan kami berkurangan," kata Encik Inayathullah.

Cik Sabiamma pula berkata: "Kami juga ada pelancong dari Malaysia dan Indonesia. Tetapi disebabkan virus ini semuanya takut untuk keluar. Jadi kami akan terjejas sekiranya keadaan bertambah teruk."

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BIMBANG KALAU RAKYAT S'PURA ENGGAN KELUAR

Selain itu, jumlah rakyat Singapura yang bersiar-siar dan membeli-belah di Kampung Gelam juga dilihat terjejas.

"Pelanggan tempatan juga kita nampak penurunan. Mungkin mereka khuatirkan virus ini akan menjejas kesihatan mereka," ujar Encik Malikh.

Namun demikian, tidak semua peniaga menyuarakan sentimen muram. Pemilik kedai kek Julie Bakes, Julianah Jahayer, memberitahu BERITAmediacorp, buat masa ini beliau merasakan keadaan masih baik.

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pelancong asing di daerah Kampung Gelam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Yang menjadi kebimbangannya adalah sekiranya penduduk setempat enggan keluar disebabkan penularan virus Wuhan itu.

"Kita khuatirlah ini akan menjejas kita punya penduduk tempatan. Pasal mereka selalu ke sini dengan keluarga pada hujung minggu untuk makan-makan. Jadi dengan adanya virus ini, kita khuatir (jumlahnya) akan berkurangan. Sedikitlah orang yang akan keluar rumah (nanti)," kata Cik Julianah.

Secara dasarnya, para peniaga dilihat masih bersikap optimis. Mentelah lagi, penularan virus korona Wuhan setakat ini tidak seburuk wabak SARS yang melanda antara tahun 2002 dengan 2003.

Namun, jauh di sudut hati mereka masih ada terdetik rasa bimbang jika virus korona Wuhan terus menular.

"Sekarang masih OK. Tapi jika ia bertambah buruk seperti SARS, kami pasti akan terjejas. Saya harap virus korona ini tidak merebak sehingga menjadi seperti SARS," ujar Cik Sabiamma.

"Sekiranya kalau terjadi wabak global, kami dapat rasakan bahawa mungkin perniagaan akan terjejas, mungkin lebih teruklah. Kerana kalau awak perhatikan, sekarang pelancong-pelancong ramai daripada negara China," kata Encik Malikh.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan