Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Virus Wuhan: Penganjur Pertunjukan Udara S'pura 2020 jangka jumlah peserta pameran, pengunjung akan berkurangan

Pertunjukan Udara Singapura tahun ini menjangkakan jumlah peserta dan pengunjung yang berkurangan, sedang Singapura menguatkuasakan langkah-langkah lebih ketat bagi mengekang penularan virus korona yang membawa maut, menurut pihak penganjur.

Anggaran Waktu Membaca:
Virus Wuhan: Penganjur Pertunjukan Udara S'pura 2020 jangka jumlah peserta pameran, pengunjung akan berkurangan

Orang ramai di Pertunjukan Udara Singapura 2018. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 01 Feb 2020 12:20PM Dikemas Kini : 01 Feb 2020 12:22PM

SINGAPURA: Pertunjukan Udara Singapura tahun ini menjangkakan jumlah peserta dan pengunjung yang berkurangan, sedang Singapura menguatkuasakan langkah-langkah lebih ketat bagi mengekang penularan virus korona yang membawa maut, menurut pihak penganjur.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Experia Events menyatakan acara itu akan diteruskan seperti yang dirancangkan dari 11 hingga 16 Feb dengan langkah-langkah tambahan dilaksanakan.

"Sedang kami terus memantau keadaan, langkah-langkah sedia ada yang diperluaskan pasti akan menyaksikan kemerosotan dari segi jumlah peserta dan pengunjung yang dijangkakan tahun ini," menurutnya pada Jumaat (31 Jan).

"Sepanjang tempoh ini, kami akan berusaha untuk memastikan pihak-pihak yang relevan akan mendapat sokongan dan diberi jaminan yang sewajarnya, dan terus bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah yang dipertingkatkan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa."

Ini menyusuli pengumuman Pemerintah pada Jumaat (31 Jan) bahawa para pengunjung tidak kira kerakyatan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China tidak akan dibenarkan memasuki atau melakukan persinggahan di Singapura.

Sebelum ini, hanya mereka dengan sejarah perjalanan ke wilayah Hubei tertakluk di bawah sekatan itu.

"Sejajar dengan pengumuman Kementerian Kesihatan... Experia Events akan memaklumkan para peserta dan pengunjung kami tentang langkah-langkah yang diperluaskan itu," menurutnya lagi.

"Kesejahteraan para pengunjung Pertunjukan Udara Singapura 2020 menjadi keutamaan kami, kami menggesa para pengunjung yang kurang sihat supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dan tidak mengunjungi acara itu demi kebaikan pengunjung yang lain."

Pihak penganjur acara sebelum ini menyatakan dalam satu makluman bahawa ia akan memperbaiki protokol pembersihan dan pengurusan sisa bagi memastikan "piawai kebersihan di tahap yang tinggi" di acara tersebut, sambil menambah para doktor dan pasukan perubatan sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk merawat pengunjung yang tidak sihat.

Pertunjukan Udara Singapura yang diadakan setiap dua tahun, dilihat ramai sebagai pameran aeroangkasa dan pertahanan yang terbesar di Asia.

Acara itu berjaya memikat seramai 80,000 pengunjung dalam tempoh satu hujung minggu pada 2018 termasuk 54,000 wakil perdagangan daripada 147 negara dan wilayah.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan