Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Usahawan tempatan raih manfaat kerjasama dewan perniagaan etnik

Sumbangan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perusahaan etnik Melayu, Cina dan India penting dalam penggubalan dasar lebih baik bagi manfaat para usahawan tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Nov 2018 09:39PM Dikemas Kini : 11 Nov 2018 09:49PM

SINGAPURA: Sumbangan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perusahaan etnik Melayu, Cina dan India penting dalam penggubalan dasar lebih baik bagi manfaat para usahawan tempatan.

Inilah yang ditekankan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Malam Silang Dewan Perniagaan sempena Pesta Makanan dan Fesyen anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) di Taman East Coast semalam (10 Nov).

Pertunjukan fesyen berkonsep couture yang disulami hidangan menarik, bertemankan angin di tepi pantai - inilah suasana santai yang dinikmati sekitar 250 orang yang hadir di Pesta Makanan dan Fesyen DPPMS pada Sabtu malam (10 Nov).

Pesta itu juga diadakan sempena Malam Silang Dewan Perniagaan anjuran DPPMS yang menghimpunkan para anggota tiga dewan perniagaan etnik utama di Singapura.

Jamuri Busori, pemilik kafe I am... dan & Why, yang mempunyai dua gerai di pesta itu mengalu-alukan acara berbilang kaum seumpama ini.

"Acara sebegini sebenarnya memperluaskan rangkaian kerja untuk kami berinteraksi dengan perniagaan-perniagaan yang lain kerana saya juga ingin memperluaskan perniagaan saya di luar negeri. Dengan cara begini, kami ada banyak kenalan," kata Encik Jamuri.

Kerja keras para peniaga di pesta itu, kata Encik Chan, memberi harapan kepada budaya perniagaan yang bersemangat dan bertenaga di Singapura.

Bagaimanapun, Encik Chan menekankan itu tidak mungkin terhasil tanpa wujudnya kerjasama dewan-dewan perniagaan dalam memacu bidang perusahaan tempatan.

"Tidak kira betapa baiknya dasar kami, tidak kira seberapa banyak kita cuba untuk merancang di peringkat pemerintah, tanpa adanya dewan dan persatuan perniagaan, mustahil bagi kami mendampingi semua usahawan dan syarikat di Singapura. Dan saya selalu mengingatkan diri saya, tidak kira apa yang saya lakukan, ia bagi anda dan juga bersama anda," kata Encik Chan.

Melahirkan rasa besar hatinya, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli turut mengalu-alukan kerjasama tiga dewan itu bagi menyokong satu sama lain dalam usaha mengembangkan perniagaan menjangkau perairan Singapura.

Encik Masagos, yang juga Penasihat Kehormat DPPMS, menarik perhatian peluang kolaborasi yang dapat dimanfaatkan usahawan bagi membina jalinan di luar masyarakat budaya dan kelompok perniagaan masing-masing.

Sesi rangkaian kerja sempena Pesta Makanan dan Fesyen DPPMS itu pertama kali menawarkan pengalaman unik di luar seumpama ini.

Selain makanan dan fesyen, para hadirin juga berpeluang mencuba permainan tradisional Melayu seperti congkak dan batu seremban.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan