Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Urus niaga pengendali simpanan barangan peribadi rancak tatkala COVID-19

Penyedia khidmat penyimpanan kendiri menyaksikan lonjakan pada permintaan akibat pandemik COVID-19, dengan sesetengah syarikat sudahpun memperluaskan operasi masing-masing di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga pengendali simpanan barangan peribadi rancak tatkala COVID-19

StorHub Self Storage membuka dua kemudahan di Singapura pada tahun 2021 dan merancang untuk melancarkan lagi dua kemudahan pada awal 2022. (Gambar: StorHub Self Storage)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 09:54AM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 09:59AM

SINGAPURA: Penyedia khidmat penyimpanan kendiri menyaksikan lonjakan pada permintaan akibat pandemik COVID-19, dengan sesetengah syarikat sudahpun memperluaskan operasi masing-masing di Singapura.

Pertanyaan dan kadar penyewaan bagi ruang-ruang itu, yang disewa orang ramai serta para peniaga untuk menyimpan barang-barangan peribadi atau inventori, melambung tinggi, lima penyedia memberitahu Mediacorp.

Semakin ramai orang menyedari mereka memerlukan ruang tambahan di rumah untuk bekerja dari rumah dan bagi hobi baru, menurut para penyedia.

Permintaan juga meningkat daripada perniagaan yang memikirkan semula ruang pejabat atau menyimpan stok barangan untuk bersiap sedia menghadapi gangguan pada rantaian bekalan.

Sungguhpun demikian, permintaan merosot sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan di Singapura tahun lalu. Ketua Eksekutif Lock+Store Helen Ng berkata permintaan menjunam 90 peratus antara April dengan Jun tahun lalu.

Namun, perniagaan kembali rancak tidak lama setelah negara keluar daripada penguatkuasaan tempoh tersebut. Sedari itu, pertanyaan daripada individu meningkat sebanyak 30 peratus dan sebanyak 20 peratus bagi perniagaan. Sepertiga daripada individu tersebut dan separuh daripada perniagaan akhirnya menyewa ruang penyimpanan, kata Cik Ng.

Lock+Store, yang mempunyai 12 kemudahan di seluruh Singapura, sudah memperluaskan kapasitinya di tiga lokasi popular.

StorHub Self Storage, iaitu pengendali pertama seumpamanya di Singapura pada 2003, menyatakan penjualannya naik lebih 35 peratus sejak awal 2020. Ini di samping lonjakan 110 peratus pada jumlah pertanyaan. Tahun ini, ia membuka dua lokasi baru, menjadikan jumlah kemudahannya di Singapura sebanyak 13.

COVID-19 sudah "mengubah corak permainan", kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapura syarikat itu, Luigi La Tona. "Dahulu orang ramai menganggap penyimpanan kendiri sebagai sesuatu yang baik untuk ada. Kini ia sesuatu yang perlu ada."

Work+Store, yang melancarkan kemudahan penyimpanan ke-10 di Singapura pada Ogos, menyatakan kadar penyewaan oleh individu dan perniagaan masing-masing naik sebanyak 10 peratus dan 50 peratus berbanding sewaktu sebelum pandemik.

Bagi Extra Space Asia, pertanyaan dan kadar penyewaan meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus sejak awal tahun lalu, dengan permintaan daripada perniagaan "sedikit lebih tinggi". Jumlah kadar penyewaan di kesemua 11 lokasinya kini 93 peratus, naik dari 87 peratus pada 2019 sebelum COVID-19 melanda.

"Pandemik tidak menjejas perniagaan kami kerana penyimpanan adalah penting buat ramai orang, baik untuk kegunaan peribadi mahupun perniagaan, walaupun alasan bagi memerlukan khidmat penyimpanan sudah berubah sedikit," kata Ketua Eksekutif Kenneth Worsdale.

APA YANG PACU PERMINTAAN?

Ruang penyimpanan kendiri sudahpun meraih kepopularan disebabkan pelbagai faktor seperti kekurangan ruang di rumah lebih kecil, menurut para pemain industri. Namun, peralihan ke bekerja dari rumah mendorong lebih ramai orang untuk mendapatkan ruang penyimpanan tambahan bagi menyimpan perabot besar serta barangan yang tidak digunakan seperti bagasi.

Orang ramai juga mengosongkan sebahagian rumah mereka untuk memberi ruang kepada hobi baru tatkala pandemik - menyimpan peralatan memasak dan membakar pencuci mulut, basikal serta kayu golf - kata Encik La Tona. Beliau menambah StorHub menyaksikan lonjakan permintaan hampir 200 peratus bagi kemudahan penyimpanan wainnya.

Terdapat juga permintaan yang stabil daripada pemilik rumah yang terjejas oleh kelengahan pada kerja-kerja ubah elok dan penyiapan projek perumahan baru atau BTO. Beberapa warga asing yang melawat negara asal mereka dan mendapati mereka tidak dapat kembali ke Singapura kerana perubahan sekatan sempadan juga beralih ke ruang simpanan kendiri.

Bagi pengguna perniagaan, permintaan timbul daripada gabungan beberapa sebab seperti syarikat terpaksa mengubah saiz untuk menangani ketidaktentuan yang berkaitan dengan pandemik serta pertumbuhan yang pesat dalam bidang e-dagang.

Para penyedia khidmat penyimpanan menyatakan perniagaan, terutamanya perusahaan baru dan kecil, terpikat dengan tawarannya yang menyediakan pelbagai kawasan penyimpanan pada harga rendah, tempoh sewa fleksibel sesingkat sebulan serta akses 24 jam seminggu. Ini berbanding gudang yang hanya menawarkan ruang tetap dan kontrak sewa lebih lama.

Ancaman kepada rantaian bekalan sedunia juga menggesa banyak perniagaan untuk menyimpan stok jauh lebih awal menjelang musim perayaan hujung tahun. Ia juga berpaling kepada penyedia khidmat penyimpanan kendiri kerana kelonggaran serta tempoh sewa jangka pendek yang ditawarkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Work+Store Danny Wong.

Turut memerlukan pilihan penyimpanan adalah perniagaan yang terpaksa mengecilkan saiz atau gulung tikar di tengah-tengah pandemik.

“Para penyimpan ini lazimnya tidak dapat melupuskan aset mereka dan tidak mahu membuangnya, dengan harapan mereka mungkin boleh memulakan semula perniagaan sebaik sahaja ada lebih banyak ketentuan pada masa depan ekonomi," ungkap Encik Worsdale.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan