Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Urus niaga flat jualan semula pada Mei tertinggi dalam 9 bulan

Sebanyak 2,075 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada bulan Mei - naik sekitar 15% berbanding Mei tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 2,075 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada bulan Mei - naik sekitar 15% berbanding Mei tahun lalu.

Jumlah itu juga adalah yang tertinggi bagi flat jualan semula dalam tempoh sembilan bulan sejak Ogos tahun lalu.

Pengamat pasaran yang ditemui BERITAmediacorp menyatakan bahawa perkembangan itu sebahagiannya didorong oleh langkah pemerintah sebulan lalu yang menjadikan peraturan penggunaan CPF dan pinjaman perumahan HDB lebih fleksibel.

Di bawah perubahan yang diumumkan pada 9 Mei, pembeli boleh menggunakan lebih banyak wang CPF dan juga mendapatkan pinjaman HDB sehingga 90 peratus.

Ini jikalau campuran usia pembeli termuda dan baki tempoh pajakan rumah yang ingin dibeli, mencecah 95 tahun dan ke atas.

Misalannya jika pembeli berusia 35 tahun dan baki tempoh pajakan flat adalah 60 tahun, pembeli dapat menikmati manfaat daripada perubahan berkenaan dan tidak perlu mengeluarkan banyak wang tunai untuk membeli rumah.

BAWA MANFAAT KEPADA PEMBELI LEBIH TUA & PEMILIK FLAT LAMA

Pengurus Pemasaran ERA Realty Network Encik Mohd Hidzir Mohd Ismail, berpendapat bahawa peraturan baru ini mungkin meningkatkan jumlah urus niaga flat-flat jualan semula.

Ini kerana menurutnya perubahan tersebut memanfaatkan golongan pembeli berusia 40 tahun ke atas.

Selain golongan tersebut, perubahan itu juga dapat memanfaatkan para pemilik flat lama, yang mungkin sebelum ini sukar mencari pembeli.

"Mereka tidak perlu risau yang rumah mereka susah untuk dijual jika rumah mereka telah matang. Ia juga dapat menahan harga rumah-rumah lama daripada merosot dengan pantas.

"Dalam jangka masa 5-10 tahun, rumah-rumah lama ini akan dapat bertahan dan bersaing dengan rumah-rumah baru," kata Encik Hidzir.

RAPATKAN JURANG ANTARA PEMBELI & PEMILIK

Pengarah Bersekutu Kumpulan PropNex Cik Raudha Mustafar turut berkongsi bahawa sejak peraturan CPF dan pinjaman HDB lebih fleksibel itu diperkenalkan, beliau kini menyaksikan lebih banyak minat dan pertanyaan tentang flat-flat lama dalam kalangan pembeli rumah.

Ini secara langsung memberikan lebih banyak pilihan kepada para pembeli semasa melakukan perancangan masa depan mereka, terutama sekali kepada para pembeli yang bukan membeli rumah untuk pelaburan.

Lantaran itu Cik Raudha berasa, perubahan yang diperkenalkan pemerintah itu mampu merubah tanggapan masyarakat terhadap flat-flat lama.

Sebagai contoh, golongan pembeli akan lebih menghargai rumah-rumah lama terutama sekali yang terletak di estet-estet matang.

"Saya rasa perubahan ini akan merapatkan jarak antara pembeli dan penjual kerana sebelum ini pembeli hanya beranggapan bahawa rumah ini sudah tua saya tidak boleh beli atau penjual beranggapan rumah ini sudah tua saya harus jual harga murah tetapi dengan konsep-konsep baru ini dua-dua pihak akan meraih manfaat," kongsinya.

Disebabkan itu jugalah, sebilangan pengamat hartanah kini berasa bahawa pasaran flat jualan semula akan lebih rancak dalam tempoh enam bulan mendatang, terutama sekali bagi flat-flat lama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan