Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak pada Jun setelah 'circuit breaker' ditarik balik, harga kekal stabil

Pasaran flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kembali rancak setelah Singapura membuka semula ekonominya menyusuli tempoh 'circuit breaker' selama dua bulan. Sebanyak 2,452 flat jualan semula bertukar tangan pada Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak pada Jun setelah 'circuit breaker' ditarik balik, harga kekal stabil

(Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 12:50AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 12:56AM

SINGAPURA: Pasaran flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kembali rancak setelah Singapura membuka semula ekonominya menyusuli tempoh 'circuit breaker' selama dua bulan. Sebanyak 2,452 flat jualan semula bertukar tangan pada Jun.

Jumlah itu adalah lonjakan 573 peratus berbanding Mei tahun ini, apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan dan kegiatan jual beli hartanah tersekat. Data tersebut terkandung dalam laporan awal portal hartanah SRX yang diterbitkan Khamis (9 Jul) berhubung pasaran jualan semula HDB.

Meskipun urus niaga melonjak, harga flat jualan semula susut sedikit sebanyak 0.2 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya - namun ia adalah 0.8 peratus lebih tinggi bebanding Jun tahun lalu.

Para penganalisis memberitahu Mediacorp kejatuhan yang dicatat berdasarkan perbandingan bulan ke bulan tidak ketara dan membayangkan kestabilan pasaran HDB.

PENINGKATAN JUAL BELI AKIBAT TUNGGAKAN

Para penganalisis sepakat bahawa kenaikan mendadak dalam jumlah urus niaga flat jualan semula HDB pada Jun disebabkan oleh "permintaan terpendam" semasa tempoh pemutus jangkitan, ketika bakal pembeli tidak dibenarkan keluar untuk melihat hartanah yang dijual.

Secara keseluruhan, 2,452 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada Jun, berbanding hanya 364 pada Mei dan 423 pada April. Jumlah penjualan itu hampir 30 peratus lebih tinggi daripada 1,936 yang bertukar tangan pada Jun 2019.

Empat daripada 10 urus niaga pada Jun 2020 adalah flat HDB empat bilik, 26 peratus adalah flat tiga bilik manakala 24 peratus adalah flat lima bilik. Selebihnya adalah flat eksekutif dan dua bilik.

Sebilangan urus niaga tinggi pada Jun merupakan pembeli yang terpaksa menghentikan proses urus niaga mereka kerana tidak dapat menyelesaikannya semasa tempoh pemutus jangkitan.

Penganalisis hartanah, Ong Kah Seng berkata satu lagi sebab menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kerja-kerja ubah elok rumah yang dibenar disambung semula semasa fasa kedua pembukaan semula setelah tempoh pemutus jangkitan.

"Oleh kerana kerja-kerja ubah elok ditangguhkan selama tempoh pemutus jangkitan, pembeli yang berharap untuk mendapatkan flat mereka agak ragu-ragu," katanya, kerana "secara umumnya flat jualan semula dalam keadaan agak lama dan memerlukan kerja-kerja ubah elok lebih besar".

Dalam jangka masa panjang, para penganalisis berkata mereka menjangkakan jumlah flat jualan semula HDB akan terus tinggi sedang permintaan tertunggak diuruskan sebelum kembali seperti biasa menjelang hujung tahun.

Namun, ini masih bergantung kepada sama ada keadaan COVID-19 masih terkawal dalam beberapa bulan akan datang, kata mereka.

HARGA JUALAN SEMULA HDB DIJANGKA KEKAL STABIL

Laporan SRX itu menunjukkan bahawa harga flat jualan semula HDB tiga bilik susut sebanyak 0.4 peratus pada Jun berbanding Mei, manakala flat empat dan lima bilik masing-masing naik 0.4 peratus dan 0.6 peratus.

Harga flat eksekutif pula naik 1.6 peratus.

Dalam pada itu, para penganalisis menjangkakan harga flat jualan semula HDB akan kekal stabil dalam beberapa bulan mendatang.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan