Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

URA tetapkan tapak kegunaan bercampur di Marina View; dijual sekurang-kurangnya S$1.508 bilion

Sebidang tanah di Marina View, dengan harga sekurang-kurangnya S$1.508 bilion, dijangka menarik perhatian ramai  pemaju hartanah yang mahu menambah bekalan rumah baru yang terhad di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
URA tetapkan tapak kegunaan bercampur di Marina View; dijual sekurang-kurangnya S$1.508 bilion

Sebidang tanah di Marina View yang berdekatan stesen MRT Shenton Way yang akan datan. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 28 Jun 2021 10:39PM Dikemas Kini : 28 Jun 2021 10:40PM

SINGAPURA: Sebidang tanah di Marina View, dengan harga sekurang-kurangnya S$1.508 bilion, dijangka menarik perhatian ramai pemaju hartanah yang mahu menambah bekalan rumah baru yang terhad di kawasan itu. Ini kerana, menurut para perunding hartanah, lebih banyak pembeli hartanah terpikat dengan prospek tinggal di Daerah Pusat Perniagaan (CBD).

Tapak dengan kegunaan bercampur itu, terletak berdekatan stesen MRT Shenton Way yang akan datang, dan dijangka menyediakan 905 rumah dan 540 bilik hotel. Beberapa bangunan pejabat dan kegunaan komersil lain juga dibenarkan dibina di sana. Ia ditawarkan untuk dijual oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (28 Jun).

URA menyatakan pembangunan pencakar langit itu akan menawarkan penduduk dengan pemandangan Marina Bay.

Para perunding hartanah yang dihubungi Mediacorp berkata dengan lebih ramai orang tinggal di pusat bandar, kawasan tersebut akan menjadi lebih bertenaga pada hujung minggu dan selepas waktu kerja. Ini seiring dengan rancangan Pemerintah untuk menyuntik kesegaran kepada kawasan CBD.

Kawasan tapak itu seluas sekitar 7,800 meter persegi iaitu kira-kira saiz sebuah padang bola. Kawasan lantai maksimum pula adalah 101,629 meter persegi. Daripada keluasan itu, sekurang-kurangnya 51,000 meter persegi harus diperuntukkan bagi kediaman manakala 26,000 meter persegi disediakan bagi bilik hotel atau kegunaan berkaitan hotel, menurut URA.

Tambahnya kegunaan komersil tidak boleh melebihi 2,000 meter persegi manakala sehingga 2,000 meter persegi boleh digunakan bagi ruang pejabat.

Selain stesen MRT Shenton Way di Laluan Thomson-East Coast, yang masih dibina, tapak tersebut juga terletak berhampiran stesen-stesen MRT Marina Bay, Downtown dan Tanjong Pagar

Pusat penjaja Lau Pa Sat dan beberapa bangunan pejabat di kawasan itu, termasuk Capital Tower dan Pusat Kewangan Marina Bay, terletak dalam jarak 1 kilometer dari tapak itu.

URA mengumumkan bahawa tapak itu sudah ditawarkan untuk dijual melalui tender dengan tarikh tutup pada 21 September, setelah seorang pemaju yang tidak didedahkan namanya memberi harga tawaran tidak kurang dari S$1.508 bilion.

Tapak tersebut berada dalam senarai simpanan pihak berkuasa bagi separuh pertama tahun ini. Tapak sedemikian hanya akan ditawarkan melalui tender setelah pemaju memberikan harga yang boleh diterima oleh URA. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan