Images
  • SIA (1)
    Pesawat Singapore Airlines. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Untung bersih SIA menjunam 48% ekoran lonjakan harga minyak

SINGAPURA: Singapore Airlines pada Khamis (16 Mei) mengumumkan keuntungan bersih tahun lalu yang dicatatnya merosot hampir separuh sedang harga minyak melonjak. Ini meskipun syarikat itu melaporkan pendapatan tertinggi bagi satu-satu tahun.

Syarikat penerbangan besar Asia itu menyatakan tempahan bagi bulan-bulan mendatang menandakan permintaan yang kukuh namun memberi amaran tentang kesan ketegangan dagangan dan pertumbuhan ekonomi perlahan ke atas pasaran-pasaran utama.

Pendapatan bagi tahun kewangan berakhir Mac dicatat pada S$16.3 bilion. Bagaimanapun keuntungan bersih menjunam 48 peratus kepada S$683 juta, menurut pengumuman yang difailkan di Bursa Saham Singapura (SGX).

Jumlah itu lebih rendah daripada ramalan para penganalisis yang menganggarkan keuntungan bersih SIA sebanyak S$758 juta.

Perbelanjaan bagi minyak melonjak 17.6 peratus, atau S$688 juta sedang harga minyak kapal terbang menjulang sekitar 21.6 peratus sepanjang tahun, menurut syarikat penerbangan itu.

Kenaikan harga minyak berpunca dari ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Selain itu tengkarah mengenai pesawat Boeing 737 Max 8 juga menjejas pertumbuhan bilangan penumpang SIA.

- AFP/Agensi berita/MU/TQ/tq

Top