Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Uber singkatkan tempoh terima bayaran; tingkatkan peluang tambah pendapatan

Bagi menangani langkah agresif Grab memikat lebih ramai pemandu baru-baru ini, Uber memperkenalkan beberapa inisiatif baru bagi meningkatkan pengalaman pemandu mereka semalam (29 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Uber singkatkan tempoh terima bayaran; tingkatkan peluang tambah pendapatan

(Gambar fail: TODAY).

Diterbitkan : 30 Jan 2018 03:48PM Dikemas Kini : 30 Jan 2018 03:53PM

SINGAPURA: Bagi menangani langkah agresif Grab memikat lebih ramai pemandu baru-baru ini, Uber memperkenalkan beberapa inisiatif baru bagi meningkatkan pengalaman pemandu mereka semalam (29 Jan).

Ini termasuk menyingkatkan tempoh para pemandu Uber mendapat bayaran, dengan setiap putaran bayaran dipercepatkan selama 3 hari. Berkuat kuasa hari ini (30 Jan), para pemandu Uber yang mempunyai akaun DBS boleh menerima pendapatan mereka setiap Isnin pada minggu berikut, sementara pemegang akaun UOB dan bank-bank lain akan dibayar setiap Selasa.

Sebelum ini, para pemandu Uber menerima gaji mereka setiap Khamis pada minggu seterusnya.

Inisiatif-inisiatif lain yang turut diperkenalkan termasuk membolehkan para pemandu menggunakan kenderaan peribadi mereka dan bagi mereka yang menyewa kereta daripada syarikat Lion City Rentals, mereka boleh menjana pendapatan tambahan sebanyak $200 setiap bulan melalui iklan yang ditampal pada kereta mereka.

Bagi mengurangkan kos memandu, Uber juga akan menaikkan rebat minyak sebanyak 3 peratus. Para pemandu yang mengisi minyak di mana-mana stesen minyak Esso daripada 60 yang disenaraikan akan dapat meraih penjimatan sehingga 33 peratus daripada keseluruhan kos minyak.

Perubahan-perubahan yang diumumkan semalam merupakan inisiatif yang ketiga dan terakhir dalam kempen tiga bulan Uber bagi meningkatkan pengalaman para pemandu.

Pada bulan November lalu, Uber memansuhkan syarat yang mewajibkan para pemandu menerima sekurang-kurangnya lapan daripada 10 tempahan sebelum layak menerima insentif. Namun, sebulan kemudian, Uber memperkenalkan insentif $10 bagi setiap barangan hilang yang dipulangkan kepada para penumpang dan khidmat mencuci kereta pada potongan harga hanya $5 saja.

Mengenai pengumuman terbaru itu, Ketua Operasi Uber Singapura, Encik Jonathan Wong mengatakan, "Apa yang ingin kita lakukan ialah mempertingkatkan hubungan bersama para pemandu supaya mereka boleh lihat yang ia bukan sekadar perbualan sahaja, tetapi kita benar-benar mengambil tindakan berdasarkan maklum balas mereka."

Para pemandu Uber memberitahu Mediacorp bahawa inisiatif-inisiatif baru ini membantu menambah pendapatan mereka.

Encik Adi Sufyan, 32 tahun, sudah memandu untuk Uber selama dua tahun setengah. Beliau mengatakan, disebabkan hanya segelintir penumpang yang membuat bayaran menggunakan wang tunai, ia menjadi masalah bagi para pemandu untuk membuat bayaran bagi mengisi minyak.

Tambah beliau lagi, "Bagi para pemandu, harga petrol dan sewa merangkumi lebih 50 peratus daripada hasil pendapatan mereka. Jika para pemandu menerima bayaran lebih awal, ia dapat membantu isu aliran tunai."

Uber menyatakan ia sudah menguji inisiatif itu dengan sekumpulan pemandu sebelum mengumumkannya kepada orang ramai.

Syarikat kereta sewa itu menyatakan ia menerima maklum balas positif mengenai peluang untuk menambah pendapatan melalui iklan yang dilekatkan pada kereta setelah menawarkan inisiatif itu kepada sekitar 100 pemandu, termasuk mereka dengan kenderaan peribadi.

Sumber : Today/HA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan