Images
  • trump bertemu abe
    Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Istana Akasaka. (Gambar: Eguene Hoshiko/REUTERS)

Trump desak Abe perbetul ketidakseimbangan perdagangan AS-Jepun

TOKYO: Presiden Donald Trump mendesak Perdana Menteri Shinzo Abe untuk membetulkan ketidakseimbangan perdagangan antara Jepun dengan Amerika Syarikat.

Selain itu, Presiden Trump juga berkata bahawa beliau puas hati dengan perkembangan Korea Utara dan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mencapai perjanjian damai.

Di sidang media menyusuli pertemuan antara beliau dengan PM Abe hari ini (27 Mei), Presiden Trump berkata bahawa matlamatnya adalah untuk memansuhkan sekatan-sekatan dagangan agar eksport Amerika dapat bersaing secara saksama di Jepun.

"Kami mengalami ketidakseimbangan yang yang sangat besar, seperti yang anda tahu, dengan Jepun selama bertahun-tahun lamanya, dengan Jepun mempunyai kelebihan yang besar," kata Presiden Trump.

PM Abe pula berkata bahawa kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mempercepatkan rundingan dagangan dua hala tetapi tidak menjawab pertanyaan berhubung jangka waktunya.

Presiden Trump yang sedang mengadakan lawatan empat hari ke Jepun menulis di Twitter semalam (26 Mei) bahawa beliau menjangkakan langkah-langkah besar berhubung perdagangan harus ditangguh selepas pilihan raya Dewan Undangan Negeri Julai nanti.

"Dari segi perdagangan, saya rasa saya akan membuat pengumuman tentang beberapa pekara, kemungkinan pada Ogos ini. Itu akan sangat baik untuk kedua-dua negara," kata Presiden Trump hari ini sebelum sidang bermula.

PERSABAHATAN DAN PERGESERAN

Meskipun mempamerkan semangat persahabatan akrab, PM Abe dan Presiden Trump bagaimanapun ada percanggahan dasar berhubung isu perdagangan dan Korea Utara.

Presiden Amerika Syarikat itu mengancam akan mengenakan tarif tinggi ke atas pembuat kereta Jepun.

Beliau juga optimis tentang prospek perlucutan senjata nuklear Korea Utara dan berkali-kali menegas bahawa pihaknya tidak resah tentang pelancaran peluru berpandu Pyongyang baru-baru ini.

Sementara itu, PM Abe pula berkata beliau menyokong pendekatan Presiden Trump terhadap Encik Kim tetapi menegaskan semula pendirian Tokyo bahawa pelancaran peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini melanggar ketetapan Majlis Keselamatan PBB. 

- REUTERS/SM/sm

Top