Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Toyota capai penyelesaian atas kes bunuh diri jurutera yang dibuli

Syarikat pembuat kereta Jepun, Toyota sudah mencapai penyelesaian dengan keluarga jurutera yang membunuh diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Toyota capai penyelesaian atas kes bunuh diri jurutera yang dibuli

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 07 Jun 2021 12:15PM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 12:18PM

TOKYO: Syarikat pembuat kereta Jepun, Toyota sudah mencapai penyelesaian dengan keluarga jurutera yang membunuh diri.

Kematiannya itu disahkan sebagai ada kaitan dengan kerjanya akibat gangguan berkali-kali oleh pengurusnya.

Toyota Motor Corp berjanji akan mengambil tindakan untuk menegah kejadian gangguan di tempat kerja bagi memastikan keselamatan para pekerja.

Syarikat itu juga melahirkan rasa kesal, "menghadapinya dengan penuh keikhlasan bahawa nyawa berharga seorang pekerja sudah hilang".

Jurutera yang berusia 28 tahun ketika itu dipersendakan pengurusnya dan dihalang daripada mengambil hari rehat serta disuruh mati.

Pembunuhan dirinya pada 2017 disifatkan sebagai kematian berkaitan dengan kerja oleh biro buruh daerah pada 2019. Ini bermakna keluarganya layak mendapat wang pampasan.

Bagi mengelak kejadian serupa berlaku lagi, Toyota akan memperbaiki jagaan kesihatan pekerja, menilai pengurusan dengan lebih baik, mendidik pekerja dan menggalak budaya di tempat kerja yang mana para pekerja boleh meluahkan pendapat mereka, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan pada Isnin (7 Jun).

Peguam yang mewakili mangsa dan keluarganya, Yoshihide Tachino berkata Toyota bertanggungjawab dalam salah tadbir urus yang membolehkan gangguan itu terus berlaku. Jumlah wang pampasan yang akan diterima keluarga itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Dia menegaskan bahawa penyelesaian itu juga termasuk langkah-langkah pencegahan yang dijanjikan Toyota serta siasatan menyeluruh ke atas kematian itu.

Presiden syarikat, Akio Toyoda bertemu dengan keluarga mangsa dan berjanji untuk mencetus perubahan namun Encik Tachino berkata syarikat itu perlu dipantau untuk memastikan mereka membuat perubahan pada budaya di tempat kerja.

Kes itu menarik perhatian tentang masalah yang lazim berlaku di Jepun di mana penganiayaan sedemikian acap kali tidak dihiraukan dan dikenal pasti.

Aduan tentang penganiayaan di tempat kerja di Jepun, termasuk gangguan seksual dan masalah mengambil cuti ibu bapa, sudah meningkat kepada 88,000 kes setahun iaitu lebih daripada tiga kali ganda dalam masa 15 tahun.

Dalam kes Toyota tersebut, pengurus jurutera muda itu membulinya berulang kali termasuk mengungkit tentang latar belakang pendidikannya. Walaupun dia meraih ijazah dari Universiti Tokyo, dia mengikuti pengajian sarjananya sebelum itu di institut yang bukan elit, berdasarkan siasatan kes itu. Perincian latar belakang seperti itu boleh dianggap sangat penting di Jepun.

Jurutera itu yang menyertai Toyota pada 2015 memberitahu orang-orang di sekelilingnya bahawa dia lebih sanggup mati daripada menahan derita. Dia mengambil cuti pada 2016 disebabkan tekanan mental.

Sekembalinya dia bekerja, Toyota mengarahkannya untuk ke bahagian lain namun masih bertugas di aras yang sama dengan pengurus lamanya.

Dalam satu kenyataan, keluarga mangsa itu berkata anak lelaki mereka itu tidak akan kembali meskipun dengan wang pampasan.

"Hati saya masih sakit mengenangkan apa yang terjadi pada anak lelaki saya yang disayangi. Bila saya teringat padanya, segalanya yang saya mahu hanyalah untuk dapatkannya kembali," menurut kenyataan itu.

Di mana untuk dapatkan bantuan:

Talian Samaritans of Singapore: 1800 221 4444

Talian Institut Kesihatan Mental: 6389 2222

Talian Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019 

Sumber : AP/IZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan