Images

'Towkay' donat 'Bakes by NY', Khairul Anwar, ambil langkah berani buka 2 kedai baru

BERITAmediacorp: Jika dulu dirinya seorang pesalah yang pernah meringkuk dalam penjara kerana menjaja rokok haram (rokok tidak dibayar cukai), Encik Muhammad Khairul Anwar sekarang cukup dikenali sebagai 'towkay' kedai donat berinti yang begitu laris.

Perniagaan donat berintikan nutella, ovomaltine, 'fudge' coklat, krim keju, biskoff, karamel krim keju dan durian itu beliau bangunkan bersama isteri, Cik Nazira Yunos, apabila mereka membuka lembaran hidup baru pada 2016.

Kini 'Bakes by NY' dapat menjual lebih 1,000 keping donat setiap hari. Bayangkan, jumlah tepung yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pelanggan adalah 25 kilogram setiap hari!


(Gambar: @bakesbyny/Instagram)

"Kadang bila saya buka cawangan di Tampines pada jam 12.00 tengah hari, jualan sudah habis pada jam 1.30. Itu waktu bulan puasa. Orang dah beratur lepas itu orang marah kerana tak dapat. Kita pun rasa serba-salah," cerita Encik Khairul, 35 tahun.

Satu-satunya cawangan 'Bakes by NY' sekarang terletak di 201E Tampines Street 23.

BUKA 2 KEDAI BARU SECARA SERENTAK

Didorong oleh sambutan begitu memberangsangkan, Encik Khairul kini mengambil langkah lebih berani untuk melawan arus di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dan kesan cabaran COVID-19 sekarang ini.

Beliau akan membuka lagi dua cawangan baru sekali gus - sebuah di 351 Bedok Road dan sebuah lagi di 106 Yishun Ring Road.


Encik Khairul di cawangan terbarunya di Simpang Bedok. 

Ini menerusi pelaburan hampir S$100,000 hasil keuntungan mantap yang dikumpulkan daripada perniagaan tersebut sejauh ini.

Cawangan 'Bakes by NY' di Simpang Bedok akan mula beroperasi seawal minggu depan sementara cawangan di Yishun akan dibuka pada November ini.

"Awal tahun ini, saya sudah rancang. Maksudnya kalau saya buka kedai di Tampines, tiga atau enam bulan kemudian, saya ingin buka lagi satu kedai. Tapi kerana permintaan terlalu tinggi, saya terpaksa buka kedai (di Simpang Bedok) lebih awal kerana saya nak hasilkan lebih banyak lagi. Kedai di Tampines kecil," kongsi Encik Khairul kepada BERITAmediacorp.

STRATEGI PERNIAGAAN BAKES BY NY

Ketiga-tiga cawangan Encik Khairul menjual makanan untuk dibawa pulang sahaja - suatu strategi perniagaan yang menurutnya dapat menjimatkan kos.


Donat berinti Bakes by NY. 

"Kalau makan di kedai, sudah pasti perlu pelayan dan alat hawa dingin. Mungkin perlu beli pinggan, mangkuk dan cawan. Tapi kalau 'takeaway', kita siapkan bungkusan dan pelanggan dah boleh belilah," tambah beliau.

Selain menjual pencuci mulut untuk dibawa pulang, 'Bakes by NY' menawarkan strategi khidmat penghantaran yang cukup menarik. Bayangkan, kos penghantarannya serendah S$1 sahaja! Malah pada hari-hari tertentu, penghantaran secara percuma juga ditawarkan.

Sedangkan, kos penghantaran bagi kek atau pencuci mulut yang dijual para peniaga dari rumah lazimnya mencecah antara S$5 hingga S$10.

Menurut Encik Khairul, kos penghantaran murah itu dapat beliau tawarkan, dengan membahagi-bahagikan kos penghantaran mengikut permintaan bagi setiap kawasan.


'Bakes by NY' menggunakan khidmat penghantaran mereka sendiri dan hanya mendapatkan khidmat pihak ketiga jika permintaanya terlalu tinggi. Pada hari biasa, 70 penghantaran dilakukan setiap hari.

"Kita harus menyesuaikan diri dengan keadaan yang nyata. Contoh macam COVID-19, daya untuk berbelanja bagi masyarakat rata-rata dah turun atau dah tak sekuat dulu. Jadi kami misalnya buat penghantaran percuma ke rumah," jelas Encik Khairul tentang strategi 'harga murah' yang beliau terapkan.

Namun beliau akur, penghantaran murah hanya dapat dilakukan jika peniaga dapat menghasilkan jumlah jualan yang besar.

GUNA 'IG LIVE' UNTUK HABISKAN JUALAN SETIAP HARI

Di samping semua itu, Encik Khairul juga memanfaatkan wadah IG Live untuk menghabiskan semua donat yang disiapkan setiap hari.

"Kadang pelanggan marah kerana donat sudah habis bila mereka datang ataupun ada yang tidak tahu jika masih ada baki ke tak. Di Instagram pula, orang ramai tak 'scroll down' atau lihat semua catatan. Mereka cuma lihat story. Jadi saya buat IG Live," kata Encik Khairul.

Menerusi IG Live, orang ramai boleh 'lihat sendiri' seberapa banyak donat masih boleh dibeli di kedai mereka. Harga donat semuanya turut disertakan dalam kapsyen IG Live itu.

Mutu donat Encik Khairul dan Cik Nazira pula dikekalkan dengan memastikan para kakitangannya dapat mempelajari cara-cara membuat donat dalam satu sesi khas.


"Kita ada ramai pekerja baru. Dan kadang-kadang latihan semasa bekerja tidak sama seperti bila kita ajar mereka dalam satu sesi khas. Sebelum ini memang ada yang mengadu inti donat kurang, atau rotinya berbeza. Tukar tangan banyak sangat orang. Jadi kita cuba menyelaraskan semuanya dan adakan latihan khas," jelas Encik Khairul.

Buat masa ini, Encik Khairul mempunyai 10 kakitangan sepenuh masa untuk menjalankan semua operasi 'Bakes by NY'. Jika kakitangan sambilan juga diambil kira, Encik Khairul mempunyai lebih 30 pekerja kesemuanya.

RESIPI 'BANGKIT' DARI PERISTIWA HITAM

Yang jelas, iltizam kuat Encik Khairul untuk bangkit dari peristiwa hitam dalam hidupnya membawa bapa tiga anak ini menuju tangga kejayaan. Ditanya BERITAmediacorp apakah yang menjadi dorongan utamanya, ini jawapan Encik Khairul:


"Saya ada keluarga, yang bergantung pada saya untuk berikan kehidupan bagi mereka. Anak, bini, mak. Jadi ini yang mendorong saya untuk buat yang terbaik.Saya tak berpuas hati dengan saya ada satu cawangan, saya dah gembira. Sebab ini sesuatu yang saya rancang," luah beliau.

Sepanjang berniaga pula, beliau berpegang teguh kepada prinsip ini:

"Saya rasa amanah paling penting. Saya paling tidak 'happy' dengan pekerja kalau misalnya kita hantar salah tempahan atau tempahan dihantar terkurang atau kita kenakan harga terlebih. Ini saya agak 'particular' (titikberatkan). Saya tidak suka kalau kita tidak amanah."

'BELAJAR' DARI STEVE JOBS, JACK MA, YOUTUBE, DOKUMENTARI...

Encik Khairul sebenarnya adalah graduan Politeknik Temasek dalam jurusan IT Perniagaan. Namun lulusan diploma itu mengakui bahawa apa yang dipelajari menerusi buku memang tidak sama dengan berniaga dalam kehidupan sebenar.

Pengalamanlah guru sebenar, ujar beliau, kerana beliau belajar dari kesalahan sebaga peniaga:


"Sebab kita kalau tak buat silap, kita tak tahu kat mana nak improve (tingkatkan diri). Kemudian saya banyak tengok dokumentari lah. YouTube ke apa. Cuma dengar macam Steve Jobs ke siapa berbual pasal cara dia orang berniaga. Ataupun yang Jack Ma tu.

"Cuba terapkan apa yang saya dengar daripada dia orang and tengok sama ada saya boleh terapkan cara mereka dalam... perniagaan saya sendiri."

Donat 'Bakes by NY' dijual pada harga S$3 setiap satu atau 12 donat pada harga S$30. Selain donat, Bakes by NY juga menawarkan sekitar lima pencuci mulut lain. 

- BERITAmediacorp/aq

Top