Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tony Fernandes sangkal berita AirAsia Japan gantung khidmat penerbangan

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes menafikan berita bahawa AirAsia Japan akan menggantung semua penerbangan, kebanyakannya pada Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Tony Fernandes sangkal berita AirAsia Japan gantung khidmat penerbangan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Sep 2020 10:16PM Dikemas Kini : 18 Sep 2020 10:18PM

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes menafikan berita bahawa AirAsia Japan akan menggantung semua penerbangan, kebanyakannya pada Oktober.

“Saya tidak tahu daripada mana ia timbul, namun, secara jelas (kami) menilai semula dan menilai semua operasi pada bila-bila masa.

“Kita perlu tunggu dan lihat, bagaimanapun, tiada rancangan (penggantungan) buat masa ini … ia adalah khabar angin,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘single’ pertama Jannine Weigel bertajuk Passcode di bawah naungan RedRecords hari ini (18 Sep).

AirAsia Japan dilaporkan menggantung semua penerbangannya mulai 1-24 Okt didorong oleh permintaan yang lemah daripada dijangkakan dengan tiga laluan domestik yang menghubungkan pangkalan syarikat penerbangan itu di Chubu ke Sapporo, Sendai dan Fukuoka akan digantung.

Encik Fernandes berkata syarikat penerbangan itu akan terus memberi tumpuan kepada ASEAN dan tiada rancangan untuk menutup operasinya di Jepun.

“Bukan pada masa ini. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku (pada masa depan),” katanya.

Mengulas mengenai operasi domestik, Encik Fernandes berkata beliau optimis mengenai pertumbuhan pada masa depan berikutan syarikat penerbangan itu berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mencatat pemulihan yang lebih cepat.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku pengurangan tenaga kerja yang selanjutnya, beliau berkata: “Saya tidak boleh berkata tidak kepada apa-apa sahaja...Saya akan berusaha keras dan berharap mendapat sokongan supaya kita tidak perlu mengurangkan pekerja.

“Itu adalah perkara terakhir yang ingin saya buat. Kami berjuang bersungguh-sungguh dan pengurangan tenaga kerja (di AirAsia) adalah sangat minimum berbanding syarikat penerbangan lain,” katanya.

Beliau berkata faktor muatan syarikat penerbangan bagi pasaran domestik pada masa ini berjumlah 70 peratus.

Menurut Encik Fernandes, kebanyakan kakitangan AirAsia yang terbabit dalam pengurangan tenaga kerja sebelum ini dilatih semula di Redbeat Academy, manakala kebanyakan yang lain menyertai perniagaan lain dalam syarikat penerbangan itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan