Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tony Fernandes dilantik CEO platform e-dagang Airasia.com

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes kini turut menggalas tugas sebagai CEO airasia.com, platform e-dagang pengembaraan dan gaya hidup syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tony Fernandes dilantik CEO platform e-dagang Airasia.com

CEO Air Asia Tony Fernandes. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Tony Fernandes)

Diterbitkan : 17 Aug 2019 02:14PM Dikemas Kini : 17 Aug 2019 02:16PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes kini turut menggalas tugas sebagai CEO airasia.com, platform e-dagang pengembaraan dan gaya hidup syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (16 Ogos), AirAsia menyifatkan langkah itu sebagai penyusunan semula kepimpinan bagi menyokong transformasi sebagai syarikat platform pengembaraan dan kewangan serta bagi membangunkan airasia.com sebagai jenama gaya hidup.

"Fernandes akan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com dengan matlamat untuk melantik CEO baru yang akan melaporkan perkembangan kepada beliau apabila tiba masanya," katanya.

Turut menyertai Fernandes adalah Ketua Pegawai Komersial (CCO) kumpulan itu, Cik Karen Chan yang bertanggungjawab menggerakkan semua peranan komersial dan berperanan sebagai CCO airasia.com serta Encik Spencer Lee yang menggalas peranan Ketua Pegawai Operasi airasia.com dengan menguruskan portfolio perniagaan dalam talian termasuk OURSHOP, AirAsia WiFi (ROKKI), perkongsian hotel dan lain-lain, katanya.

"Seorang ketua pegawai produk untuk airasia.com juga akan dilantik untuk mengetuai pasukan produk manakala Ketua Pegawai Kejuruteraan dan Teknologi Perisian (AASET) AirAsia, Elias Vafiadis akan terus memimpin bahagian itu dan melaporkan kepada Fernandes dalam tempoh interim itu," katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (syarikat penerbangan) AirAsia, Encik Bo Lingam telah dilantik Presiden kumpulan (syarikat penerbangan) dan turut mengetuai AirAsia SEA (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Global Shared Services) iaitu pusat perkhidmatan bersama korporat dan sokongan kepada AirAsia, kata kenyataan itu.

"Beliau akan terus menjalankan perniagaan teras syarikat dan memacu penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan kecekapan kos menerusi pendigitalan dan inisiatif One AirAsia."

Dalam pada itu, Cik Aireen Omar pula dilantik sebagai Presiden kumpulan (RedBeat Ventures) dan akan mengetuai cabang modal teroka korporat.

"Menerusi peranan itu, beliau akan meninjau syarikat dan teknologi baharu untuk melonjakkan perniagaan teras AirAsia dan pada masa sama terus memantau perniagaan digital syarikat seperti BigPay, Teleport dan AirAsia BIG Loyalty," menurut kenyataan itu.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan