Images
  • dppms main
    (Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Tinjauan DPPMS: 55% syarikat Melayu lemah aliran tunai dan biaya perniagaan

SINGAPURA: Kurang pasti atau kurang mahir tentang soal aliran tunai dan pembiayaan. Malah tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan pinjaman atau akses kepada pelabur.

Itulah antara keprihatinan paling utama di kalangan para peniaga Melayu/Islam, menurut tinjauan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) ke atas 150 syarikat, baru-baru ini.

Dalam tinjauannya itu, menurut DPPMS, sekitar 55 peratus syarikat menyatakan, ia kurang pasti dan bimbang akan aliran tunai dan pembiayaan perniagaan masing-masing.

Lebih 35 peratus daripada mereka pula didapati prihatin tentang isu mendapat akses kepada para pelabur. Dalam erti kata lain, mereka kurang tahu bagaimana untuk mendapatkan pinjaman dan sebagainya.

Sebagai sebahagian tindakan menangani keprihatinan tersebut, DPPMS menganjurkan satu seminar celik kewangan bagi para peniaga Melayu yang menjadi anggotanya pada Rabu (30 Okt).

CERAMAH DALAMI ISU-ISU ASAS YANG SERING DIHADAPI SYARIKAT

Untuk sesi perintisnya itu, DPPMS mengundang tiga penceramah dari badan-badan mapan lagi bertauliah.

Mereka adalah Encik Mohd Faiz Selamat, Pengarah Eksekutif di Mendaki SENSE, Encik Daniel Yeo, Ketua untuk bahagian cawangan perbankan untuk syarikat kecil dan sederhana dari Bank RHB dan Encik Alan Tang, Pengarah Perkhidmatan Kewangan dari syarikat penasihat kewangan, Apex Private Wealth Management.


Menerusi ceramah dari Mendaki SENSE, golongan peniaga kecil dan sederhana (SME) yang hadir antaranya diajar tentang peri pentingnya mendapatkan maklumat semasa, serta menyingkatkan masa perancangan perniagaan mereka.

Ceramah dari Bank RHB dan syarikat penasihat kewangan Apex Private Wealth Management pula memberikan penerangan mengenai jenis pinjaman untuk syarikat-syarkat kecil dan sederhana.

"Tujuan kita adalah untuk anggota-anggota kita supaya lebih mengerti mengenai perancangan kewangan dan pelan perniagaan untuk perniagaan-perniagaan mereka.

"Kita mengharapkan supaya mereka boleh melihat buku simpanan kira-kira (book keeping) mereka supaya lebih jelas dan lebih teratur untuk kita serahkan kepada bank-bank," jelas Encik Farid Khan, Presiden DPPMS.

Meskipun perkongsian terhad kepada dua jam sahaja, para peserta jelas dapat membuka jendela baru dalam kefahaman mereka tentang selok belok mengemudi kewangan syarikat.

Antara yang meraih manfaat dengan maklumat yang dikongsi adalah pengasas syarikat transportasi dan logistik, 4RIZ Services Pte Ltd, Cik Nur Sarah Mahat.

"Selama enam tahun ini saya tidak tahu tentang pinjaman daripada bank ataupun daripada pelabur. Jadi bila saya datang sini ke seminar ini saya dapat belajar dan ‘oh ada kita boleh minta bantuan daripada bank ataupun pelabur’. Cuma kita harus persiapkan pelan perniagaan kita," akur Cik Sarah.

Bagi Pengarah Pengurusan ASEAN syarikat Haebara Singapore Pte Ltd, yang menguruskan penternakan ayam itik Halal, Encik Zuraimi Jumaat, semangat beliau semakin berkobar-kobar untuk mengorak langkah bagi memajukan lagi perniagaannya.

"Satu penekanan bagi semua peserta dan saya juga ialah untuk mendapatkan pelan perniagaan. Pelan perniagaan yang dimaksudkan ialah kita harus mengambil tahu tentang bagaimana untuk mencipta permintaan, bagaimana untuk mengenalpasti tentang kos dan bagaimana untuk memasarkannya," kata Encik Zuraimi yang berpengalaman dalam sektor produk Halal di Singapura dan serantau selama lebih 10 tahun.

Dengan respons yang amat menggalakkan, DPPMS berharap program celik kewangan untuk para peniaga Melayu/Islam itu dapat diperluaskan menjadi satu sesi setiap tiga bulan, pada tahun depan.


Di acara itu juga, DPPMS menganjurkan satu sesi dialog bersama Jawatankuasa Penasihat Pelaburan (IAC) bagi para peniaga.

Ia diadakan bagi menjawab sebarang pertanyaan tentang khidmat nasihat tersebut yang akan mula menerima pemohonan daripada syarikat-syarikat mulai Jumaat (1 Nov), untuk diasuh menjadi syarikat jutaan dolar. 

- BERITAmediacorp/SY/ha

Top