Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tiket pesawat antara S'pura dengan Hong Kong pada 22 Nov habis dijual

Tempahan bagi penerbangan dari Singapura ke Hong Kong pada 22 Nov sudah habis dijual pada Rabu (11 Nov) beberapa jam selepas Kementerian Pengangkutan Singapura mengumumkan tarikh bermulanya aturan perjalanan khas antara kedua-dua bandar.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiket pesawat antara S'pura dengan Hong Kong pada 22 Nov habis dijual

Aturan perjalanan khas Singapura-Hong Kong akan bermula 22 Nov 2020. (Gambar: AP/SIA)

Diterbitkan : 12 Nov 2020 12:13AM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 12:17AM

SINGAPURA: Tempahan bagi penerbangan dari Singapura ke Hong Kong pada 22 Nov sudah habis dijual pada Rabu (11 Nov) beberapa jam selepas Kementerian Pengangkutan Singapura mengumumkan tarikh bermulanya aturan perjalanan khas antara kedua-dua bandar.

Laman Google Flights menunjukkan tiada lagi tempat kosong pada sekitar 4.00 petang tadi untuk penerbangan Singapore Airlines (SIA) atau Cathay Pacific pada 22 Nov.

Dari 22 Nov, para pelancong di bawah aturan perjalanan khas antara Singapura dengan Hong Kong tidak perlu menjalani kuarantin atau notis jangan keluar rumah - kelonggaran ketara sejak sekatan perjalanan ketat dikuatkuasakan kerana pandemik COVID-19.

22 Nov jatuh pada hari kedua musim cuti sekolah akhir tahun di Singapura.

Sebagai permulaan, hanya ada satu penerbangan sehari di bawah aturan khas tersebut. Sungguhpun demikian, jumlah penerbangan akan ditambah secara bertahap-tahap. Para pelancong harus diuji negatif menerusi ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum waktu keberangkatan.

Harga tertera pada laman SIA bagi tambang kelas ekonomi pada 22 Nov naik dari sekitar S$800 pada 10.00 pagi Rabu (11 Nov) kepada lebih S$1,100 pada sekitar 3.00 petang.

Harga tiket penerbangan ulang-alik kelas ekonomi antara kedua-dua bandar adalah antara S$314 dengan S$533 bagi minggu bermula 14 Nov - hanya seminggu sebelum bermulanya aturan perjalanan khas, menurut carta harga Google Flights.

"Kami menyaksikan jumlah tempahan yang meningkat sejak pengumuman Pemerintah tentang aturan perjalanan khas. Namun, kami tidak dapat mendedahkan sebarang perangkaan kerana ia maklumat komersil sensitif," kata seorang jurucakap SIA sebagai menjawab pertanyaan-pertanyaan media.

Awal dari itu, SIA mengumumkan penerbangan sulungnya dari Singapura ke Hong Kong di bawah aturan perjalanan khas, adalah menerusi pesawat SQ890 yang berangkat pada 10.00 pagi pada 22 Nov. Penerbangan selanjutnya adalah pada 23 Nov, 8.00 pagi. Penerbangan dari Hong Kong ke Singapura pula adalah pada 23 Nov, jam 12.55 tengah hari.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan