Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tiada sewa teksi untuk 1 bulan; ComfortDelgro bantu pemandu harungi kesan penutupan sekolah, tempat kerja

Syarikat teksi ComfortDelGro hari ini (4 Apr) menyatakan ia akan mengenakan sewa teksi selama sebulan bagi membantu para pemandu teksi "mengharungi tempoh yang amat sukar".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Apr 2020 12:30PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 12:18AM

SINGAPURA: Syarikat teksi ComfortDelGro hari ini (4 Apr) menyatakan ia akan mengenakan sewa teksi selama sebulan bagi membantu para pemandu teksi "mengharungi tempoh yang amat sukar" setelah Pemerintah mengumumkan semua tempat kerja tidak penting dan sekolah-sekolah akan ditutup bagi mengekang penularan COVID-19.

Sewa teksi akan ditiadakan mulai Selasa ini (7 Apr) hingga 5 Mei, menurut ComfortDelGro dalam kenyataannya.

Pengecualian bayaran sewa itu dijangka menelan kos tambahan S$19 juta bagi syarikat itu.

Ia akan menggantikan bantuan sewa harian yang diumumkan sebelum ini, yang dianggarkan menelan kos sebanyak S$80 juta.

Pakej bantuan itu yang akan dihulurkan sehingga September akan disambung semula selepas tempoh sewa yang ditiadakan itu berakhir pada 5 Mei.

Secara keseluruhannya, pakej bantuan bagi para pemandu teksi ComfortDelGro dijangka bernilai sehingga S$99 juta.

"Dengan penutupan tempat-tempat kerja tidak penting dan sekolah, para pemandu teksi akan menghadapi lebih banyak kesukaran untuk membiayai kehidupan seharian," kata CEO teksi ComfortDelGro Ang Wei Neng.

"Dengan ketiadaan sewa selama sebulan, sebarang tambang yang diraih secara langsung akan menjadi pendapatan mereka. Kami berharap ini akan membantu mereka mengharungi tempoh penuh kesukaran ini."

"Kami ingin mereka tahu bahawa kami turut bersama mereka dan kami akan mengharungi tempoh ini bersama," tambah beliau.

ComfortDelGro sebelum ini menyatakan langkah-langkah bantuan "akan meletakkan syarikat itu dalam kerugian" bagi tahun yang berakhir pada 31 Dis 2020, sambil menambah ia juga merupakan "kali pertama syarikat pengendali teksi terbesar di Singapura itu mencatat kerugian bagi tempoh sepanjang tahun". 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan