Images
  • hyflux
    (Gambar: Jeremy Long)

Tiada perjanjian sah atau 'angka tetap' hasil mesyuarat dengan Utico: Hyflux

SINGAPURA: Dalam penjelasan lanjut mengenai pelabur baru dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Hyflux menyatakan pada Selasa (28 Mei) bahawa mesyuarat yang diadakan baru-baru ini antara pihaknya dengan Utico tidak menghasilkan sebarang perjanjian sah atau perangkaan tetap mengenai pampasan yang bakal diraih para pelabur.

Jawapan Hyflux itu, yang tertera pada pernyataan difailkan dengan Bursa Singapura menyusuli kenyataan Utico pada hujung minggu.

Utico menyatakan, pihaknya bertemu dengan para penasihat kewangan dan guaman Hyflux dan juga Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (SIAS) dan pihak-pihak lain minggu lalu, dan menyarankan satu program penebusan sebahagian tunai bagi 34,000 pelabur runcit yang memegang sekuriti kekal dan saham keutamaan Hyflux.

Hyflux sedang bertungkus-lumus untuk mencari sumber pendanaan baru dan menjelaskan bahawa mesyuarat denga Utico tersebut tertumpu pada “pandangan tahap tinggi yang tidak menghasilkan perangkaan atau peratusan kukuh, atau sebarang perjanjian sah, sama ada berkenaan dengan (sekuriti kekal dan pemegang saham keutamaan) atau mana-mana pihak berkepentingan.

Ia menambah: “Syarikat itu dan para penasihatnya memahami bahawa kenyataan tersebut … adalah bersifat tinjauan dan merupakan pendekatan yang sedang ditimbangkan oleh Utico.”

Hyflux menyatakan pihaknya masih berunding dengan beberapa pelabur berpotensi.

Selain Utico, Hyflux pernah mendedahkan sebelum ini bahawa syarikat dana pelaburan berbilang strategi global Oyster Bay Fund dan sebuah firma rawatan air yang tidak dinamakan sebagai antara pelabur berpotensi.

Awal bulan ini, firma rawatan air yang dibelenggu masalah kewangan itu mengeluarkan penjelasan kepada Utico setelah syarikat itu mendakwa sudah membuat tawaran pelaburan yang sah. Hyflux menyatakan bahawa Utico hanya menyerahkan "lampiran draf syarat-syarat”.

Merujuk kepada responsnya sebelum ini, Hyflux menekankan pada Selasa bahawa pihaknya "belum menerima atau mempersetujui" perjanjian sah berdasarkan lampiran syarat-syarat yang diterima dari Utico.

“Kedudukan itu belum berubah,” Hyflux menambah.

Kekeliruan terbaru mengenai kedudukan antara Hyflux dengan Unico itu tercetus menjelang perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada Rabu.

Moratorium yang disahkan mahkamah ke atas hutang Hyflux, yang sudah pun dilanjutkan tiga kali, akan berakhir pada Rabu.

- CNA/ZM/zm

Top