Images
  • giant vivo
    Cawangan Giant di VivoCity. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Tiada pasar raya di VivoCity selama beberapa bulan; FairPrice Xtra dibuka jelang suku ke-3 2019

SINGAPURA: Apabila pasar raya besar Giant di pusat beli-belah VivoCity ditutup pada 17 Feb, para pelanggan tidak lagi dapat membeli barang-barang dapur di kompleks beli-belah itu selama beberapa bulan sehinggalah NTUC Fairprice membuka cawangan terbesarnya pada tahun ini.

Cold Storage juga mempunyai cawangan di VivoCity tetapi ia juga akan ditutup pada hari yang sama. Giant dan Cold Storage diuruskan oleh syarikat Dairy Farm.

Mediacorp melaporkan pada September lalu tentang penutupan Giant di Vivocity. Cawangan tersebut, yang setinggi dua tingkat, dibuka pada 2006 dan merupakan antara penyewa utama pusat beli-belah itu.

FairPrice, rangkaian pasar raya terbesar di Singapura, dijangka mengambil alih ruang tersebut menjelang suku ketiga tahun ini. Cawangan FairPrice Xtra yang bakal dibuka merupakan yang terbesar di Singapura, iaitu seluas 90,000 kaki persegi.

Seorang jurucakap FairPrice mengatakan bahawa cawangan itu akan mempunyai "ciri-ciri unik" tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Pada Oktober tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapletree Commercial Trust Management, yang menyelia VivoCity - mengatakan FairPrice akan menawarkan "konsep bersepadu baru" bagi memenuhi pelbagai keperluan para pelanggan, dan ini dijangka mempertingkatkan daya tarikan pusat beli-belah itu.

Dengan sekitar dua minggu lagi sebelum cawangan Giant ditutup, para pelanggan setianya memberitahu Mediacorp pada Jumaat (1 Feb) bahawa mereka berasa keberatan kerana perlu ke pasar raya lain.

Penutupan cawangan tersebut menyusuli penutupan dua cawangan Giant di Bukit Panjang dan Jalan Tenteram di kejiranan Whampoa pada tahun lalu.

Rangkaian itu juga sedang menyemak jika perniagaannya dapat bertahan bagi tiga cawangan lain. Cawangan-cawangan tersebut - di pusat beli-belah The Grandstand di Turf Club Road, Blok 512 Bishan Street 13 dan Blok 118 Aljunied Avenue 2 - sedang disemak bagi antara lain menilai kemajuan kedai dan sama ada tempoh pajakan akan diperbaharui. 

- TODAY/AQ/aq

Top