Images
  • McDonald's
    10 restoran McDonald's tidak lagi menyediakan straw dan barangan plastik lain sepanjang bulan ini. (Gambar fail: TODAYonline)

Tiada lagi straw di McDonald’s; inisiatif mesra alam diuji di 10 cawangan

SINGAPURA: Rangkaian makanan segera, McDonald's, sedang menjalankan ujian bagi mengurangkan penggunaan plastik di 10 restorannya bulan ini.

Dalam kenyataannya pada Rabu (4 Sep), McDonald's mengumumkan bahawa ia tidak lagi akan menggunakan straw. Malah, ia juga akan menggantikan beg plastik, sudu garpu, piring dan cawan McFlurry dengan pilihan alternatif yang lebih mampan.

Jurucakap McDonald's berkata rangkaian makanan segera itu tidak akan menyediakan straw gantian buat masa ini, sambil menambah ia akan memantau sentimen para pelanggan.

Restoran-restoran McDonald's yang akan menyertai ujian itu terletak di V-Hotel, Potong Pasir, Choa Chu Kang Lot 1, Kelab Masyarakat Jurong Green, Raffles City, Bendemeer, Ang Mo Kio Avenue 3, Toa Payoh Central, Boat Quay dan Menara SpringLeaf.

"Sepanjang tempoh ini, kami akan memantau dengan teliti sentimen para pelanggan kami yang amat dihargai serta kebolehlaksanaannya di Singapura sebelum memutuskan untuk melaksanakan perubahan ini di semua restoran kami di merata negara," katanya.

Jurucakap itu menambah bahawa ujian tersebut adalah sebahagian daripada "pendekatan untuk memacu amalan-amalan kemampanan alam sekitar di restoran-restoran kami, termasuk dari segi pembungkusan, kecekapan tenaga, pengurusan sisa dan reka bentuk restoran yang melindungi alam sekitar".  

- TODAYonline/AI/ai

Top