Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

The Halal People 'app' terbaru tempah makanan dari peniaga HBB di bawah 1 bumbung

Daya tarikan utama aplikasi yang diberi nama The Halal People itu adalah makanan-makanannya dijual oleh para peniaga Melayu/Islam. Maka semuanya dijamin halal oleh The Halal People!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda gemar mencuba pelbagai makanan yang dijual oleh para peniaga dari rumah atau 'home based businesses' (HBB), ini satu 'app' terbaru atau aplikasi yang menyatukan ratusan HBB di bawah satu bumbung.

Daya tarikan utama aplikasi yang diberi nama The Halal People itu adalah makanan-makanannya dijual oleh para peniaga Melayu/Islam. Maka semuanya dijamin halal oleh The Halal People!

Jika anda meniaga makanan dari rumah dan mahu mengembangkan perniagaan anda supaya lebih ramai orang dapat menikmati air tangan anda, aplikasi The Halal People ini mungkin boleh menjadi satu lagi saluran yang memudahkan pelanggan mencari dan mencuba masakan anda.

Jika anda sedang mencari pekerjaan pula, wadah ini membuka peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan-makanan halal sahaja.

(Gambar: Facebook/The Halal People)

(Gambar: Facebook/The Halal People)

Jadi, The Halal People ibarat platform yang menjodohkan 3P - (1) peniaga makanan halal dari rumah, (2) penghantar makanan-makanan halal dan (3) pelanggan yang mahukan makanan halal!

Pengasasnya, Cik Hamizah Abdul Halek, memberitahu BERITAmediacorp platform itu akan dilancarkan pada 1 November ini untuk para pelanggan. (Tapi anda boleh mula buat pesanan sekitar dua minggu dari sekarang).

Setakat ini ia sudah berjaya menarik penyertaan 100 HBB Melayu/Islam dan mempunyai lebih 30 penghantar makanan.

THE HALAL PEOPLE TIDAK AMBIL KOMISYEN; 100% UNTUNG MILIK PENIAGA, PENGHANTAR

The Halal People ditubuhkan setelah Cik Hamizah, 30 tahun, mendapati ada jurang dalam pasaran makanan-makanan halal yang dijual oleh para peniaga kecil-kecilan dari rumah.

“Idea ini tercetus dalam tahun 2017. Saya memikirkan bagaimana saya nak sasarkan mereka (peniaga dari rumah). Mula-mula saya buat laman web seperti ‘halal review’. Tetapi ia cuma laman web dan bukan aplikasi.

“Bagi saya, untuk peniaga dari rumah disenaraikan dalam satu aplikasi adalah satu nilai tambah,” kata Cik Hamizah, yang mengasaskan The Halal People bersama suaminya Encik Sahril Noor Sani.

Pengasas The Halal People, Cik Hamizah dan Encik Sahril Noor Sani. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pengasas The Halal People, Hamizah Abdul Halek & Sahril Noor Sani. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Cik Hamizah memberitahu BERITAmediacorp, mereka melaburkan wang sekitar $50,000 untuk membangunkan aplikasi The Halal People itu sejak awal tahun ini.

Model perniagaan Cik Hamizah dan suaminya itu berasaskan strategi yuran langganan bulanan $35. Ya, mereka hanya mengutip yuran sahaja. Jadi 100 peratus untung yang diraih peniaga dan penghantar makanan akan menjadi milik masing-masing.

“Kami hanya mengambil tiap-tiap bulan $35 daripada penghantar makanan dan juga kepada peniaga halal dari rumah. Kami adalah salah satunya yang tidak mengambil apa-apa komisyen dan kita serahkan semua 100 peratus (pendapatan) kepada kita punya peniaga halal dari rumah dan juga kepada kita punya penghantar makanan,” ujar Cik Hamizah.

Aplikasi The Halal People. (Gambar: Petikan dari aplikasi)

Petikan gambar dari aplikasi The Halal People.

Langkah mengenakan yuran langganan bulanan $35 berbanding mengambil komisyen adalah untuk membolehkan para peniaga dan penghantar makanan meraih sepenuhnya hasil penjualan atau yuran penghantaran mereka.

“Ideanya adalah peniaga dan penghantar makanan pasti akan meraih pendapatan yang lebih tinggi. Tidak ada had kepada pendapatan mereka. Misalnya, jika mereka meraih pendapatan S$5,000 sebagai penghantar makanan The Halal People, maka S$5,000 itu adalah milik mereka sepenuhnya. Kami cuma mengenakan yuran langganan tetap setiap bulan iaitu S$35,” jelas Cik Hamizah.

Yuran penghantaran makanan The Halal People, bergantung kepada lokasi, iaitu antara S$10 dengan S$15.

Sebagai perbandingan, bagi syarikat-syarikat penghantar makanan lain yang sedia ada, jumlah komisyen yang perlu dibayar, akan meningkat seiring dengan penambahan pendapatan yang diraih peniaga dan penghantar makanan.

SUDAH ADA GRAB, FOODPANDA, DELIVEROO KENAPA ADA THE HALAL PEOPLE?

Menerusi wadah baru tersebut pasangan suami isteri itu berharap ia dapat membuka satu lagi pintu rezeki bagi anggota masyarakat, khususnya Melayu/Islam. Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah kemelut ekonomi yang dibadai pandemik COVID-19.

Aplikasi baru tempah makanan halal daripada peniaga dari rumah. (Gambar: Facebook/The Halal People)

(Gambar: Facebook/The Halal People)

Meskipun umum tahu sudah ada sekurang-kurangnya tiga syarikat besar penghantaran makanan di Singapura, Cik Hamizah menekankan bahawa The Halal People hanya tertumpu kepada perniagaan makanan halal dari rumah sahaja. Namun itu tidak bermakna, perniagaan-perniagaan makanan halal yang dijual dari restoran atau pusat penjaja tidak diterima.

Cik Hamizah memberitahu BERITAmediacorp, mereka mengambil pendekatan 90:10 - iaitu 90 peratus perniagaan makanan dari rumah dan 10 peratus perniagaan makanan dari premis-premis selain itu termasuk kedai-kedai makan di pusat-pusat penjaja.

“Bezanya mereka harus tahu bahawa syarikat yang besar ini mereka mengambil komisyen yang teramat besar. Itu sebab kami terapkan dalam syarikat kami yang kami hanya ingin menolong peniaga-peniaga dari rumah kerana mereka harus ditubuhkan di wadah yang sempurna,” ujar Cik Hamizah.

(Gambar: Facebook/The Halal People)

(Gambar: Facebook/The Halal People)

Menurut pemerhatian BERITAmediacorp, aplikasi-aplikasi tempah makanan dari sekurang-kurangnya dua syarikat besar, iaitu Grab dan Foodpanda, ada menawarkan khidmat penghantaran bagi para peniaga kecil-kecilan, termasuk penjual makanan. Namun ia tidak tertumpu kepada makanan halal sahaja.

Selain itu, Cik Hamizah juga akur bahawa para peniaga dari rumah tidak semestinya menawarkan jualan mereka setiap hari.

“Mereka bukan seperti kedai-kedai di pusat beli belah, di mana mereka ada waktu tetap. Bagi syarikat-syarikat penghantaran besar mereka mahu cepat. Mereka ikut waktu pusat beli-belah.

“Tapi untuk kita misalnya seorang peniaga dari rumah menjual makanan mereka pada pukul 9.00 pagi hari Ahad. Kami akan memenuhi keperluan mereka. Pasti akan ada orang tempah dan pasukan sokongan kami sentiasa bersiap sedia sekiranya ada apa-apa berlaku,” terang beliau sambil menambah bahawa aplikasi tempahan makanan The Halal People juga menawarkan pilihan ‘preorder’ atau tempahan awal untuk peniaga dan pelanggan.

PEKERJA PENGHANTAR MAKANAN 'TIDAK TERIKAT'

Bagi mereka yang menyertai The Halal People sebagai penghantar makanan, Cik Hamizah dan suaminya berkata mereka tidak terikat kepada platform itu sahaja. Para penghantar makanan bebas untuk memberi khidmat penghantaran daripada mana-mana platform lain.

“Pada saya usah bimbang. Permintaan mesti tetap ada. Kerana kita akan pastikan kita kawal untuk kita punya penghantar makanan.

“(Kalau) kita rasa macam dah terlalu ramai dan tiada ‘job’ (penghantaran) atau kita dapat tahu contoh siapa yang online dan tak ada tempahan, kita pastikan mereka dilencongkan ke lokasi lain. Kita pun tak sekat mereka untuk kalau dari kawasan A nak ke kawasan B mereka boleh gunakan GrabFood atau Foodpanda,” tambah Cik Hamizah.

(Gambar: The Halal People)

(Gambar: The Halal People)

"Sekalipun demikian, The Halal People ada menyediakan seragamnya tersendiri untuk para penghantar makanan, sekiranya mereka mahu wujudkan rasa kekitaan (sense of belonging) kepada jenama kami."

BUKAN SEKADAR PLATFORM JUALAN TAPI…

Yang pasti, pasangan usahawan itu menyatakan mereka sudah menetapkan visi lebih besar bagi jangka panjang.

Mereka mahu membantu mewujudkan dan mengembangkan peluang pekerjaan untuk masyarakat Melayu/Islam menerusi aplikasi The Halal People.

Namun, bukan itu sahaja. Cik Hamizah memberitahu BERITAmediacorp The Halal People bukan sekadar aplikasi menjual makanan. Sebaliknya, ia merupakan sebuah komuniti.

“Ia adalah seperti satu rangkaian di mana kita saling menyokong antara satu sama lain. Banyak perancangan kita untuk merancakkan platform ini,” kata beliau.

Antaranya adalah menonjolkan makanan pilihan bagi bulan tertentu, di mana pasukan The Halal People akan mengambil gambar makanan tersebut dan papar di laman dan juga aplikasi tersebut.

Ini selain mendidik para peniaga dari rumah tentang langkah-langkah yang boleh mereka ambil untuk mengembangkan lagi kerjaya mereka, dengan mewujudkan kesedaran tentang program-program kemahiran sedia ada atau kursus-kursus pengendalian makanan yang dikendalikan agensi-agensi.

Cik Hamizah memberitahu kami, beliau mahu menjadikan The Halal People sebagai “suara peniaga-peniaga dari rumah”.

“Supaya kita dapat memberi mereka peluang untuk pekerjaan ataupun menjadikan perniagaan dari rumah ini sebagai perjalanan keusahawanan mereka. Mereka tidak tahu kemungkinan yang boleh membawa perniagaan dari rumah kepada satu kerjaya yang berjaya. Itu yang kita inginkan,” kata Cik Hamizah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan